Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeluang kedua hidup bakar semangat A. Aida ingin lihat anak berjaya
Bakat boleh digilap, namun disiplin tentukan sejauh manakah artis mampu bertahan dalam industri
Peluang kedua hidup bakar semangat A. Aida ingin lihat anak berjaya
Tiada yang lebih membanggakan buat penerbit terkenal Malaysia, Datuk A. Aida, selain melihat puterinya, Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin, atau lebih mesra disapa, Azeva, kini mula mencipta nama dan membina laluan sendiri dalam industri seni.
A. Aida, atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 56 tahun, berharap anaknya yang berusia 25 tahun itu terus mengembangkan kerjaya, selain bijak memanfaatkan setiap peluang dan perhatian yang diraih selepas menyertai program realiti Astro, Talk To My Manager 2 (TTMM2).
“Alhamdulillah, sebagai ibu, sudah tentu saya mahu melihat kerjaya anak-anak berkembang dan berjaya.
“Sekarang, saya bersyukur melihat perjalanan kerjaya Azeva.
“Harapan saya, dia dapat menguruskan kerjayanya dengan baik dan memanfaatkan setiap peluang yang diberikan,” katanya kepada Berita Minggu (BM) ketika ditemui di kafe Big Mouth Bakehouse, yang terletak di Wisma Geylang Serai (WGS), baru-baru ini.
Ketika itu, A. Aida menemani Azeva yang membuat penampilan sulung di Singapura, khususnya, bazar Geylang Serai Extravaganza, yang berlangsung antara 6 dengan 10 Ogos, selepas meraih tempat keempat dalam TTMM2.
Bagi A. Aida, kejayaan anaknya itu turut memberi makna tersendiri selepas beliau melalui detik getir dalam kehidupan apabila rebah ketika menjalani rawatan fisioterapi susulan pembedahan lutut sehingga terpaksa dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU) pada September 2025.
Menurutnya, antara doa dan harapannya ketika itu adalah agar terus diberi kesempatan menyaksikan perjalanan dan kejayaan anak, lebih-lebih lagi selepas seorang ustaz memberitahu mungkin masih ada “perkara yang belum selesai” dalam kehidupannya.
Mengakui tahap kesihatannya kini semakin baik, A. Aida, bagaimanapun, terpaksa memperlahankan rentak kehidupan dan meninggalkan beberapa kegiatan lasak yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada rutinnya.
“Alhamdulillah, keadaan saya sekarang semakin baik.
“Cuma selepas keluar dari ICU, saya memang tidak lagi seperti dahulu dan perlu lebih berhati-hati menjaga kesihatan.
“Dahulu, saya gemar melakukan kegiatan lasak seperti mendaki dan menunggang kuda setiap minggu.
“Tetapi sekarang, saya sudah tidak boleh melakukannya seperti biasa.
“Kuda saya pun hanya mampu saya tengok sahaja.
“Kini, saya melakukan senaman secara rutin untuk menjaga kesihatan.
“Saya juga tekal mengambil suplemen setiap pagi sebelum makan dan memang tidak pernah meninggalkannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, melihat kesungguhan Azeva mengembangkan bakat dalam bidang seni, A. Aida berkata beliau tidak teragak-agak memberikan sokongan penuh.
Berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri hiburan, beliau menyedari bukan mudah untuk seseorang artis mencipta nama, justeru melihat TTMM2 sebagai wadah penting untuk memperkenalkan Azeva kepada khalayak lebih luas.
“Bukan mudah untuk mencipta nama sebagai artis.
“Ada yang mengambil masa 10 atau 20 tahun untuk dikenali, jadi saya lihat TTMM2 sebagai peluang untuk orang ramai mengenali Azeva.
“Peluang seperti ini mungkin datang sekali seumur hidup. Jadi, saya pesan kepadanya, kalau sudah diberi peluang, buat sebaik-baiknya.
“Sebab itu, sepanjang pertandingan saya beri sokongan sepenuhnya dan memastikan setiap minggu dia tampil dengan persembahan, busana serta solekan terbaik,” kongsinya.
Di sebalik sokongan yang diberikan, A. Aida turut mengingatkan Azeva bakat dan populariti semata-mata bukan jaminan untuk kekal lama dalam industri.
Sebaliknya, beliau sentiasa menekankan kepentingan sikap profesional, khususnya disiplin dan menghargai masa, sebagai asas membina kerjaya yang berkekalan.
“Bagi saya, perkara paling penting untuk seseorang artis kekal lama dalam industri adalah disiplin… memang itu nombor satu.
“Kalau sekali dua datang lewat (ke set penggambaran), mungkin orang masih boleh terima.
“Tetapi kalau setiap hari begitu, lama-kelamaan orang tidak mahu lagi bekerja dengan kita dan akhirnya boleh ‘blacklist’ atau disenaraihitamkan.
“Sebab itu, saya sangat menitikberatkan masa.
“Kalau ada janji temu pada 10 pagi, 9.30 pagi saya sudah sampai.
“Sebagai artis, kita perlu menghormati masa dan orang yang bekerja dengan kita,” tambah A. Aida.
