Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelakon Ikmal Amry dedah jadi mangsa cabul sejak kecil
Pelakon Ikmal Amry dedah jadi mangsa cabul sejak kecil
Pelakon Ikmal Amry dedah jadi mangsa cabul sejak kecil
KUALA LUMPUR: Pelakon, Ikmal Amry, berkongsi pengalaman pahit apabila mendakwa pernah menjadi mangsa cabul beberapa kali ketika zaman kanak-kanak dan remaja sehingga meninggalkan trauma mendalam dalam hidupnya.
Ikmal atau nama sebenarnya Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 32 tahun, berkata kejadian pertama berlaku ketika usianya sekitar tujuh atau lapan tahun apabila beliau didakwa dicabul seorang pekerja yang tinggal serumah bersama keluarganya.
“Ketika itu umur saya baru Darjah 1 atau 2. Ayah ada bawa pekerja dari Indonesia dan kami tidur dalam ruang yang sama. Malam-malam saya kena cabul dengan dia hampir setiap hari.
“Pada mulanya saya ingat dia pegang itu perkara biasa sebab mungkin dia sayang dan saya anggap dia orang tua. Saya pula masih budak-budak ketika itu, tetapi lama-kelamaan rasa pelik.
“Ada satu malam dia pusingkan muka saya, dia mahu cium dan pegang bahagian sulit saya. Saya tak tahu nak buat apa, tetapi saya tolak. Selepas beberapa hari dia buat perkara sama, saya terus tukar tempat tidur,” katanya dalam podcast, Sembang Seram.
Pelakon drama Khianat Yang Terpilih itu berkata beliau pernah memaklumkan perkara berkenaan kepada bapanya, namun ketika itu bapanya menyangka gangguan berkenaan sekadar gurauan biasa.
“Hari keempat atau kelima saya beritahu ayah yang pekerja itu kacau saya malam-malam. Tapi saya masih budak dan mungkin ayah fikir itu sekadar main-main, jadi tiada tindakan diambil.
“Bila saya sudah cerita kepada orang paling rapat dengan saya, tetapi dia tak boleh buat apa-apa sebab tiada bukti, saya jadi pendam semua perkara itu,” katanya.
Menurut Ikmal, episod hitam itu berulang ketika beliau berada di sekolah asrama apabila sekali lagi didakwa menjadi mangsa cabul, kali ini dilakukan rakan baiknya sendiri.
“Semasa sekolah asrama, kawan baik sendiri yang buat perkara itu. Ada seorang kawan lain beritahu budak itu sebenarnya cabul saya setiap hari dan memang saya tak sedar.
“Dia buka seluar, pegang saya dan kemudian pergi. Hari-hari dia buat apa yang dia mampu,” katanya.
Ikmal berkata pengalaman itu memberi kesan besar terhadap kesihatan mentalnya sehingga beliau mengalami tekanan emosi dan kemurungan.
“Perkara itu buat saya stres sampai depresi sebab ramai cakap saya ini ‘gay’. Apabila mengadu kepada ustaz, ustaz cakap saya kena hasut jin sebab keadaan mental saya ketika itu.
“Saya pergi sekolah pun pakai kain pelekat. Setiap hari ustaz baca sesuatu dekat saya sampai saya muntah-muntah, menangis dan keluar hingus yang rasa berasid.
“Masa bulan puasa pun saya lalui perkara sama, jadi saya sedar itu bukan gangguan lain,” katanya.
Dalam pada itu, Ikmal turut berkongsi detik cemas apabila hampir menjadi mangsa gangguan seksual sekali lagi ketika dalam perjalanan pulang ke Melaka untuk bertemu ibunya selepas disarankan seorang ustaz.
“Waktu itu saya balik naik bas ke Melaka untuk jumpa ibu. Saya mahu naik teksi balik rumah tetapi tiada duit.
“Kemudian ada kereta berhenti dan tumpangkan saya. Tapi dalam kereta itu dia raba saya. Saya terus lari dan telefon abang guna telefon awam supaya datang ambil,” katanya.
Bagaimanapun, Ikmal bersyukur kerana trauma dialaminya semakin pulih selepas pulang bertemu ibunya dan mendapat sokongan keluarga.
“Selepas dua hari bersama ibu, saya sudah semakin baik. Saya boleh pergi sekolah dan belajar seperti biasa.
“Sebenarnya ubat paling baik adalah doa ibu. Doa ibu memang terbaik dan kita juga perlu dekatkan diri dengan Tuhan,” katanya.
