Topik diikuti
Pergi ke BHkuMeniru itu mudah, jadi pencetus fenomena susah
Meniru itu mudah, jadi pencetus fenomena susah
Impian Jamal Abdillah lihat Osama, Zaki Yamani bina jalan sendiri dalam dunia seni
Meniru itu mudah, jadi pencetus fenomena susah
Perjalanan seni ikon muzik, Datuk Jamal Abdillah, tidak dibentuk dalam sekelip mata.
Dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai latar belakang agama yang kuat, beliau memilih laluan berbeza apabila menceburi bidang muzik sehingga akhirnya dikenali ramai sebagai Raja Pop Malaysia.
“Daripada keturunan saya, moyang saya merupakan seorang tuan guru yang mengajar agama.
“Selepas itu, datuk saya juga berkhidmat dalam bidang sama. Bapa saya pula seorang ustaz, Allahyarham Haji Mohd Ali Hussain.
“Saya pula memilih laluan berbeza apabila menceburi bidang seni.
“Selepas itu, ramai pula adik-beradik saya yang mengikut jejak langkah ini.
“Hasrat saya, suatu hari nanti akan ada pula dalam keluarga yang mengikut jejak langkah datuk dan moyang mereka dalam bidang agama.
“Buat masa ini, belum nampak lagi,” kata Jamal, atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Mohd Ali, 67 tahun, kepada Berita Minggu (BM).
Wawancara ini diadakan sempena acara kenal suai Jamal bersama peminat, “Pembuka” Bersama Jamal Abdilllah, yang berlangsung di dewan acara, De Hall, yang terletak di Tai Seng Centre, 3 Irving Road, pada 11 Julai.
Ketika itu, beliau baru sahaja merakamkan lagu berunsur kerohanian terbaharu berjudul, Pembuka, ciptaan penulis lirik asal Singapura, Shabir Amdan, 47 tahun, yang juga pakar teknologi maklumat (IT) dalam bidang pemetaan digital.
Selepas sekian lama tidak aktif dalam industri hiburan, adiknya yang juga penyanyi terkenal era 1980-an, Jamilul Hayat, 65 tahun, bersama anak saudaranya, Jamak Hussain, 23 tahun, kembali menjadi perhatian menerusi program realiti Astro, Talk To My Manager 2 (TTMM2).
Dalam masa sama, Hussain terus mengorak langkah apabila mara ke program seterusnya, Big Stage X Rocketfuel, selepas muncul sebagai Naib Juara TTMM2, baru-baru ini.
Mengulas perkembangan itu, Jamal, yang ditanya sama ada ini merupakan waktu terbaik buat mereka meneruskan legasi keluarga dalam bidang seni, akur peluang tidak wajar ditangguhkan.
“Bagi saya, tidak ada istilah masa yang tepat. Yang penting, apabila ada peluang, gunakan sebaik-baiknya.
“Tunjukkan kemampuan, perbaiki diri dan jangan bazirkan masa.
“Kalau kita asyik menunggu, itu satu kerugian,” katanya lagi.
Meskipun ‘buah tidak jatuh jauh dari pohonnya’, Jamal menegaskan memiliki pertalian darah dengan tokoh terkenal bukan jaminan untuk terus diterima dan bertahan dalam industri hiburan.
Beliau percaya setiap penyanyi, termasuk dua anak bujangnya, Osama Yamani, 24 tahun, dan Ahmad Zaki Yamani, 20 tahun, perlu mempunyai jati diri dan keunikan tersendiri.
“Hussain tak meniru suara saya. Dia ada suara dia sendiri.
“Walaupun dia suka menyanyikan lagu-lagu saya, dia tak terikat untuk jadi Jamal Abdillah.
“Bahkan, cara nyanyiannya juga tidak meniru bapanya sendiri.
“Namun begitu, anak-anak saya (Osama dan Zaki) pula memang ada bunyi suara bapanya.
“Itu memang tak boleh buat apa sebab suara itu dah terbentuk.
“Sebab itu saya selalu pesan, dalami muzik dan cari identiti sendiri.
“Yang penting, terus cari ilmu dan fahami apa yang masyarakat mahukan, khususnya generasi masa kini,” singkap penyanyi lagu, Gadis Melayu, itu.
Ada juga peminat yang mahu melihat ‘versi 3.0’ bagi lagu malar segar, Sandarkan Pada Kenangan, selepas Zaki berduet dengan anak Allahyarhamha Siti Sarah Raisuddin (rakan duet Jamal bagi lagu itu), Thalita Shuib, 13 tahun, dalam program Anugerah Gempak Most Wanted.
Video nyanyian duet mereka di TikTok sudah mencecah hampir dua juta tontonan dalam masa dua bulan.
Bagaimanapun, Jamal mengakui lebih mengharapkan anaknya itu mampu mencipta fenomena sendiri berbanding bergantung kepada kejayaan lagunya terdahulu.
“Kalau mereka rasa lagu itu boleh pergi lebih jauh daripada versi asal, silakan.
“Saya tak nak kata saya setuju atau tidak kerana bagi saya, itu sebahagian daripada penerokaan dalam seni.
“Tetapi, yang paling sukar bukan mengikut atau meniru. Yang paling sukar ialah menjadi pencetus.
“Macam Azura, Sandarkan Pada Kenangan dan Kekasih Awal Dan Akhir, lagu itu menjadi fenomena pada zamannya.
“Itulah yang saya harapkan daripada anak-anak saya. Bukan sekadar menyanyikan semula lagu orang, tetapi mencipta karya yang mampu menjadi fenomena dan ikutan generasi mereka sendiri.
“Mengikut itu mudah, meniru pun mudah. Tetapi mencetus sesuatu yang baharu, itulah yang paling susah,” ujarnya lagi.
Bagi Jamal, rahsia bertahan selama 48 tahun dalam industri hiburan bukan sekadar bergantung pada vokal sahaja.
Sebaliknya, ia menuntut kesediaan untuk terus berubah mengikut peredaran zaman tanpa mengorbankan mutu karya.
“Saya sangat menikmati apa yang saya lakukan. Minat terhadap muzik dan nyanyian tidak pernah berkurang sejak dulu hingga sekarang.
“Lebih penting lagi, kita perlu sentiasa menambah nilai diri, sama ada dari segi stamina, penampilan mahupun keterampilan.
“Masyarakat hari ini sukakan sesuatu yang indah dipandang dan sedap didengar.
“Jadi, kita perlu sentiasa mencari jalan mempertingkatkan diri.
“Setiap hasil kerja juga perlu dilakukan bersungguh-sungguh.
“Walaupun hanya berada di studio selama dua jam, manfaatkanlah dua jam itu untuk menghasilkan karya yang mampu bertahan 200 tahun akan datang,” kata Jamal.