Bukan calang-calang individu mampu menambat hati legenda muzik yang digelar Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah, untuk merakamkan karya ciptaan mereka.

Namun, pada usia 67 tahun, penyanyi yang sinonim dengan lagu cinta itu, mengakui kini lebih cenderung memilih karya yang selari dengan fasa kehidupannya berbanding terus mempertaruhkan tema asmara semata-mata.

Justeru, apabila diperkenalkan dengan lagu berunsurkan kerohanian, Pembuka, hasil ciptaan pakar teknologi maklumat (IT) dalam bidang pemetaan digital dari Singapura, Shabir Amdan, 47 tahun, Jamal percaya karya itu bertepatan dengan kematangan usia serta perjalanan seninya ketika ini.

“Bagi saya, lagu ini ada pesanannya yang tersendiri dan agak berbeza daripada lagu-lagu yang pernah saya nyanyikan sebelum ini.

“Selama ini, orang lebih mengenali saya menerusi lagu cinta. Lagu kerohanian memang ada, tetapi tidak banyak.

“Jadi, apabila ditawarkan lagu seperti ini, saya memang teruja.

“Selepas mendengar dan memahami liriknya, saya rasa bertuah kerana diberi peluang menyanyikan lagu ini,” kata Jamal dalam satu sesi wawancara bersama Berita Minggu (BM).

Dengan penampilan serba putih, dilengkapkan kaca mata hitam yang sinonim dengannya, Jamal ditemui BM di dewan acara, De Hall, yang terletak di Tai Seng Centre, 3 Irving Road, pada 11 Julai.

Ia sempena acara kenal suai, “Pembuka” Bersama Jamal Abdillah, anjuran syarikat pengurusan acara, UAiMai Pte Ltd, milik Shabir.

Dalam majlis sama, Jamal turut memperkenalkan lagu terbaharunya itu kepada peminat setia.

Meskipun begitu, beliau akhirnya tidak dapat menyanyikan lagu tersebut secara langsung kerana keadaan suaranya yang tidak mengizinkan selepas memenuhi tuntutan persembahan yang padat sejak 2025.

Karya bergenre muzik dunia itu diinspirasikan daripada Surah Al-Fatihah sebagai usaha mengajak pendengar mendekati serta menghayati makna yang terkandung dalam surah berkenaan.

Walaupun lirik dan melodinya dihasilkan sendiri oleh Shabir, teknologi kecerdasan buatan (AI) dimanfaatkan bagi memperkemaskan karya itu sebelum diperdengarkan kepada Jamal pada awal 2026.

Sebelum ini, penyanyi yang terkenal menerusi lagu, Kabus Di Wajahmu, Di Sudut Kamar Hatiku dan Derita Cinta, itu mengakui pernah menerima beberapa tawaran untuk merakamkan lagu yang dihasilkan dengan bantuan AI.

Namun, pesanan kerohanian yang diketengahkan menerusi lagu Pembuka, akhirnya berjaya menambat hatinya, sekali gus mengatasi karya lain yang pernah diterimanya.

Mengulas potensi lagu berkenaan bersaing dalam anugerah muzik, Jamal berpandangan karya yang dihasilkan dengan bantuan AI wajar dipertandingkan dalam kategori berasingan dengan garis panduan yang jelas dan ketat.

“Saya rasa karya yang dihasilkan dengan bantuan AI perlu diberikan kategori tersendiri dalam sesebuah anugerah.

“Bagi saya, ia tidak wajar bersaing dalam kategori yang sama dengan karya yang dihasilkan sepenuhnya melalui kreativiti penyanyi atau pencipta lagu.

“Kalau hendak dipertandingkan sekali pun, perlu ada garis panduan dan syarat yang jelas supaya proses penilaian kekal adil kepada semua,” ujarnya.

Beliau turut berharap lagu Pembuka mampu mengukir kejayaan tersendiri dan meninggalkan kesan yang sama seperti lagu malar segarnya, antaranya Kekasih Awal Dan Akhir dan Azura.

“Saya berharap lagu ini akan menjadi sebahagian daripada darah daging saya, sama seperti Kekasih Awal Dan Akhir dan Azura.

“Apabila orang mendengar lagu ini nanti, saya harap mereka terus mengingati Jamal Abdillah sebagai penyanyinya.

“Semoga Pembuka juga dapat dimainkan pada waktu yang sesuai seperti sambutan awal Muharam atau majlis keagamaan, dan terus berkumandang dari semasa ke semasa,” singkapnya.

Jamal telah merakamkan lagu itu pada 1 Julai lalu di Ampang Jaya, sekitar Selangor, Malaysia, selepas ia menerima sentuhan kreatif daripada vokalis kumpulan Gersang, Man Bai, serta pemain papan nada kumpulan Slam, Eddie.

Bagaimanapun, beliau bercadang merakamkannya semula sebaik sahaja keadaan suaranya pulih bagi mendapatkan hasil yang lebih memuaskan.

“Nota asal lagu ini sebenarnya agak tinggi.

“Disebabkan suara saya masih belum pulih sepenuhnya, saya rasa saya belum dapat memberikan persembahan yang terbaik.

“Kalau ada peluang, saya memang bercadang untuk merakamkannya semula mengikut nota asal supaya hasilnya lebih memuaskan hati,” kata Jamal.