Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsteri Eiss reda perlu ‘kongsi’ suami dengan peminat
Lebih sedekad jadi tulang belakang, Norazura Mohd Ismail terus beri ruang Juara GV12 kejar impian seni di M’sia
Isteri Eiss reda perlu ‘kongsi’ suami dengan peminat
Lebih sedekad mendampingi penyanyi tempatan Iskandar Ismail, Norazura Mohd Ismail, menyaksikan sendiri pelbagai liku yang mewarnai perjalanan seni suaminya.
Daripada mencari rezeki sebagai penyanyi kelab malam hinggalah impiannya menguji kemampuan di pentas adu bakat terkenal, Gegar Vaganza 12 (GV12), terbitan Astro, Norazura, 38 tahun, kekal berada di sisi memberikan sokongan.
Malah, jauh sebelum Iskandar atau lebih mesra disapa Eiss dinobatkan sebagai Juara GV12, Norazura sudah lama mengetahui impian suaminya untuk mencuba nasib dalam pertandingan tersebut.
“Beliau (Eiss) memang nak masuk sejak GV musim pertama lagi.
“Beliau selalu tertanya-tanya sejauh mana beliau boleh ‘pergi’ kalau menyertai pertandingan itu.
“Perkara itu memang sentiasa ada dalam fikirannya.
“Jadi, apabila beliau mendapat peluang, ia memang sesuatu yang sangat menyentuh perasaan,” katanya kepada Berita Minggu (BM) seusai acara kenal suai Eiss di restoran Permata, sekitar Kampong Gelam, pada 29 Ogos.
Norazura, yang turut mengusahakan perniagaan dari rumah, Vivavanilla, dengan menjual kek marble jelita, tart dan biskut cip coklat, berkata antara detik paling menyentuh hatinya ialah ketika suaminya mendendangkan Gurindam Jiwa, lagu nyanyian asal arwah bapa Eiss, Allahyarham R. Ismail, pada persembahan pertama GV12.
“Sebelum ini, setiap kali lagu arwah abahnya diputarkan di radio, Eiss selalunya tidak mahu mendengarnya.
“Pemergian arwah meninggalkan kesan yang begitu mendalam buat Eiss kerana beliau merupakan orang terakhir yang berada di sisi bapanya ketika arwah menghembuskan nafas terakhir.
“Jadi, apabila beliau menyanyikan lagu itu di pentas GV12, ada bahagian suaranya kedengaran sedikit pecah kerana menahan sebak.
“Namun, saya dapat rasakan semangatnya ketika itu.
“Beliau bersungguh-sungguh mahu menunjukkan kemampuan dirinya sebagai anak Allahyarham R. Ismail dan membuat arwah abahnya bangga,” kongsi Norazura sambil menahan sebak.
Menurut ibu dua anak berusia tujuh dan sembilan tahun itu, kemenangan tersebut bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam kerjaya Eiss, malah mengubah kehidupan keluarga mereka.
Selepas sekitar 13 tahun mendirikan rumah tangga, sejak 2013, Norazura kini perlu membiasakan diri dengan perhatian yang diterima Eiss daripada masyarakat, khususnya peminat yang menggelarkan diri mereka, Eissentials.
“Selepas GV12, sudah tentu keadaannya berbeza. Beliau mendapat lebih banyak perhatian di mana-mana.
“Saya perlu menerima kenyataan yang sekarang saya perlu ‘berkongsi’ Eiss dengan peminat.
“Bagaimanapun, melihat peminatnya sekarang, saya tahu ramai sebenarnya sudah menyokongnya sejak bertahun-tahun lalu.
“Apabila beliau menyertai GV12, sokongan itu menjadi lebih besar.
“Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada peminatnya atas sokongan yang diberikan kepadanya sejauh ini,” ujarnya.
Di sebalik kesibukan memenuhi undangan persembahan dan berulang-alik ke Kuala Lumpur, Malaysia, atas tuntutan kerjaya seni, Eiss kini mempunyai lebih banyak ruang untuk meluangkan masa bersama keluarga.
Menurut Norazura, ketika Eiss masih mencari rezeki sebagai penyanyi kelab malam, jadual kerjanya yang padat sering membataskan masa mereka bersama sehingga sukar merancang percutian mahupun menghadiri acara keluarga.
Kini, meskipun Eiss kerap berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk memenuhi komitmen seni, Norazura tetap memahami tuntutan kerjaya suaminya dan terus memberikan sokongan serta ruang untuk Eiss mengejar minat dalam bidang seni.
“Dahulu beliau bekerja malam, enam hari seminggu, jadi masa kami bersama memang terhad.
“Sukar untuk merancang percutian atau menghadiri acara keluarga bersama.
“Namun, sekarang kami ada lebih banyak masa bersama.
“Beliau juga berpeluang mengambil anak-anak pulang dari sekolah dan perkara kecil seperti itu membuatkannya gembira,” kata Norazura.
