Tuah di tangan penyanyi Singapura, Iskandar Ismail, 47 tahun, apabila berhasil mencuri perhatian juri bagi program popular terbitan Astro, Gegar Vaganza Musim 12 (GV12) dengan persembahan yang dikatakan sempurna.
Beliau sekali gus mencatat sejarah menjadi peserta pertama dalam peraduan GV12 yang mendapatkan tepukan sanjungan ramai daripada ketiga-tiga juri tetap yang terdiri daripada Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan Datuk Ramli M.S.
Pada minggu separuh akhir (11 Jan) yang bertemakan medley Antarabangsa dan Nusantara, Iskandar yang mesra disapa Eiss, mempertaruhkan lagu Iris, yang asalnya dinyanyikan oleh Datuk Awie, menerusi persembahan akustik yang santai.
Beliau kemudian menyajikan persembahan penuh ligat dan memukau dengan lagu antarabangsa berbahasa Sepanyol, Despacito, dendangan asal Luis Fonsi.
“Saya betul-betul tidak sangka. Apatah lagi ketika mendapat ucapan, ‘Gebrek’, daripada Bunda (panggilan buat Hetty Koes Endang).
“Saya berterima kasih kepada ketiga-tiga juri, Bunda, Tok Ram dan juga Tok Naz, kerana telah memberikan standing ovation (tepukan sanjungan ramai) pada saya.
“Apa yang dipersembahkan merupakan kemampuan terbaik saya, dan Alhamdulillah usaha itu dapat dilihat serta dihargai.
“Saya benar-benar terharu. Sejujurnya, saya hampir menitiskan air mata tadi (11 Jan),” kata Eiss dalam satu wawancara di sidang media selepas persembahan minggu separuh akhir di GV12.
Ia berlangsung di dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia.
Dalam masa sama, ucapan keramat ‘Gebrek’ daripada juri tetap Hetty yang sekian lama dinanti-nantikan Eiss sejak GV12 bermula pada 2 November 2025, akhirnya terlafaz.
Ungkapan tersebut sering dianggap sebagai isyarat kuat peserta berkenaan berpeluang besar meraih kedudukan juara atau sekurang-kurangnya berada dalam kedudukan tiga terbaik pada pusingan akhir.
Di samping itu, Eiss turut akur lagu Despacito, sukar untuk dinyanyikan.
Selain dinyanyikan dalam bahasa asing, lagu itu juga berbentuk ‘rap’ yang menuntut beliau mengatur pernafasan dengan teliti, di samping mengimbangkan pergerakan sepanjang persembahan.
“Buat semput sebenarnya lagu itu. Pada bahagian ‘rap’, saya perlu bijak ‘curi’ pernafasan, sedikit demi sedikit.
“Sebelum ini saya pernah membawakan lagu tersebut, namun sudah beberapa bulan saya tidak menyanyikannya.
“Ini merupakan antara cabaran terbesar saya di GV12. Saya bersungguh-sungguh berlatih, sehingga tidak dapat meluangkan masa bersama isteri saya, meskipun beliau turut berada di Kuala Lumpur saat itu.
“Sementara beliau menonton filem Hindustan, saya pula tidak berhenti berlatih menyanyikan lagu Despacito,” katanya lagi.
Hasil persembahan cemerlang itu, Eiss memperolehi markah tertinggi sebanyak 77.75 peratus, sekali gus melayakkan dirinya sebagai peserta pertama GV12 ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 18 Januari.
Beliau turut membawa pulang Anugerah Adabi Ada Beats Baru Rancak bernilai RM10,000 ($3,164).
Bagi pusingan akhir GV12, Eiss bakal mempertaruhkan lagu Madah Berhelah, dendangan asal Ziana Zain, melalui persembahan solo.
Manakala, bagi lagu duet Senja Nan Merah (nyanyian asal Datuk Awie dan Ziana Zain), beliau akan berduet dengan juara Gegar Vaganza Musim 9 (GV9) serta Gegar Vaganza All Stars pada 2023, Jaclyn Victor.
Sementara itu, impian penyanyi kelahiran Riau, Indonesia, Shae atau nama sebenarnya Sheryl Gething, 31 tahun, untuk mara ke peringkat akhir GV12 terhenti apabila diumumkan sebagai peserta dengan markah terendah iaitu 65 peratus.
Shae mempersembahkan dua lagu iaitu lagu berbahasa Sepanyol, Rosalinda, yang dipopularkan penyanyi Mexico, Thalia, serta Toyol nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.
Hetty turut berpendapat Shae seharusnya mengekalkan penggunaan suara aslinya berbanding terlalu banyak bereksperimen dengan teknik vokal.
Bagaimanapun, Shae kekal positif meskipun diumumkan tersingkir pada peringkat separuh akhir.
“Pusingan separuh akhir ini sangat mencabar kerana kami perlu menghafal dua lagu secara serentak.
“Ketika menyanyikan lagu Rosalinda, saya tersilap lirik pada bahagian rangkap (verse) kedua.
“Namun, saya menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka,” kata Shae yang tidak pulang dengan tangan kosong.
Beliau menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM8,000 oleh pihak penganjur program tersebut.
Berikut ialah keputusan bagi pusingan separuh akhir GV12:
– Iskandar Ismail (Iris & Despacito): 77.75%
– Mendua (Beautiful & Rembulan): 70.00%
– Mark Adam (Anak & Singkong dan Keju): 68.25%
– Mel Sakura (Pangako Sayo & Dunia Belum Berakhir): 66.75%
– Nubhan (Sumpah dan Cinta Matiku & Fantastic Baby): 66.00%
– Ruri Republik (La Bamba & Munajat Cinta): 65.50%
– Shae (Rosalinda & Toyol): 65.00%


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg