SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Harungi fasa ‘naik turun’ termasuk rasa serba salah tinggalkan anak demi kerja

Harungi fasa ‘naik turun’ termasuk rasa serba salah tinggalkan anak demi kerja

Anak sumber kekuatan Nabila Razali lalui cabaran dunia seni
Mar 15, 2026 | 5:30 AM

Harungi fasa ‘naik turun’ termasuk rasa serba salah tinggalkan anak demi kerja

nabila razali
Hasil perkahwinan penyanyi Nabila Razali (kanan) dengan ahli perniagaan, Nik Iruwan Nik Izani (kiri), pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki, Nik Muhammad Nik Iruwan, yang kini berusia setahun. - Foto INSTAGRAM NABILA RAZALI

Seperti kebanyakan ibu bekerja yang lain, penyanyi, pelakon dan usahawan dari seberang, Nabila Razali, turut melalui pelbagai fasa ‘naik turun’ sejak bergelar ibu buat kali pertama.

Memantau anak menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) setiap kali keluar rumah bekerja antara perkara yang sering dilakukan penyanyi lagu Hanya Kamu itu, yang mengakui pernah berdepan dengan ‘mum guilt’ atau rasa serba salah sebagai seorang ibu.

Nabila, 33 tahun, atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali, yang juga ibu kepada seorang anak lelaki, Nik Muhammad Nik Iruwan, setahun, berkata kepada Berita Minggu (BM):

“Pada awalnya, memang saya berdepan dengan ‘mum guilt’.

“Saya juga banyak bertanya kepada rakan artis yang berada dalam situasi sama seperti, ‘Macam mana kau boleh tinggalkan anak demi kerja?’

“Saya tidaklah sampai menangis setiap kali perlu meninggalkan Muhammad untuk bekerja.

“Memandangkan di rumah ada CCTV, setiap kali keluar bekerja, saya akan sentiasa memantau kegiatannya di rumah.

“Pada waktu malam pula, saya biasakan anak tidur dengan saya kerana itulah sahaja masa yang ada untuk kami bersama-sama.”

Beliau, yang baru sahaja selesai menyertai acara dagangan Celebfest Ramadan 2026 di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec dengan menjual kuih ‘cornflakes’, Madew, ditemui BM di pejabat SPH Media, pada 2 Mac.

Acara dagangan tersebut berlangsung antara 27 Februari dengan 1 Mac.

Menurut Nabila, perasaan serba salah itu, bagaimanapun semakin dapat dikawal seiring dengan masa.

“Lama-kelamaan setelah bergelar ibu, saya percaya kita tidak boleh terlalu risau tentang perkara itu (meninggalkan anak demi kerja).

“Saya yakin sebagai seorang wanita, kita juga perlu mempunyai pendapatan sendiri, di samping memikirkan masa depan anak.

“Sebab itu, setiap kali ada masa lapang sebelum atau selepas bekerja, saya akan pastikan untuk meluangkan masa bersama anak.

“Dalam hal ini, pengurusan masa memang sangat penting.

“Jika kita dapat mengurus masa dengan baik, insya-Allah saya percaya ibu-ibu lain juga mampu berjaya dan mencapai ‘work-life balance’ atau keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan,” katanya yang bersuamikan ahli perniagaan, Nik Iruwan Nik Izani, 41 tahun.

Walaupun kini menggalas pelbagai tanggungjawab sebagai ibu, penyanyi, pelakon dan usahawan yang menjual kuih ‘cornflakes’ berperisa, Nabila akur sokongan daripada keluarga serta rakan dalam industri banyak membantunya mengharungi cabaran.

Malah, bagi Nabila, mereka jugalah yang berani menegurnya jika beliau tersilap langkah, sekali gus memastikan dirinya sentiasa berpijak di bumi nyata.

“Alhamdulillah, saya dikelilingi rakan selebriti, pasukan dan keluarga yang prihatin terhadap saya.

“Mereka sentiasa menyokong saya, tetapi itu tidak bermakna jika saya melakukan kesalahan, mereka akan terus menyebelahi saya.

“Kalau saya tersilap langkah atau melakukan kesilapan dalam industri seni, merekalah orang pertama yang akan menegur saya.

“Itulah yang membuatkan saya bersyukur kerana mempunyai kawan yang berani membetulkan saya.

“Bagus sebenarnya mempunyai sistem sokongan, tetapi bukanlah untuk menjadi ‘enabler’ (pendaya) kepada kesalahan yang dilakukan,” ujarnya.

Kini, selain aktif dalam bidang nyanyian, Nabila turut membintangi drama bersiri terbaharu dengan 20 episod, Sesaat Lebih, yang sedang ditayangkan di platform penstriman Viu.

Drama bersiri ini menampilkan Nabila sebagai Adelia, seorang wanita berkerjaya yang kehidupannya diulit cabaran selepas kematian mengejut suaminya, Haoyu (lakonan Alvin Chong).

Pada masa sama, beliau turut tampil dalam drama mikro di platform yang sama, Di Sebalik Cahaya Raya, dan disiarkan sempena musim perayaan Aidilfitri ini.

Bahkan, lagu Raya terbaharu Nabila, Tak Sabar Nak Raya, turut dijadikan runut bunyi (OST) bagi drama mikro tersebut.

Berbicara tentang dunia lakonan, Nabila akur beliau lebih berhati-hati dalam memilih naskhah bagi memastikan setiap watak yang dibawakan bukan sahaja dapat meninggalkan kesan mendalam pada penonton, malah menjadi ruang untuk dirinya terus mengasah kemahiran lakonan.

“Setiap watak yang pernah saya bawakan sebelum ini sangat rencam, dan alhamdulillah, belum ada yang serupa.

“Namun begitu, saya akui semakin lama, cabaran semakin besar.

“Sewaktu awal berlakon, saya pernah membawa watak anak orang kaya, anak orang miskin… semuanya memberi pengalaman berbeza yang membentuk lakonan saya.

“Salah satu watak yang paling saya teruja lakonkan adalah dalam drama, Bawah Payung Awan, sebagai anak pelacur yang berjaya, walaupun dibesarkan di kawasan setinggan.

“Baru-baru ini, saya membawakan watak Adelia dalam drama, Sesaat Lebih, iaitu seorang isteri yang kehilangan suami dan mengalami halusinasi, sekali gus menuntut pemahaman isu kesihatan mental.

“Bagi saya, setiap watak mempunyai cabaran tersendiri. Ini turut memberi saya ruang untuk berkembang dari segi lakonan,” kata Nabila.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg