Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Exists, Slam ‘kembali terjalin’ gegar dewan konsert di S’pura

Konsert bukti kekuatan sebenar persembahan tanpa gimik, hanya dengan susunan muzik, vokal dan kehebatan lagu
Dec 3, 2025 | 5:30 AM
ExistsXSlam Live in Singapore, exists, slam, zamani, ezad, konsert
Vokalis kumpulan Exists, Ezad (kiri) bersama Zamani berkongsi satu pentas menyampaikan lagu ‘Kembali Terjalin’ serta ‘Alasanmu’ secara duet pada penghujung konsert ‘ExistsXSlam Live in Singapore’, yang diadakan di The Star Theatre pada 29 November. - Foto SHIRAZ PROJECTS

Tatkala rakan sebaya memenuhi Stadium Negara 29 November lalu untuk menonton konsert K-Pop Blackpink, saya pula memilih untuk mengulit malam Ahad saya dengan menyaksikan dua nama besar dalam persada seni, Slam dan Exists, beraksi di atas pentas.

Konsert ‘ExistsXSlam Live in Singapore’, anjuran Shiraz Projects, yang diadakan di dewan The Star Theatre, menyaksikan sekitar 3,500 peminat hadir, bukti betapa balada rok masih bertaring dan tetap memiliki daya tarikan bagi penonton dari segenap lapisan usia.

Tepat 8.10 malam, tirai pentas dibuka.

Kumpulan Slam yang dianggotai Zamani (vokalis), Shah (gitar), Eddie (papan nada), Lili (bes) dan Man (dram) menguasai pentas dengan membawa lagu popular mereka, Nur Kasih.

Lagu yang berentak pop itu membangkitkan suasana konsert sebelum Slam menyampaikan deretan lagu mereka yang lain, kebanyakannya genre ‘tangkap lentok’, seperti Terasing Dalam Sepi, Mentari Muncul Lagi, Entah Mengapa, Suratan, Tidak Mungkin Berpaling, Rayuan Di Puncak Genting, Kurnia, Kita Terpaksa Bermusuhan, Maria Mariana dan dua lagu wajib mereka, Gerimis Mengundang serta Kembali Merindu yang diberi nafas baru.

Dalam Kembali Merindu, mereka secara kreatifnya menggabungkan lagu rakyat Geylang Si Paku Geylang, manakala dalam lagu Gerimis Mengundang, Slam berjaya mengubah versi asli akustik kepada tempo yang lebih rancak.

Vokalis Slam, Zamani (kanan) bersama pemain gitar, Shah (kiri) dan pemain bes, Lili.
Vokalis Slam, Zamani (kanan) bersama pemain gitar, Shah (kiri) dan pemain bes, Lili. - Foto SHIRAZ PROJECTS

Setelah satu jam setengah Slam menghiburkan penonton, giliran Exists pula mengambil alih pentas dengan lagu Mama Tolonglah Percaya, diikuti dengan lagu killer mereka, Masih Terserlah Ayumu.

Exists yang dianggotai Ezad (vokalis), Along (gitar), Musa (bes), Ajai (papan nada) dan Ujang (dram), juga tidak ketinggalan menyampaikan beberapa lagu yang telah menjulang nama kumpulan itu di awal kemunculan mereka, seperti Janji Padamu, Rahsia Pohon Cemara dan Langkah Seiringan.

Selain itu, mereka turut membawakan beberapa lagu popular lain — seperti Bunga, Julia, Seperti Dulu, Percayakan Siti, Jesnita — dan sudah tentu tidak lengkap tanpa lagu malar segar mereka, Mengintai Dari Tirai Kamar.

Vokalis Exists, Ezad (kiri), diiringi pemain bes kumpulan itu, Musa sepanjang konsert berlangsung.
Vokalis Exists, Ezad (kiri), diiringi pemain bes kumpulan itu, Musa sepanjang konsert berlangsung. - Foto SHIRAZ PROJECTS

Pada penghujung konsert, Slam dan Exists bergabung di atas pentas untuk membawa lagu Kembali Terjalin serta Alasanmu secara duet.

Apabila menyentuh soal nyanyian, memang tidak dapat dinafikan vokal Zamani dan Ezad ketika live malam itu benar-benar ‘suara telan kaset’, lantunan mereka sebiji seperti rakaman asal.

Ajai, pemain papan nada kumpulan Exists, yang juga seorang komposer dikenali ramai, mencuri perhatian penonton pada malam konsert itu.
Ajai, pemain papan nada kumpulan Exists, yang juga seorang komposer dikenali ramai, mencuri perhatian penonton pada malam konsert itu. - Foto SHIRAZ PROJECTS

Dengan suara Zamani yang gemersik dan syahdu serta suara Ezad yang bernada rendah dan merdu, ia membuai rasa setiap penonton di dalam dewan.

Suasana konsert bertambah gamat apabila penonton yang hadir turut berdansa dan bernyanyi bersama-sama sepenuh hati, menjiwai setiap bait lagu yang dipersembahkan.

Ada seorang warganet di platform media sosial Threads, membandingkan vibe penonton di konsert Blackpink, dengan konsert Exists dan Slam ini.

Beliau menulis: “Bising-bising pasal konsert Blackpink di Singapura tiada vibe. Anda silaplah.. Crowd (Penonton) yang best semua di Star Vista sebenarnya layan Exists dan Slam. Mak-mak, bapak-bapak, akak-akak, abang-abang… korang semua best!”

Secara keseluruhan konsert ini menunjukkan kekuatan sebenar sebuah persembahan yang tiada gimik, tiada kebergantungan pada visual mewah, tetapi cukup dengan susunan muzik, vokal dan kehebatan lagu itu sendiri sudah lebih daripada memadai.

Cuma bagi saya, konsert ini akan menjadi lebih sempurna jika kesemua lagu yang dipersembahkan malam itu, diiringi dengan paparan lirik di skrin layar terutama untuk lagu yang kurang popular.

Maklumlah yang datang rata-rata golongan ‘akak-akak dan abang-abang’. Jadi, lagu pun ada yang sudah ingat-ingat lupa liriknya untuk menyanyi bersama-sama.

Dari segi pemilihan lagu, saya sangat puas hati dengan deretan lagu yang disampaikan Exists, di mana kesemuanya merupakan killer song mereka.

Namun untuk Slam, sayangnya tidak semua lagu yang dibawa boleh dikategorikan lagu cari makan mereka.

Ketiadaan lagu yang sudah menjadi sebahagian identiti Slam seperti Jika Kau Rasa Getarnya dan Rindiani sedikit mengecewakan.

Mungkin juga alasannya ingin menyuntik sedikit kelainan daripada konsert di Kuala Lumpur yang diadakan pada Julai lalu (2025).

Apa pun, konsert ‘ExistsXSlam Live in Singapore’ boleh dikatakan antara konsert terbaik yang pernah saya saksikan.

Konsert ini membuktikan irama balada rok masih mampu menyentuh jiwa, meruntun nostalgia dan menyatukan generasi peminat.

Dewan konsert di The Star Theatre dibanjiri sekitar 3,500 peminat Exists dan Slam, lantas membuktikan balada rok Melayu masih bertaring dan memiliki daya tarikannya yang tersendiri.
Dewan konsert di The Star Theatre dibanjiri sekitar 3,500 peminat Exists dan Slam, lantas membuktikan balada rok Melayu masih bertaring dan memiliki daya tarikannya yang tersendiri. -

Syabas diucapkan kepada semua tenaga produksi konsert dan Shiraz Projects kerana berjaya menyatukan dua ikon rok Melayu di atas satu pentas.

Saya pasti ramai yang hadir melihat konsert ini sebagai jambatan masa mengimbau kenangan zaman belia dan pada masa yang sama, dapat melakar satu memori baru yang indah untuk diingati sampai bila-bila.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg