Topic followed successfully
Go to BHkuCik Lan syukur dihargai peminat meski akur ada yang ‘potong jalan’
Cik Lan syukur dihargai peminat meski akur ada yang ‘potong jalan’
Cik Lan syukur dihargai peminat meski akur ada yang ‘potong jalan’
Cogan kata ‘adik-adik’ bukan lagi asing bagi peminat dunia hiburan kerana ia telah menjadi identiti serta tanda dagang unik buat pengacara dan penghibur tempatan, Roslan Shah.
Kehadiran penghibur sensasi itu dalam program Sinar Lebaran 2026, terbitan Mediacorp Suria, pada 20 Mac lalu, nyatanya tidak mengecewakan dan meleset sama sekali.
Ramai yang terhibur dengan gelagatnya yang mencuit hati, menyerikan lagi suasana pada malam Raya.
Malah, terdapat segelintir netizen turut meninggalkan komen positif di akaun Instagram milik Roslan, atau nama sebenarnya Roslan Udin, 55 tahun, yang akur menikmati persembahannya, meskipun sudah lebih 20 tahun tidak muncul di kaca televisyen Singapura.
Roslan, yang terharu dengan sambutan hangat diterima, memberitahu Berita Minggu (BM):
“Seingat saya, kali terakhir muncul di kaca televisyen, antara 1996 dengan 1998.
“Apabila ditawarkan untuk menjayakan Sinar Lebaran 2026, tentunya Cik Lan (panggilan buat dirinya) sangat berbesar hati setelah sekian lama ‘menyepi’ daripada program televisyen di Singapura.
“Mungkin, inilah berkat daripada menjaga arwah ibu, dan populariti saya yang meningkat naik pada 2026 menerusi program Night Walk di laman YouTube bersama MBK Film.
“Pada masa sama, Cik Lan juga terharu dengan kata-kata semangat diberikan oleh peminat.
“Ramai yang berkata mereka terhibur dengan sketsa komedi bagi edisi Sinar Lebaran kali ini, malah penampilan Cik Lan dianggap membawa kelainan yang menyegarkan.”
Bagi Roslan, 2026 menjadi tahun bertuah buatnya dengan kerjaya seni yang kembali bersinar seiring populariti yang melonjak.
Sepanjang Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri, jadual Roslan padat dengan majlis berbuka puasa serta pembukaan gerai perniagaan di bazar di beberapa tempat, termasuk Geylang, Admiralty dan Singapore Expo.
Malah, sehingga kini, beliau masih menerima undangan persembahan dan program televisyen di Singapura mahupun di seberang Tambak.
Lebih mengejutkan lagi, setelah meraih populariti, Roslan tidak menyangka mempunyai peminat semuda empat tahun.
“Sekali itu, saya pernah berjalan di sekitar bazar, lalu ada seorang peminat yang menghampiri saya dengan anaknya.
“Katanya, anaknya yang berusia empat tahun itu, minat dengan Cik Lan, dan selalu menonton video saya di laman media sosial.
“Saya pun terkejut! Macam mana pula, anak seusia empat tahun boleh minat dengan saya?
“Bapa itu juga berkongsi anaknya suka menonton video Night Walk bersama beliau, dan mudah terhibur dengan jenaka yang saya hasilkan.
“Ini membuatkan saya sedar dan lebih bersemangat untuk terus menghiburkan orang lain.
“Tetapi dalam usaha menghiburkan orang, kita juga perlu menyebarkan nilai-nilai yang baik,” katanya lagi.
Di samping itu, Roslan juga kerap membuat siaran langsung di TikTok, berkongsi pengalaman dan cabaran menjaga bapa tirinya, Encik Mohammad Norani Mohamad Esa, 72 tahun, yang menghidap kencing manis.
“Dahulu, saya gemar buat ‘live’ di Facebook sambil menjaga arwah ibu, untuk memberi motivasi kepada orang lain, walaupun ramai tidak sukakan saya.
“Kini, saya melakukan perkara yang sama di laman TikTok dengan bapa tiri saya, dari mengurus keperluan harian hingga membantu membersihkan diri beliau.
“Namun begitu, ada sebahagian perkara yang saya tidak tunjukkan pada umum demi menjaga aibnya.
“Saya bersyukur kerana ramai di ruangan komen berasa lebih bersemangat untuk menjaga orang tua, dan berasakan usaha mereka dihargai,” kongsi Roslan, yang memiliki sekitar 268,600 pengikut di laman TikTok.
Ibu Roslan, Allahyarhamha Mariam Kari, telah kembali ke rahmatullah pada 2019, akibat barah perut tahap empat.
Dalam pada itu, mengimbau pengalaman membawa artis dari seberang untuk berniaga bersamanya di Singapura, Roslan akur berdepan cabaran dengan individu yang bak kacang lupakan kulit.
Bagaimanapun, perkara itu tidak menjejaskan dirinya, kerana Roslan yakin pada setiap rezeki yang sudah tertulis.
“Apabila kita membawa artis lain untuk berniaga bersama, semuanya perlu dilakukan dengan hati yang ikhlas.
“Ada artis yang pernah saya bawa ke Singapura dahulu, yang masih menghargai saya.
“Namun, ada segelintir yang lupa diri. Memang tidak mudah untuk membawa artis berniaga di sini… saya ingat ada yang sampai memohon dan meminta-minta peluang daripada saya.
“Tetapi saya okey sahaja. Semua itu sebahagian daripada adat dalam dunia hiburan dan perniagaan.
“Ada juga yang cuba memotong jalan saya apabila saya ingin membawa artis lain.
“Yang penting, kita perlu sentiasa kekal positif,” ujarnya.
Sebelum mengakhiri bicara, Roslan turut menitipkan kata-kata hikmah buat artis tempatan yang ingin mencuba nasib di seberang Tambak.
“Dalam industri ini, ada yang menyokong, ada yang tidak.
“Malah ada juga yang cuba menjatuhkan kita.
“Untuk terus maju, bukan mudah. Jadi, kita perlu pandai bergaul, bertutur dan sentiasa berhati-hati.
“Pelbagai tawaran akan diterima, termasuk perkara-perkara yang tidak wajar atau diingini, yang menjadi ujian terhadap diri kita sendiri,” jelas Roslan lagi.

