Topic followed successfully
Go to BHkuAir mata Syawal Cik Lan berlinang kenang kasih arwah mak
Air mata Syawal Cik Lan berlinang kenang kasih arwah mak
Personaliti S’pura tak sampai hati beraya di seberang demi amanah jaga bapa tiri
Air mata Syawal Cik Lan berlinang kenang kasih arwah mak
Setiap kali Aidilfitri menjelma, hati penghibur dan personaliti popular kelahiran Singapura, Roslan Shah, atau nama sebenarnya, Roslan Udin, diselubungi kerinduan mendalam terhadap insan bergelar ibu, iaitu Allahyarhamha Mariam Kari.
Kata-kata Cik Mariam yang seolah-olah membangkitkan semangat Roslan, 55 tahun, ketika tidak dapat pulang beraya pada awal 2000-an, gara-gara tertinggal bas dari Malaysia ke Singapura, masih lagi jelas dalam ingatan.
“Cik Lan (panggilan buat dirinya) memulakan kerjaya di Malaysia hampir 30 tahun.
“Pada 2006, Cik Lan ingat lagi peristiwa tertinggal bas ketika hendak pulang ke Singapura dari Ampang, Kuala Lumpur, Malaysia.
“Masa itu masih lagi bulan puasa, dan kebetulan jalan raya ‘jam’ (sesak) teruk. Bas saya sepatutnya bertolak 8 malam, jadi saya keluar rumah sekitar 6.15 petang.
“Namun, saya tiba di terminal bas pada 8.05 malam. Bas sudah pun bertolak.
“Saya sangat sedih. Semua tiket bas sudah habis. Hanya tersisa tiket penerbangan pada Hari Raya kedua.
“Masa itu, mak saya belum sakit lagi. Saya sudah pun belikan baju kurung dan cincin emas untuknya.
“Namun, kata-kata mak begitu menenangkan hati, ‘Tak apa. Alah, bukan 10 hari, baru satu hari saja. Esok pun kau dah balik’,” kata Roslan, ketika dihubungi Berita Minggu (BM) melalui Zoom, pada 19 Mac.
Ketika diwawancara BM, pandangannya sentiasa melirik ke arah katil hospital yang masih setia berada di sudut bilik di kediamannya sekitar Tampines.
Di situlah suatu ketika dahulu, Allahyarhamha Mariam, 83 tahun, yang menghembuskan nafas terakhir pada 2019 akibat barah perut tahap empat, menghabiskan sisa hayatnya.
Roslan masih mengingati detik itu dengan jelas apabila beliau meluangkan masa di sisi arwah ibunya sebelum berangkat ke Malaysia bagi menghadiri acara dagangan, CikB Vaganza Food Fest, pada 2019.
Tanpa disangka Roslan, pertemuan itu menjadi yang terakhir antara beliau dengan insan yang paling disayanginya.
“Sebelum mak meninggal dunia, Cik Lan selalu belikan pakaian dan barang kemas untuk beliau.
“Beliau jugalah yang akan sibuk di dapur menjelang Aidilfitri, menyiapkan juadah untuk kami anak-beranak, dan tahu benar cita rasa Cik Lan.
“Yang paling saya rindu ialah kucupannya di pipi saya. Biasanya, orang lihat saya ‘hyper’ (bertenaga) di luar.
“Tetapi setiap Hari Raya, di dalam bilik inilah saya tumpahkan segala perasaan… menangis dek terlalu rindu pada mak saya.
“Sampai sekarang, Cik Lan masih menggunakan katil mak untuk berehat dan tidur, kerana sayalah yang terakhir kali tidur di sisi mak sebelum beliau meninggal dunia.
“Ketika itu, saya berkata pada mak, ‘Mak, saya ada ‘show’ di Malaysia. Mak di sini, macam mana?’
“Walaupun dalam keadaan sakit, beliau tetap merestui saya menghadiri acara tersebut.
“Keesokan harinya, setibanya saya di Kuala Lumpur pada petang hari, beliau sudah meninggal dunia,” kongsi anak ketujuh dalam keluarga lapan beradik itu.
Roslan akur dirinya sangat rapat dengan arwah ibunya.
Bahkan, beliau sendiri yang setia mengurus Allahyarhamha Mariam dengan penuh perhatian daripada memberi ubat, menguruskan diri dan menukarkan lampinnya.
Kini, bersandarkan kenangan dan amanah arwah ibu, Roslan menumpukan sepenuh perhatian pula bagi menjaga bapa tirinya, Encik Mohammad Norani Mohamad Esa, 72 tahun.
Encik Norani menghidap kencing manis, dan disebabkan itu, penglihatannya turut terjejas.
“Ibu Cik Lan yang menitipkan amanah untuk saya jaga bapa tiri saya.
“Sebelum ini, kami adik-beradik pernah berbincang sama ada mahu menghantarnya ke rumah kebajikan.
“Namun, kata-kata ibu Cik Lan itu masih terngiang-ngiang di telinga. Dulu, saya tidak rapat dengan pak cik (panggilan buat Encik Norani).
“Arwah mak berkahwin dengannya ketika saya berumur 27 tahun. Bagaimanapun, Cik Lan tetap nak jaga pak cik, walaupun sibuk dengan kerja.
“Apabila saya ada ‘show’, saya dan adik-beradik akan bergilir-gilir memastikan pak cik sentiasa terurus,” katanya lagi.
Dalam kesibukan menjayakan acara yang datang silih berganti, impian merakamkan lagu baru bertema Hari Raya berhasil dan dikotakan juga oleh Roslan, pada 2026.
Selepas namanya naik ke tangga populariti hasil fenomena program Night Walk, anjuran MBK Film di laman YouTube, semangatnya kian berkobar-kobar untuk merakamkan bukan hanya satu, malah dua lagu duet Lebaran bersama artis dari seberang.
Lagu Hari Raya pertama iaitu, Alamak! Terlepas Bus Raya, diilhamkan daripada pengalaman peribadi Roslan.
Lagu berentak muzik elektronik itu dinyanyikan bersama pelawak mapan dan anggota kumpulan Senario, Yassin Senario, dan mendapat sentuhan komposer, Akie Theflow, dengan lirik ditulis oleh Roslan sendiri bersama Akie.
Manakala, lagu Lebaran kedua berjudul, Sasuey Raya, yang menyisipkan pesanan tentang adab semasa beraya, merupakan duetnya bersama penyanyi dan personaliti Malaysia, Datuk Ifa Raziah.
Lagu itu merupakan ciptaan Adi Priyo daripada kumpulan 6ixthsense dan diterbitkan Impact Music & Entertainment.
“Cik Lan menjemput Yassin bagi duet Lebaran ini kerana kelmarin, beliau turut terlibat dalam rakaman program Night Walk, sekitar Januari (2026).
“Yassin senang untuk diajak bekerjasama walaupun terkenal dalam kumpulan Senario. Apabila Cik Lan tawar peluang itu sebulan sebelum Ramadan, beliau bersetuju.
“Sebenarnya, lagu Alamak! Terlepas Bus Raya ini dirancang dirakam bersama pelawak, Zizan Razak.
“Tetapi, jadual Zizan terlalu padat kerana sedang dalam proses penggambaran bagi sebuah filem.
“Sementara itu, bagi lagu, Sasuey Raya, ia merupakan kali pertama Cik Lan bekerjasama dengan Ifa Raziah bagi lagu bertema Aidilfitri,” katanya.
Aidilfitri 2026 disambut penuh makna oleh Roslan bersama bapa tirinya.
Beliau, yang sebelum ini sering menyambut Lebaran di perantauan, akur dengan keputusan itu kerana tidak mahu meninggalkan Encik Norani keseorangan.
“Tahun ini (2026), saya dapat tunaikan permintaan bapa tiri saya, yang menginginkan tiga helai jubah.
“Beliau mahu jubah berwarna putih, hijau dan biru.
“Aidilfitri ini, saya hanya di rumah sahaja.
“Insya-Allah, jika ada rezeki lebih, saya berniat untuk mengadakan rumah terbuka dan menjemput semua peminat saya,” ujar Roslan.
Lagu Alamak! Terlepas Bus Raya dan Sasuey Raya boleh didengarkan di seluruh penstriman digital.
“
Yang paling saya rindu ialah kucupannya di pipi saya. Biasanya, orang lihat saya ‘hyper’ (bertenaga) di luar. Tetapi setiap Hari Raya, di dalam bilik inilah saya tumpahkan segala perasaan… menangis dek terlalu rindu pada mak saya.
