Topic followed successfully
Go to BHku‘Bapa borek, anak rintik’, Izzat Yusoff sokong minat anak dalam bidang seni
‘Bapa borek, anak rintik’, Izzat Yusoff sokong minat anak dalam bidang seni
Selami kerja pembersihan trauma demi jayakan watak Afnan dalam ‘Cuci’
‘Bapa borek, anak rintik’, Izzat Yusoff sokong minat anak dalam bidang seni
Kenangan ketika melawat untuk menyaksikan proses pembersihan trauma di sekitar Braddell meninggalkan pengalaman deria yang sukar digambarkan dengan kata-kata, ujar pengarah, penerbit dan pelakon tempatan, Izzat Yusoff.
Lawatan itu bertujuan memberi pemahaman lebih mendalam tentang proses pembersihan trauma bagi menjayakan watak Afnan.
Watak itu memiliki syarikat yang menawarkan perkhidmatan pembersihan trauma, Cuci Success Services (CSS), dalam drama Mediacorp Suria, Cuci.
Drama itu telah mengakhiri musim kedua yang bersiaran pada 10 Mac.
Menurut Izzat, 48 tahun, kesan bau darah seorang warga emas yang telah meninggal dunia di kediamannya di Braddell itu berlarutan selama lima hari.
Bau itu begitu tajam dan menusuk sehingga menimbulkan rasa loya dan hilang nafsu makan selama sehari.
Apabila dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom baru-baru ini, beliau berkata:
“Pada musim pertama, saya sempat membuat lawatan di sekitar Braddell, bersama Rahman Razali, pemilik DDQ Services, yang menyediakan perkhidmatan pembersihan trauma dan tempat kejadian jenayah.
“Saya ingin melihat bagaimana proses pembersihan trauma dilakukan. Masa itu, saya memakai Kelengkapan Perlindungan Peribadi (PPE), sama seperti yang dilihat dalam drama, Cuci.
“Di situ, saya belajar bagaimana seseorang melakukan pembersihan trauma, termasuk jenis bahan kimia yang digunakan dan cara mengendalikannya.
“Ia bukan sahaja tentang bahan kimia yang digunakan, malah kita juga perlu memahami kandungan dalam darah orang yang telah pergi itu.
“Namun begitu, walaupun saya mempelajari banyak istilah sains, bagi memudahkan pemahaman penonton, kami ringkaskan sahaja sebagai ‘sabun hijau’ atau ‘sabun merah’.
“Apa yang melekat dalam fikiran saya ketika lawatan itu adalah bau darah. Ia sesuatu yang sukar dibayangkan dan hampir mustahil digambarkan dengan kata-kata, sehingga timbul rasa mual,” singkapnya.
Lebih menyayat hati, lawatan itu membuka mata Izzat tentang betapa rumitnya keadaan sebenar, terutama ketika ia melibatkan warga emas yang tinggal sebatang kara.
“Saya dapat lihat semua kelengkapan telah siap.
“Barang-barangnya dilihat disusun rapi untuk ke tempat kerja keesokan hari... baju digantung, jam disediakan.
“Kalau lihat keadaan di situ, memang betul-betul syahdu,” ujar Izzat.
Ditanya lanjut tentang perkembangan watak Afnan dari musim pertama hingga kedua, Izzat akur apabila sering berdepan kematian, ia menambah dimensi yang lebih mendalam dan rumit pada watak tersebut.
“Di musim pertama, Afnan harus berdepan kematian ayahnya, yang mana hubungan anak-beranak itu sudah lama terpisah dan renggang.
“Pada penghujung jalan cerita, kita dapat lihat beliau bergelut dengan kesedihan, menerima pemergian bapanya dan berdepan trauma yang timbul.
“Kemudian, di musim kedua, Afnan diuji pula dengan kematian isterinya, Mairah, lakonan Dalina Jaapar.
“Apabila bekerja, Afnan masih mampu memberi nasihat kepada waris. Namun begitu, ketika melalui peristiwa kematian dalam kalangan orang terdekat, itulah detik yang paling mencabar bagi watak Afnan.
“Hal ini turut bermain di fikiran saya, ‘Adakah benar, jika seseorang sudah biasa berdepan dengan bayangan kematian, dia akan lebih bersedia menghadapi kehilangan orang terdekat?’
“Jawapannya, tidak semestinya. Kita hanyalah manusia biasa. Jika kejadian itu berlaku pada kita, cabaran menghadapi kedukaan itu harus tetap kita lalui,” ceritanya.
Sepanjang Ramadan lalu, Izzat turut merakam sesi podcast santai, Moreh, menjemput rakan seindustri sebagai tetamu undangan, dengan Amy Kecik berperanan sebagai pengacara bersama.
Baginya, sesi podcast itu diadakan bagi mencipta kenangan bersama rakan artis lain.
“Sebenarnya, tujuan Moreh ini untuk mencipta kenangan bersama rakan seindustri pada Ramadan.
“Beberapa tahun kebelakangan ini, ketika masing-masing sibuk dengan penggambaran, kami tiada masa untuk berjumpa, apatah lagi untuk berbual, kecuali apabila berada dalam penggambaran yang sama.
“Ramadan kali ini agak santai, jadi saya dan Amy Kecik menjemput rakan-rakan untuk berbual santai dan membincangkan isu-isu lain yang dekat di hati,” kongsinya.
Ramadan lalu juga diisi dengan detik bersama anak tunggalnya, Danish Aswad, 14 tahun, yang turut menceburi bidang hiburan.
Antaranya, mereka mengunjungi bazar Ramadan, bermain bunga api dan membeli-belah kelengkapan Hari Raya di seberang Tambak.
Sementara itu, Danish, yang ada di sisi ketika wawancara, melihat ayahnya sebagai teladan dan akur beliau tabik dengan dedikasi serta komitmen yang diberikan dalam dunia seni.
“Persamaan antara saya dengan ayah ketika berkarya terletak pada komitmen yang kami berikan dalam setiap projek yang diusahakan.
“Bagi saya, komitmen itulah yang paling menonjol dalam diri beliau, seperti kesungguhan, disiplin, dan kesediaannya untuk memberikan yang terbaik dalam apa jua keadaan.
“Itulah yang saya kagumi, dan menjadi contoh yang ingin saya ikuti dalam perjalanan saya sendiri dalam dunia seni,” kata Danish, yang turut terlibat dalam program kanak-kanak sempena Raya, Juara Mic Junior (JMJ) Raya, yang bersiaran di Mediacorp Suria pada 21 Mac.
Danish berperanan sebagai pengacara dan pelakon dalam JMJ Raya.
Menyentuh tentang nasihat yang diberikan kepada Danish agar kekal relevan dalam dunia hiburan, Izzat percaya seseorang itu perlu bijak mencari pelbagai cara untuk menempatkan diri dalam industri.
“Untuk kekal relevan, bagi saya ada banyak caranya. Antaranya adalah menjaga kesihatan dan kekal cergas. Nanti akan ada rezeki atau tawaran untuk berlakon.
“Saya tak pernah halang Danish untuk jadi pelakon atau pengacara.
“Setidaknya, saya boleh bimbing dia dalam bidang ini kerana sudah berpengalaman.
“Namun, yang penting, apa sahaja yang kita lakukan, mesti ada komitmen, dedikasi dan disiplin,” kata Izzat.
“
“Saya tak pernah halang Danish untuk jadi pelakon atau pengacara. Setidaknya, saya boleh bimbing dia dalam bidang ini kerana sudah berpengalaman. Namun, yang penting, apa sahaja yang kita lakukan, mesti ada komitmen, dedikasi dan disiplin.”“
“Bagi saya, komitmen itulah yang paling menonjol dalam diri beliau, seperti kesungguhan, disiplin, dan kesediaannya untuk memberikan yang terbaik dalam apa jua keadaan. Itulah yang saya kagumi, dan menjadi contoh yang ingin saya ikuti dalam perjalanan saya sendiri dalam dunia seni.”
