Buat julung kalinya, acara DayaSeni oleh Jamiyah Singapura, menghimpunkan kumpulan seni dari Singapura, Malaysia dan Indonesia, menyatukan bakat mereka di bawah satu bumbung bagi meraikan warisan seni Melayu.

Acara yang menarik lebih 6,000 pengunjung ke pelancarannya di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 25 April, DayaSeni bukan sekadar usaha memelihara warisan budaya, malah turut memperluas cara masyarakat mendekati dan mengalaminya.

Ia menampilkan persembahan budaya serta bengkel interaktif dengan tujuan memperkukuh penghargaan terhadap warisan seni, melalui pengalaman langsung dan bukan sekadar dari jauh.

Antaranya termasuk persembahan silat serta kegiatan lukisan batik, lukisan wau dan permainan gasing.

Hadirin turut dihiburkan dengan persembahan silat oleh bintang filem, Mat Kilau, Datuk Adi Putra, diiringi kumpulan Rencak semasa sesi pelancaran DayaSeni.

Presiden Jamiyah Singapura, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar, berkata usaha itu diharap bakal membuka ruang kepada semua peringkat usia untuk mendekati serta menghargai seni Melayu secara lebih dekat.

“Kami bukan hanya ingin ‘menghargai tradisi’, tetapi turut ‘beraksi dengan tradisi’ – menjadikan warisan sebagai pengalaman hidup, bukan sekadar tontonan yang kesannya bersifat sementara,” katanya.

Ketua, Sekretariat dan Komunikasi Pemasaran Jamiyah Singapura, Cik Zalinah Jantan, berkata menerusi kerjasama dengan negara jiran, beliau berkata Jamiyah berhasrat mencerminkan hakikat seni Melayu adalah milik Nusantara, bukan milik satu negara sahaja.

“Kami menjemput Padepokan Panglipur Galih dari Indonesia dan Cekak Harimau dari Malaysia kerana mereka mewakili kekayaan dan kepelbagaian aliran seni yang perlu kita rayakan bersama.

“Kerjasama ini bukan sekadar pertukaran persembahan, ia adalah pengiktirafan bahawa kita berkongsi akar yang sama, dan kita lebih kuat apabila bersatu.”

Beliau turut mengakui cabaran terbesar pada zaman ini adalah perebutan perhatian dalam kalangan generasi muda yang kini dibanjiri hiburan digital tanpa henti.

Pada masa yang sama, ramai pengamal seni tradisional yang berpengalaman semakin berusia, menjadikan usaha pemindahan ilmu kepada generasi seterusnya lebih mendesak dan memerlukan pendekatan proaktif.

“Terdapat juga tanggapan bahawa seni tradisional adalah ‘kuno’ atau tidak lagi relevan dengan kehidupan moden.

“Tugas kami di DayaSeni adalah untuk mengubah tanggapan itu, dengan menunjukkan bahawa seni tradisional boleh bernafas, bergerak dan berbicara dalam dunia moden tanpa kehilangan jiwa asalnya,” tambah beliau.

Seorang pengunjung, Tina Samat, juga berkata acara seperti ini penting dalam memperkenalkan warisan budaya, khususnya kepada generasi muda.

“Saya percaya acara seperti DayaSeni penting kerana ia menyediakan platform yang bermakna untuk memelihara dan memperkenalkan warisan budaya Melayu kita kepada generasi muda.

“Dalam dunia moden yang pesat berubah hari ini, adalah penting agar nilai dan identiti budaya kita tidak dilupakan,” katanya yang berusia 59 tahun.

Pelancaran tersebut turut dihadiri Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang menyifatkan inisiatif itu selari dengan Pelan Seni SG Kita (2023 - 2027), iaitu hala tuju strategik negara bagi memperkukuh dasar seni dan budaya.

“DayaSeni ialah satu usaha berwawasan ke hadapan.

“Ia memastikan seni Melayu tradisional bukan sekadar dikenang, tetapi diamalkan secara aktif, diajar dengan penuh kegembiraan, dan dikongsi dengan bangga kepada generasi muda Singapura,” tambah beliau.

Jamiyah turut mengalu-alukan penglibatan semua pihak, sama ada sebagai peserta, rakan kerjasama, atau penyokong.

“DayaSeni bukan milik Jamiyah semata-mata. Ia adalah milik seluruh komuniti.

“Perjalanan ini baru bermula, dan kami yakin ia akan terus berkembang selagi ada hati yang cinta akan seni dan warisan Melayu,” kata Cik Zalinah.

“Terdapat juga tanggapan bahawa seni tradisional adalah ‘kuno’ atau tidak lagi relevan dengan kehidupan moden. Tugas kami di DayaSeni adalah untuk mengubah tanggapan itu, dengan menunjukkan bahawa seni tradisional boleh bernafas, bergerak dan berbicara dalam dunia moden tanpa kehilangan jiwa asalnya.”
Cik Zalinah Jantan, Ketua, Sekretariat dan Komunikasi Pemasaran Jamiyah Singapura.

“DayaSeni ialah satu usaha berwawasan ke hadapan. Ia memastikan seni Melayu tradisional bukan sekadar dikenang, tetapi diamalkan secara aktif, diajar dengan penuh kegembiraan, dan dikongsi dengan bangga kepada generasi muda Singapura.”
Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

“Ia memastikan seni Melayu tradisional bukan sekadar dikenang, tetapi diamalkan secara aktif, diajar dengan penuh kegembiraan, dan dikongsi dengan bangga kepada generasi muda Singapura,”