Topik diikuti
Pergi ke BHkuAzian Mazwan cipta nama sejak kecil, terus kekal di hati peminat
Azian Mazwan cipta nama sejak kecil, terus kekal di hati peminat
Bintang era 1980-an jaga nama sebagai anak seni meski pernah sepi daripada dunia hiburan
Azian Mazwan cipta nama sejak kecil, terus kekal di hati peminat
Bakat seni yang mengalir dalam dirinya bukan sekadar minat bermusim atau hadir sementara.
Penyanyi, Azian Mazwan Sapuan, mula dikenali dalam industri seni sejak era 1980-an melalui program realiti, Bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM), namun kecintaannya terhadap dunia seni sebenarnya telah berputik sejak di bangku sekolah lagi.
Azian, 51 tahun, yang berasal dari Terengganu, Malaysia, menyifatkan segalanya bermula daripada persembahan di pentas kecil di kampung halaman sebelum bakatnya dihidu stesen penyiaran di peringkat nasional.
Bakat besar dimiliki anak sulung empat beradik ini, rupa-rupanya berputik dari rumahnya sendiri.
Malah, muzik sentiasa menjadi peneman harian sejak Azian masih kecil.
Tanpa perlu menyertai kelas vokal formal, Azian hanya belajar melalui pemerhatian dan pendengaran daripada hobi bapa dan bapa saudaranya yang gemar bermain alat muzik dan memasang lagu-lagu terkenal era itu.
“Sejak saya kecil lagi, memang ayah dan bapa saudara suka menyanyi di rumah. Mereka sekadar main gitar sahaja.
“Jadi, bila saya selalu dengar mereka pasang lagu lama, saya pun ikut sekali menyanyi.
“Antara lagu yang saya selalu nyanyikan ketika itu ialah lagu nyanyian Azlina Aziz, Khatijah Ibrahim, Salamiah Hassan dan penyanyi Indonesia seperti Endang Taurina serta Hetty Koes Endang.
“Daripada situlah minat untuk menyanyi mula bercambah.
“Apabila emak dan ayah dengar saya boleh menyanyi, kebetulan di Balai Belia ada buat persembahan.
“Jadi, emak dan ayahlah yang ‘offer’ (tawar) dan ajak saya untuk cuba menyanyi,” kata Azian, yang turut menyertai program realiti, Gegar Vaganza 2 (GV2), pada 2015, lapor laman web Harian Metro.
Keberanian Azian untuk menyanyi akhirnya menarik perhatian pihak RTM yang kemudian menawarkan peluang untuk beliau terbabit dalam program televisyen khusus bagi golongan cilik.
Namun, proses penciptaan nama Azian sebagai penghibur tidak terhenti di situ.
Bakatnya digilap menerusi sebuah kumpulan band yang dikenali sebagai Komputer Muzik.
Berkat pendedahan awal dan latihan secara tekal bersama pemuzik profesional itulah yang akhirnya menjadi bekalan utama buatnya sehingga berjaya melangkah ke pentas berprestij, Bintang RTM, pada 1986.
Menyingkap kembali kenangan itu, Azian berkongsi keberaniannya menyertai pertandingan berprestij seperti Bintang RTM bukan datang daripada diri sendiri semata-mata, sebaliknya atas dorongan ibu bapa.
“Saya mula menyanyi sejak umur sembilan tahun.
“Bayangkan, selama dua tahun saya terus berlatih untuk menyanyi dan bakat itu semakin lama semakin dapat diasah.
“Apabila cecah usia 11 tahun, baru saya ada rasa berani sedikit untuk sertai Bintang RTM.
“Emak dan ayahlah yang bagi galakan untuk saya masuk.
“Ketika itu saya tidak tahu apa-apa kerana baru Darjah 5.
“Mereka yang bersemangat nampak bakat saya dan dorong saya sampai ke tahap itu,” kongsinya.
Azian, yang ketika itu masih di bangku sekolah rendah, tidak pernah menduga langkah dalam program realiti ikonik itu bakal mengubah perjalanan hidupnya.
Menurutnya, meskipun tidak dinobatkan sebagai juara, pencapaiannya sebagai finalis sudah cukup untuk membuka lebih banyak peluang rezeki buat penyanyi lagu, Bukan Belas Bukan Simpati, itu.
“Sebelum bertanding (ke separuh akhir) lagi, sebenarnya saya sudah dapat banyak tawaran untuk membuat album.
“Macam-macam syarikat rakaman datang jumpa saya untuk tawarkan kontrak.
“Selepas berbincang dengan keluarga, akhirnya kami memutuskan untuk memilih syarikat Warner Music, atau ketika itu lebih dikenali sebagai WEA Records.
“Dari situlah segala-galanya bermula,” ujar Azian.
Kedudukannya sebagai penyanyi sejak di bangku sekolah menjadikan Azian cukup dikenali dalam kalangan rakan sebaya mahupun pendidik di sekolahnya.
Walaupun sibuk dengan komitmen sebagai penyanyi, beliau tetap aktif membabitkan diri dalam kegiatan kokurikulum dan kebudayaan.
Pendek kata, apa sahaja acara persembahan pentas, namanya pasti menjadi pilihan utama.
Kejayaan Azian bukan hanya di Malaysia, malah beliau adalah antara perintis kepada pembabitan penyanyi kanak-kanak tempatan di peringkat antarabangsa walaupun ketika itu masih berusia 13 tahun.
Selepas melancarkan album pertama, Erti Budi (1987), bersama WEA, Azian menerima tawaran keemasan daripada Kementerian Pelancongan untuk mewakili Malaysia dalam ‘World Song Children Festival’ pada 1988, di Nagoya, Jepun.
“Ketika itu buat kali pertamanya Malaysia menghantar wakil sebab sebelum itu tiada penyanyi kanak-kanak.
“Pihak kementerian mahu hantar wakil yang serius, jadi apabila mereka lihat profil saya, mereka terus tawarkan peluang itu.
“Walaupun saya dinobatkan sebagai juara dan dapat mengharumkan nama negara, hadiahnya bukan dalam bentuk wang ringgit dan trofi sahaja, tetapi sijil yang diberikan dalam tulisan bahasa Jepun.
“Semua hadiah itu masih disimpan,” ceritanya.
Sekembalinya dari Jepun, perjalanan seni Azian makin rancak.
Sebaik tamat kontrak bersama WEA, beliau dilamar syarikat rakaman New Southern Records (NSR) untuk menghasilkan album kedua berjudul, Impian (1993).
Dalam pada itu, Azian juga pernah menyertai pertandingan, Pujaan 10 Nescafe 1993, dengan lagu Cinta Embunan Pagi, selain berjaya melangkah ke pentas akhir, Juara Lagu 1993, menerusi lagu, Rumah Kecil Tiang Seribu, dalam kategori Irama Malaysia.
Album terbabit ternyata menjadi titik tolak paling besar dalam kerjayanya apabila memuatkan rangkaian lagu hit yang malar segar sehingga kini.
Sebagai tokoh yang dikenali, menjaga imej diri dan nama baik adalah keutamaan paling tinggi meskipun pernah mengambil langkah berundur seketika daripada dunia hiburan sebelum ini.
“Walaupun dulu saya menyepi lama, orang tetap kenal apabila saya keluar, jadi memang kena jaga imej supaya sentiasa dihormati orang ramai.
“Apabila anak-anak sudah besar, saya rasa gembira apabila orang masih kenal dan tegur saya nampak sama seperti dulu.
“Apa yang penting adalah kita kekalkan diri dengan menjaga hati dan tingkah laku,” kata Azian, yang juga ibu tujuh anak.
Namun begitu, anak keempat Azian, Mohammad Aqil Zulkarnain, telah meninggal dunia pada 2019, pada usia 19 tahun, akibat satu kemalangan jalan raya.
