Pelakon Malaysia, Amyza Aznan, akur keliru apabila ujian yang dilakukan terhadap bengkak kaki anaknya, Adrian Adam, tidak menunjukkan sebarang tanda barah sarkoma atau tulang.

Amyza, 50 tahun, yang menerima keputusan ujian berkenaan baru-baru ini, berteka-teki tentang jenis barah yang dihidapi anaknya sehingga membuatkan bengkak di kaki Adrian, 18 tahun, tidak reda meskipun selepas rawatan.

“Keputusan ujian tidak menunjukkan barah tulang, kami buntu... berteka-teki mengenai barah yang menyerang anak saya.

“Setiap kali rawatan, ada ketika ia menjadi lebih bengkak dan membesar.

“Kami benar-benar tidak pasti barah apa yang menyerang,” katanya dalam laman web, Utusan Malaysia.

Beliau ditemui pihak media ketika sesi memperkenalkan 10 peserta program terkini Astro, Kilauan Emas Selebriti, di pejabat Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Amyza memaklumkan kini beliau hanya berdoa, berusaha dan berserah kepada Allah dan mengharapkan keajaiban.

“Jadi apabila ditanya tentang perkembangannya, saya tak tahu nak menjawab macam mana.

“Kita hanya mengharapkan keajaiban,” ujarnya.

Mengulas tentang pembabitannya menerusi program, Kilauan Emas Selebriti, Amyza memaklumkan keputusan untuk menyertai program itu dibuat selepas mendapat kebenaran Adrian.

“Kalau ikutkan memang saya tak nak, saya cuma mahu fokus kepada Adrian kerana dia lebih memerlukan saya dan sayalah yang memantau rawatannya.

“Jadi dia benarkan saya keluar, menjana semula tenaga positif untuk dikongsikan bersama dia,” jelas Amyza.

Menurutnya, selepas ini beliau perlu mengatur masa untuk mengimbangi pembabitan dalam program itu dengan rawatan Adrian.

“Jadual rawatan Adrian terlalu padat, kadang ada masanya bercanggah dengan program ini.

“Mahu atau tidak saya kena atur masa saya sebaiknya,” tambahnya.