Seawal 2023, kumpulan Linkin Park telah menggunakan wadah kecerdasan buatan (AI), Kaiber, untuk menghasilkan lukisan anime (animasi Jepun) bagi video muzik lagu mereka, Lost, yang dimuatkan dalam album ulang tahun ke-20 band itu, Meteora.

Ternyata, dengan peredaran masa, AI bukan sahaja menjadi alat menyuntik sentuhan segar pada video muzik dalam industri hiburan Barat, malah, ia berupaya menjadi eksperimen yang berbaloi dan membuka mata buat karyawan muzik termasuk di Singapura.

Berita Harian (BH) menghubungi penggubah lagu dan pemuzik setempat, Yazri Malik, 46 tahun, yang turut meneroka kecanggihan AI bagi kerja seninya termasuk treler video muzik untuk lagu, Mahabbah Luka, dendangan penyanyi Singapura, Melissa Sailla.

Soalan (S): Apakah yang dorong Yazri mula gunakan AI dalam pembikinan video muzik? Adakah ia bermula sebagai satu eksperimen atau satu keperluan dek kekangan masa atau faktor kos?

Yazri: Saya memang sudah lama terlibat sebagai penerbit dan komposer lagu. Jadi, minat terhadap visual dan penceritaan itu memang sudah ada sejak awal lagi.

Pada mulanya, penggunaan AI ini merupakan satu eksperimen kreatif kerana saya ingin melihat sejauh mana teknologi ini boleh membantu menterjemahkan imaginasi ke dalam bentuk visual.

Bagaimanapun, selepas mencuba sendiri, saya rasa AI ini sesuatu yang mencetus impak besar buat diri saya sebagai seorang karyawan muzik.

Banyak idea dan visual, yang sebelum ini, hanya berada dalam imaginasi, kini boleh direalisasikan bagi menjadikan sesuatu itu lebih nyata dan sinematik (memukau dari segi perfileman).

AI bukan sekadar teknologi untuk mengikut trend, tetapi satu medium baharu untuk menjadikan karya dan emosi itu lebih hidup.

Tambahan pula, bagi karyawan muzik bebas seperti saya, ia juga membantu dari segi masa dan kos tanpa mengorbankan kreativiti.

S: Bagaimanakah Yazri lihat AI mampu berikan identiti visual unik kepada lagu ciptaan?

Yazri: Saya melihat AI sebagai satu medium baharu untuk mencipta identiti visual yang lebih berani dan berbeza.

Saya banyak bermain dengan suasana sinematik, emosi, warna dan perlambangan supaya visual itu terasa dekat dengan jiwa lagu.

Saya mahu penonton bukan sekadar mendengar lagu, malah, rasai dunia yang saya wujudkan dalam lagu tersebut.

Dengan AI, saya boleh membina visual yang lebih puitis, dramatik dan kadang-kadang seperti filem ringkas.

S: Ada pihak dalam industri kreatif bimbang dengan kehadiran AI. Mengapakah Yazri pilih mendakap teknologi ini dan bukannya menjauhinya?

Yazri: Saya faham mengapa ada sesetengah pihak dalam industri kreatif yang berasa bimbang dengan kehadiran AI.

Setiap kali muncul teknologi baharu, pasti akan ada rasa takut atau kerisauan tentang bagaimana ia akan mengubah industri muzik kita.

Tetapi bagi saya, kita perlu terbuka terhadap setiap pembaharuan dan belajar menyesuaikan diri supaya tidak ketinggalan.

Kalau kita lihat sejarah industri kreatif sendiri, banyak teknologi baharu pada awalnya juga pernah dipersoalkan.

Contohnya, peralihan daripada analog ke digital, penggunaan ‘auto-tune’ atau penyelarasan nada suara dalam muzik, perubahan daripada pita kaset ke cakera padat, kemudian ke platform penstriman.

Ini juga dilihat dalam penerapan Imej Janaan Komputer (CGI) dalam filem atau apabila kamera digital menggantikan filem tradisional, malah perisian (software) penyuntingan moden juga pernah dianggap akan ‘menghilangkan’ atau ‘meluputkan’ seni.

Tetapi akhirnya, semua itu menjadi sebahagian evolusi industri kreatif di mana-mana.

Bagi saya, AI hanyalah satu lagi alat baharu dalam proses evolusi tersebut.

Yang paling penting, bagaimana manusia menggunakannya.

Kreativiti, emosi, idea dan penceritaan tetap datang daripada manusia, bukan daripada teknologi itu sendiri.

Saya juga percaya penggunaan AI perlu dilakukan secara bertanggungjawab dan beretika.

Teknologi ini tidak sepatutnya disalahgunakan atau digunakan untuk mengambil jalan mudah tanpa menghargai hasil seni dan usaha kreatif orang lain.

Kalau digunakan dengan cara betul, AI sebenarnya boleh membuka lebih banyak peluang kepada karyawan tempatan untuk berkarya dengan lebih berani dan kreatif.

S: Boleh kongsi proses kerja apabila menghasilkan video muzik menggunakan AI? Dari manakah datangnya ilham untuk memberi isyarat untuk visual? Adakah ia berdasarkan lirik lagu, melodi, atau ‘vibe’ muzik itu sendiri?

Yazri: Bagi pembikinan video muzik, sebenarnya ilham itu memang sentiasa ada dalam imaginasi saya sejak dahulu lagi.

Apabila mendengar lagu, saya biasanya sudah boleh membayangkan suasana, warna, emosi dan jalan visual yang sesuai dengan lagu tersebut.

Cabaran sebenarnya adalah bagaimana untuk menterjemahkan imaginasi itu kepada platform AI supaya ia dapat menghasilkan visual yang tepat seperti apa yang saya bayangkan.

Di situlah perlunya kemahiran tertentu dalam penggunaan AI.

Proses itu agak sama seperti seorang pengarah filem yang memberi arahan kepada pengarah penerbitan, kru penerbitan dan pelakon untuk merealisasikan visinya.

Bezanya sekarang, sebahagian proses itu dilakukan melalui pesanan dan arahan visual kepada AI, tetapi arah seni dan emosi tetap datang daripada manusia.

Biasanya, saya akan bermula dengan ‘feel’ (jiwa dan rasa) serta ‘mood’ lagu terlebih dahulu, daripada melodi, lirik, susunan muzik hinggalah kepada emosi yang ingin disampaikan.

Selepas itu, barulah saya membina konsep visual dan suasana yang sesuai.

Saya juga ‘kaki wayang’.

Jadi, banyak inspirasi visual datang daripada filem yang diminati sejak dahulu.

Kadang-kadang ia bukan meniru filem tersebut, tetapi lebih kepada bagaimana filem itu bermain dengan emosi, pencahayaan, sudut penceritaan dan penyampaian kisahnya.

Semua itu banyak mempengaruhi cara saya membina dunia visual untuk sesebuah lagu.

S: Bagaimanakah Yazri kekalkan sentuhan manusia dan emosi dalam video tersebut supaya tidak kelihatan terlalu mekanikal atau kaku?

Bagi saya, untuk mendapatkan sentuhan manusia dalam karya AI, semuanya bergantung kepada bagaimana kita mengawal dan membimbing teknologi itu sendiri.

AI sekarang semakin berkembang dari hari ke hari, dan hasilnya juga semakin baik.

Tetapi untuk mendapatkan emosi dan visual yang benar-benar terasa hidup, ia memerlukan kemahiran memberi pesanan kepada AI, pemilihan platform yang sesuai dan arah kreatif yang jelas.

Kita sendiri mesti tahu apa yang kita mahu hasilkan.

AI tidak boleh membaca fikiran atau memahami emosi dalam fikiran kita secara automatik.

Kalau kita hanya menyerahkan semuanya kepada AI untuk membuat keputusan sendiri, biasanya hasilnya akan terasa kosong atau tidak mempunyai identiti yang kuat.

Sebab itu, saya rasa pengalaman dalam bidang seni seperti pengarahan, muzik, suntingan atau penceritaan memberi kelebihan besar apabila menggunakan AI sebagai alat kreatif.

Pengalaman itu membantu kita memahami tempo peralihan babak, emosi, sudut pandang penceritaan, pencahayaan dan bagaimana sesuatu visual boleh memberi kesan kepada penonton.

AI hanyalah alat membantu merealisasikan visi.

Tetapi jiwa, rasa dan emosi karya itu tetap datang daripada manusia yang berada di belakangnya.

S: Bagaimanakah penerimaan penonton Singapura dan rantau ini apabila lihat video muzik dihasilkan AI?

Yazri: Alhamdulillah, setakat ini penerimaan penonton di Singapura dan rantau ini sangat positif.

Baru-baru ini, saya menghasilkan satu treler bukti konsep, Mahabbah Luka, dengan konsep seperti filem Netflix yang menggunakan AI.

Apa yang mengejutkan, ramai penonton terutama dari Indonesia menyangka ia adalah filem sebenar di Netflix dan ramai yang bertanya di mana mereka boleh menontonnya.

Di TikTok, video tersebut telah meraih hampir 100,000 tontonan, manakala di Instagram sekitar 88,000 tontonan diraih.

Reaksi itu menunjukkan penonton sebenarnya lebih melihat kepada emosi dan kekuatan penceritaan, berbanding teknologi yang digunakan semata-mata.

Walaupun visual itu dihasilkan dengan bantuan AI, penonton masih boleh rasa sedih, teruja dan nak tahu lebih lanjut serta terhubung dengan cerita yang dipaparkan.

S: Ke manakah hala tuju muzik Melayu Singapura dalam masa lima tahun dengan bantuan AI?

Yazri: Saya rasa dalam lima tahun akan datang, kita akan melihat lebih ramai pencipta tempatan berani menghasilkan karya lebih besar untuk pasaran sejagat walaupun bermula secara kecil-kecilan.

AI boleh membantu dalam mempercepatkan proses kreatif dan membuka lebih banyak ruang eksperimen.

Tetapi identiti budaya, bahasa dan emosi Melayu, tetap perlu dikekalkan supaya karya kita ada jiwa dan keunikan tersendiri.

AI bukan sekadar teknologi untuk mengikut trend, tetapi satu medium baharu untuk menjadikan karya dan emosi itu lebih hidup. Tambahan pula, bagi karyawan muzik bebas seperti saya, ia juga membantu dari segi masa dan kos tanpa mengorbankan kreativiti.
Yazri Malik, penggubah lagu dan pemuzik setempat.