Topic followed successfully
Go to BHkuEstetika membaca dan sastera kini jadi trend fesyen baru?
Estetika membaca dan sastera kini jadi trend fesyen baru?
Jenama fesyen mewah lancar aksesori berkaitan buku, termasuk beg jinjing dan kalung hiasan
Estetika membaca dan sastera kini jadi trend fesyen baru?
Membaca tidak pernah sepopular ini.
Atau sekurang-kurangnya, itulah gambaran yang cuba ditonjolkan oleh industri fesyen pada 2026.
Pada Mac, Coach melancarkan koleksi kalung hiasan beg atau ‘bag charm’ berbentuk buku mini.
Kali pertama diperkenalkan di pertunjukan fesyen jenama Amerika itu semasa acara Musim Bunga 2026, buku-buku kecil itu mempunyai kulit belakang berukir dan dilengkapi klip tali khas jenama Coach.
Ia bukan sekadar hiasan beg biasa – apabila dibuka, terdapat beberapa halaman yang boleh dibaca daripada karya-karya klasik.
Jenama itu bekerjasama dengan syarikat penerbitan antarabangsa, Penguin Random House, dan kelab buku, Sunnie Reads, iaitu kelab buku yang ditubuhkan oleh pelakon Hollywood, Reese Witherspoon, khas untuk Generasi Z (Gen Z), bagi memilih 12 tajuk buku.
Sama ada anda memilih, Sense And Sensibility, karya Jane Austen, atau I Know Why The Caged Bird Sings, karya Maya Angelou, mesejnya jelas – tidak pernah semudah ini untuk memperlihatkan pilihan sastera anda kepada orang ramai.
Nampaknya inilah era ‘Lit Girl’ – si gadis yang gemar membaca.
Berbeza daripada ‘It Girl’ biasa, ‘Lit Girl’ bukan sekadar berpakaian dengan gaya.
Beliau membaca, mempunyai fikiran dan pendapat tersendiri, serta boleh mengesyorkan beg berjenama yang tepat – begitu juga buku-buku yang sesuai untuk dibawa di dalamnya atau digantung di luarnya.
Menurut andaian para pengkritik budaya di TikTok dan Substack, masyarakat kini sudah jemu dengan kebendaan dan sikap membeli tanpa henti.
Kebijaksanaan telah menjadi lambang status yang baru.
Kebangkitan semula kelab buku di seluruh dunia turut didorong oleh ramai selebriti yang menubuhkan kelab buku mereka sendiri.
Menyertai pengasas kelab buku yang sudah lama bertapak seperti Oprah Winfrey dan Witherspoon ialah bintang pop British pemenang Grammy, Dua Lipa, dengan Service95 Book Club; penyanyi berbangsa Iceland-China, Laufey, dengan The Laufey Book Club; dan model Amerika, Kaia Gerber, dengan Library Science.
Dalam dunia kemewahan, jenama termasuk Chanel, Miu Miu, Prada, Dior dan Valentino, turut menganjurkan kelab buku dan majlis sastera bagi membina masyarakat dan meningkatkan pengaruh budaya mereka.
Apakah yang mendorong gabungan fesyen dan sastera yang kian ketara ini?
Estetika Membaca
Tanda kebangkitan trend membaca sudah lama kelihatan, malah di pertunjukan fesyen sekalipun.
Kemungkinan besar ia bermula dengan pengarah kreatif Dior, Jonathan Anderson.
Dalam koleksi sulungnya untuk rumah fesyen mewah Perancis itu bagi musim Bunga-Panas 2026, beliau mengambil beg jinjing ikonik Dior dan mengubahnya menjadi sesuatu yang lebih bermakna.
Bertajuk Book Covers, beg jinjing Dior, yang direka semula itu menggantikan cetakan biasanya dengan kulit buku sastera – beg jinjing yang benar-benar boleh digunakan untuk membawa buku.
Direka bersama penerbit Perancis, Les Saints Peres, beg tersebut dihiasi sulaman karya klasik, seperti Dracula, hasil karya seni Bram Stoker; dan Ulysses karya James Joyce.
‘Lit Girl’ kemudian menemui aksesori baru melalui Coach.
Kalung hiasan buku yang boleh dibaca itu menggemparkan Internet apabila dilancarkan pada Februari 2026 seiring kempen bertema buku.
Jika visual Dior berlatarbelakangkan kedai buku ikonik di tepi Sungai Seine di Paris, kempen Explore Your Story, oleh Coach pula menampilkan beberapa bintang terkenal di perpustakaan dengan buku di tangan.
Seperti pelakon Amerika, Elle Fanning, anda juga boleh tampil bergaya dan ceria dengan beg Tabby dan kalung hiasan buku di perpustakaan sekolah anda, begitulah mesej yang ingin disampaikan.
Netizen berbeza pendapat – ada yang berpendapat trend yang mendorong orang ramai membaca semula adalah sesuatu yang positif.
Ada pula yang menyifatkannya sebagai percubaan yang tidak masuk akal untuk menunjuk-nunjuk kelas sosial dan menjadikan membaca sebagai penanda status.

