Topic followed successfully
Go to BHkuGaya sederhana lambang pilihan bijak
Gaya sederhana lambang pilihan bijak
Fesyen minimalisme tekankan pakaian bermutu, serba guna dan penuh nilai
Gaya sederhana lambang pilihan bijak
Minimalisme dalam fesyen sering digambarkan melalui reka bentuk dan pemilihan pakaian semata – garisan rapi, pilihan warna neutral dan potongan kemas.
Namun, ia tidak terhad kepada visual yang ditonjolkan sesebuah gaya atau pakaian.
Bagi segelintir orang, minimalisme adalah cara berfikir – satu keputusan untuk membuat pembelian lebih bijak dan mempunyai koleksi pakaian yang mencerminkan identiti peribadi, bukan sekadar mengikut trend yang sering berubah.
Bagi yang lain pula, ia kekal kukuh dalam aspek reka bentuk sesuatu pakaian yang mengutamakan kesederhanaan, dengan potongan, struktur dan bahan diutamakan berbanding hiasan.
Ia juga semakin dikaitkan dengan perubahan pemikiran pengguna, apabila semakin ramai peminat fesyen mula menitikberatkan bukan sahaja pilihan pakaian mereka, malah sebab di sebalik setiap pembelian, lapor akhbar The Star Malaysia.
Kurang tetapi lebih bermakna
Penyelaras Negara Fashion Revolution Malaysia, Cik Melissa Tan, berpendapat pendekatan minimalisme dalam fesyen bermaksud memiliki hanya pakaian yang diperlukan, serta yang benar-benar mencerminkan diri sendiri dan tidak secara berlebihan.
Pendekatan itu, ujar beliau, secara semula jadi menyebabkan bilangan pakaian yang dimiliki berkurang.
Untuk memanfaatkan koleksi pakaian agar lebih minimalis, setiap helai pakaian perlu ada tujuan tersendiri.
“Setiap pakaian dipilih dengan teliti, dipakai dan dijaga dengan baik, bermutu tinggi serta tahan lama.
“(Setiap pakaian) buat kita rasa selesa dan berkeyakinan apabila memakainya,” kata Cik Tan, yang turut aktif dalam gerakan aktivisme fesyen sejagat dengan memperjuangkan keadilan dalam industri fesyen.
Begitu juga pandangan pejuang fesyen malar (slow fashion), Cik Joanne Nathaniel, yang berpendapat minimalisme membawa cara berfikir yang sebati dengan diri – ia bukan tentang meletakkan had. Ia tentang membuat pilihan bermakna dengan penuh ketelitian.
“Minimalisme adalah tentang mengutamakan mutu berbanding jumlah, serta bersikap lebih teliti terhadap apa yang kita bawa masuk dalam hidup kita,” tambah Cik Nathaniel, yang kerap mengadakan bengkel dan berkongsi ilmu tentang ‘upcycling’ melalui projek, Stories We Wear.
‘Upcycle’ atau kitar tinggi bertujuan memberi nafas baru kepada barangan lama.
Contohnya, kemeja yang tidak lagi dipakai boleh dijadikan beg, selimut atau diubah suai menjadi rekaan unik.
Bagi Ketua Pemasaran dan Kreatif Auri, Cik Suyi Chin, fesyen minimalis memberi tumpuan kepada ketelitian dalam pemilihan dan kegunaan sesuatu produk.
“Minimalisme, pada akhirnya, bukan tentang sekatan. Ia tentang ketelitian dalam apa yang anda pilih untuk simpan dalam koleksi pakaian anda,” katanya.
Pengarah Kreatif jenama pakaian Singapura, Monoloq, Encik Wykidd Song, pula mengaitkan minimalisme dengan sejarah reka bentuk.
Merujuk kepada gerakan minimalis pada 1990-an, beliau menyifatkannya sebagai “mengembalikan reka bentuk kepada asas – garisan kemas, ruang putih dan ketenangan yang nyata”.
Encik Song turut menekankan pada asalnya, minimalisme tidak tertumpu kepada pengurangan perbelanjaan, namun, tentang mencapai piawaian tertinggi dengan meletakkan batas pada pembelian.
Penyelesaian kepada penggunaan berlebihan
Meskipun minimalisme sering diketengahkan sebagai penyelesaian kepada penggunaan berlebihan, peranannya bukan setakat itu sahaja.
“Minimalisme membantu anda menjadi lebih memilih tentang apakah yang benar-benar memberi nilai dalam hidup anda.
“Oleh itu, anda tidak mudah tergoda dengan jualan, trend atau pandangan orang lain tentang cara seseorang harus berpakaian,” kata Cik Tan.
Menurut Cik Nathaniel, pada asasnya, pemikiran minimalis mengalihkan tumpuan daripada mengumpul barangan semata-mata kepada membuat pilihan yang bermakna.
“Pendekatan minimalis memerlukan kita untuk menyelami diri sendiri terlebih dahulu – untuk memahami apakah yang benar-benar sesuai dengan diri kita, berbanding mencari pengesahan luaran melalui apa yang kita beli,” jelasnya.
Bagi Cik Chin pula, ia bukan sekadar tentang memiliki kurang pakaian, namun tentang memiliki pakaian yang lebih bermutu dan memakainya dengan lebih kerap.
“Bagi jenama, ini bermakna mereka bentuk pakaian yang (pelanggan) benar-benar ingin pakai berulang kali.”
Ini juga termasuk mereka pakaian selesa dan malar segar yang secara semula jadi mengurangkan keperluan untuk pengguna terus menerus mengganti koleksi pakaian mereka.
Peralihan beransur
Terdapat tanda-tanda para pengguna sejak kebelakangan ini lebih teliti dalam membuat pembelian, dengan sebahagian daripada mereka mula meninggalkan budaya fesyen segera.
Fesyen segera atau fast fashion merujuk kepada fesyen pakaian berharga rendah dengan gaya mengikut trend semasa yang bergerak pantas serta pengenalan koleksi baru secara berterusan.
“Sebagai penyokong fesyen malar dan penganjur (kegiatan) kemasyarakatan, saya bertemu dengan orang ramai yang berada pada tahap kesedaran sangat berbeza apabila menyentuh soal penggunaan pakaian.
“Walaupun minat untuk membeli jumlah yang sedikit dan memilih dengan lebih bijak semakin berkembang, ia masih belum menjadi satu norma,” kata Cik Nathaniel.
“Kesedaran tentang sisa (fabrik) dan kesan fesyen masih agak rendah.
“Kebanyakan perbincangan tentang alam sekitar lebih tertumpu pada plastik, sementara fesyen segera terus menjadi lebih murah dan mudah diperolehi, menjadikan penggunaan berlebihan semakin sukar ditangani,” tambahnya.
Cik Chin pula berkata semakin ramai orang mula bertanya tentang fabrik, mutu dan asal usul bahan, yang menunjukkan kesedaran lebih tinggi terhadap pakaian yang mereka beli.
Namun Cik Chin menambah, “dengan budaya berkongsi gambar pakaian, masih terdapat jangkaan bahawa setiap penampilan perlu kelihatan ‘baru’, yang boleh mendorong pembelian dalam jumlah lebih tinggi”, katanya.
“Walau bagaimanapun, saya juga mula perasan sebahagian pencipta kandungan dan pengguna mula lebih banyak membicarakan tentang nilai – iaitu idea bahawa sehelai pakaian boleh digayakan dalam pelbagai cara,” ujarnya. – Agensi berita.

