Lalat disangka nyamuk, itik pula disangka ayam – begitulah suasana kecoh kanak-kanak bandar apabila dapat meluangkan masa sehari di Pena Agrofarm yang terletak di Pekan Nenas, Pontian, Johor, pada 17 Mei lepas.

Perjalanan ke kem itu mengambil masa sekitar 45 minit dari Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Mujur, cuaca pada hari itu cerah, tetapi hujan pada hari sebelumnya membuatkan persekitaran kebun lembap dan lecak. Yang terlintas di kepala, ‘Habislah kasut-kasut anak-anak ini berlumuran lumpur!’

Hampir 50 kanak-kanak berusia antara tujuh dengan 15 tahun mengambil bahagian dalam kem ‘Kebun Harvest 1.0 – Agrofarm Day Camp!’ untuk mengenali alam semula jadi dengan lebih dekat.

Program itu dianjurkan Barakah Builders, syarikat kelolaan pasangan suami isteri dari Singapura, Shaikh Taufiq Alkhatib, 39 tahun, dan Cik Ili Nadiah Ilyas, 36 tahun, dan diselenggarakan oleh syarikat Malaysia, Pena AgroFarm.

Kem yang diadakan pada hujung minggu 16 dan 17 Mei, dari 9 pagi hingga 4 petang itu disertai kanak-kanak dari Singapura.

Cik Ili berkata, sambutan untuk kem yang julung-julung kali diadakan itu sangat memberangsangkan sehingga mereka terpaksa menolak beberapa permintaan kerana tempat terhad.

“Pada mulanya kami bercadang untuk membuat kem untuk satu hari, tetapi memandangkan ramai yang menunjukkan minat, kami adakan dua hari berturut-turut,” kata Cik Ili, ibu kepada dua anak.

Anak-anak beliau mengikuti pendidikan bersekolah di rumah (home schooling).

Menurut pasangan itu lagi, tujuan utama kem ini adalah untuk membuka peluang kepada kanak-kanak mendekati alam semula jadi, merasai pengalaman kehidupan di ladang, dan akhirnya mempelajari asal-usul sebenar makanan mereka, termasuk memahami proses penyembelihan ayam mengikut kaedah halal.

“Apabila kami mula bertani bersama anak-anak kami, kami melihat mereka menjadi lebih ingin tahu dan lebih bersemangat untuk mempelajari pelbagai perkara.

“Jadi, kami memutuskan untuk memberi peluang yang sama kepada kanak-kanak lain bagi mencetuskan minat mereka terhadap pembelajaran,” ujar Cik Ili.

Beliau berpendapat kanak-kanak zaman sekarang perlu lebih pendedahan pada alam semula jadi untuk ‘memperlahankan’ rentak kehidupan mereka, sekali gus menjadi lebih tenang serta seimbang dari segi emosi.

“Landskap semula jadi adalah sebuah ‘bilik’ darjah yang terbaik. Ada pelajaran di sebalik bilik darjah yang sangat berharga, dan alam adalah ‘guru’ yang paling efektif.”

Taman Kelulut

Kegiatan pertama pada pagi itu dimulakan dengan pengenalan pada koloni lebah.

Kelulut atau lebah tanpa sengat daripada spesies, Heterotrigona Itama, hidup bebas di Taman Kelulut untuk tujuan penuaian dan pengumpulan madu.

Antara 20,000 dengan 40,000 kelulut berterbangan bebas di sini.

Semasa kegiatan berlangsung, kanak-kanak tidak perlu memakai sebarang kelengkapan perlindungan, malah mereka boleh berdiri dekat dengan sarang lebah tanpa khuatir disengat.

Pengarah Operasi Pena Agrofarm, Dato’ Azrul Syahrizan Ab Rahman, berkata kelulut ditempatkan secara buatan pada batang kayu (log) khas bagi tujuan penternakan dan penghasilan madu.

“Ada lebih 100 batang pokok yang dijadikan sarang lebah di sini, dan hasil madu yang dituai sama prosesnya dengan sarang lebah yang lain, tetapi terdapat perbezaan rasa dan kandungan air dalam madu yang dituai.”

Sambil dikerumuni lebah, peserta diberi penerangan tentang ekosistem serangga itu dan menyaksikan sendiri bagaimana madu dikeluarkan dari sarangnya.

Peserta turut diingatkan supaya tidak ‘membunuh’ atau ‘mencederakan’ lebah di persekitaran kerana walaupun tidak bersengat, ia boleh menggigit.

“Rasanya sedikit masam,” kata seorang peserta.

Selain lebah, kanak-kanak juga ‘diganggu’ dengan lalat yang berterbangan di kawasan kebun. Keadaan menjadi melucukan apabila ada dalam kalangan mereka menyangka lalat itu adalah nyamuk!

“Kami menerangkan kepada kanak-kanak itu bahawa keadaan itu adalah satu kebiasaan di sebuah kebun yang penuh dengan binatang, dan mereka menghasilkan beberapa cadangan kreatif untuk ‘membasmi’ lalat,” kata Cik Ili, yang terhibur dengan telatah kanak-kanak bandar tersebut.

Kejar ayam untuk santapan tengah hari

Untuk kegiatan seterusnya, kanak-kanak dibawa ke reban ternakan yang menempatkan itik, ayam, angsa dan seekor ayam belanda.

Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan (lima orang sekumpulan) dan dikehendaki mengejar serta menangkap seekor ayam.

Akibat tidak mempunyai sebarang pengalaman, kanak-kanak itu simpang-siur mengejar ke sana-sini, mencetuskan kekecohan bersama ayam dan itik.

Malah, ada juga yang tidak dapat membezakan antara ayam dengan itik!

“Mengejar ayam tidak semudah yang disangkakan, mereka perlukan strategi untuk memerangkap ayam,” kata seorang bapa yang turut menyaksikan telatah anak-anaknya berkejaran di dalam reban.

“Pena Agrofarm ingin ajak generasi Z dan Alpha kembali ke alam, kami bangga melihat anak-anak Singapura ini mengejar ayam,” tambah Dato’ Azrul.

Ayam yang berjaya ditangkap kemudian disembelih untuk dijadikan santapan tengah hari.

Di sini, peserta diberi pencerahan tentang kaedah penyembelihan Islam dan menyaksikan sendiri proses tersebut dijalankan.

Penulis sendiri melihat kanak-kanak itu tekun mendengar dan menyaksikan ritual penyembelihan tanpa rasa takut atau geli.

Mereka dapat mengamati pembelajaran dan mengatasi perasaan ‘kasihan’ terhadap ayam yang menjadi korban untuk makan tengah hari.

Malah, masing-masing teruja untuk menikmati hidangan sebaik sahaja ia bertukar menjadi ayam goreng kemudiannya!

Ternakan lain

Sebelum makan tengah hari, peserta berpeluang mengelilingi kebun untuk berinteraksi dengan haiwan ternakan lain.

Mereka diberi kesempatan mendukung kambing, selain melihat landak, rusa, arnab serta kolam ikan puyu.

“Ramai yang tak tahu, landak sebenarnya binatang yang ‘manja’, dan juga sedap di makan!” terang Dato’ Azrul.

Belajar bertani

Di akhir acara, peserta dibawa ke sawah padi di pekarangan kebun untuk belajar tentang penanaman dan pertanian.

“Daripada hanya sebiji benih, pokok padi boleh membiak sehingga menghasilkan 30 rumpun, dengan setiap satunya berupaya mengeluarkan lebih 80 butir padi,” kata Dato’ Azrul.

Menurutnya lagi, padi boleh dituai dua kali setahun. Hasil penuaian itu kemudian diproses menggunakan mesin penggiling sebelum menjadi beras yang kita kenal dan makan hampir setiap hari.

Walaupun pulang dengan pakaian yang dilumuri lumpur, sesi tersebut memberikan pengalaman baharu yang sarat dengan pengajaran dan pendidikan buat semua peserta.

Seorang peserta, Nur Arissa Binte Muhammad Ridzuan, 10 tahun, menyifatkan pengalaman pertamanya di Kebun Harvest 1.0 sangat menyeronokkan dan memberi rating 10/10.

Menurutnya, semua kegiatan yang dijalankan menarik dan mengujakan walaupun hujan turun sekali-sekala.

“Aktiviti kegemaran saya ialah ‘Journey of Chicken from Farm to Table’, sebab dapat peluang kejar ayam. Walaupun tidak berjaya menangkap seekor pun, saya gembira dapat memegang dan membelai ayam tersebut.”

Seorang ibu, Cik Zeynab Saiwalla, yang membawa dua anak lelaki berumur lapan dan 11 tahun ke kem tersebut berkata anak-anaknya pulang dengan pengalaman menarik yang dapat dikongsikan dan ia membuka ruang untuk mereka sama-sama belajar lebih lanjut.

Pengasas dan pemilik Pena Agrofarm, bekas pensyarah dan penyelidik dari Jabatan Sains Matematik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Zuhaimi Ismail, turut hadir di akhir acara untuk memberikan sijil penyertaan kepada peserta.

Pena Agrofarm mengadakan sesi sebegini untuk kumpulan yang dianggotai sekurang-kurangnya 20 orang.

Peserta boleh memilih sama ada mahu mengikuti sesi sehari atau program lebih panjang.

Pihak yang berminat dengan kegiatan pelancongan sambil belajar (wisata) ini boleh menghubungi Pena Agrofarm secara langsung.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman Facebook mereka di https://www.facebook.com/penaagrofarm