SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

5 cara sokong anak remaja kian berdikari

5 cara sokong anak remaja kian berdikari

Bimbingan, komunikasi jelas antara ibu bapa, anak kunci sokong kesihatan mental, pembangunan emosi
Apr 2, 2026 | 5:30 AM

5 cara sokong anak remaja kian berdikari

parenting, teens, remaja, ibu bapa
Ibu bapa boleh membimbing anak remaja dengan mendengar secara aktif, mengelak daripada mudah mengkritik dan menetapkan batasan yang jelas. - Foto janaan AI

Apabila anak menghampiri usia remaja, mereka akan mula mahukan lebih kebebasan, lebih beremosi dan mungkin akan terdapat lebih banyak pertelingkahan di rumah.

Ini adalah perkara biasa kerana zaman remaja merupakan tempoh perkembangan pesat dari segi otak, sosial dan emosi.

Selain itu, remaja juga mula beralih tumpuan daripada ibu bapa kepada rakan sebaya.

Namun, usaha keibubapaan yang menyokong merupakan antara faktor pelindung paling kuat bagi kesihatan mental anak muda.

Hubungan rapat antara ibu bapa dengan anak dapat mengurangkan risiko masalah kesihatan mental serta membantu remaja mengurus tekanan.

Namun, bagaimanakah jika strategi keibubapaan yang anda gunakan ketika anak masih kecil sudah tidak lagi berkesan?

Berikut lima strategi berasaskan bukti agar kekal berhubung dan menyokong remaja dalam fasa mereka yang semakin berdikari.

Bimbing anak urus emosi

Remaja sering mengalami emosi yang mendalam tetapi belum tentu tahu cara menguruskannya.

Membimbing anak mengurus emosi bermaksud membantu mereka mengenal pasti dan memahami perasaan mereka, bukan menafikannya.

Jika anak pulang rumah dalam keadaan kecewa selepas bertengkar dengan rakan, reaksi biasa mungkin untuk memberitahu mereka: “Tak payahlah risau tentang itu”.

Sebaliknya, bimbingan emosi memberi tumpuan kepada memahami perasaan terlebih dahulu sebelum menyelesaikan masalah.

Sebagai contoh, anda boleh berkata: “Nampaknya itu sangat mengecewakan. Nak ceritakan apa yang berlaku?”

Ini membantu mereka rasa difahami dan belajar bahawa mereka mampu mengurus emosi sendiri.

Pendekatan itu dikaitkan dengan keupayaan kawalan emosi yang lebih baik, hubungan lebih kukuh antara ibu bapa dengan anak, serta kurang masalah tingkah laku.

Dengar dengan penuh perhatian

Remaja cepat menyedari apabila ibu bapa tidak memberi perhatian sepenuhnya.

Mendengar secara aktif bermaksud memberi tumpuan penuh dan menunjukkan anda benar-benar mengambil berat tentang apa yang mereka katakan.

Perkara mudah seperti meletakkan telefon, memandang wajah mereka dan mengulangi apakah yang mereka katakan boleh memberi kesan besar.

Anda tidak perlu bersetuju dengan semua yang dikatakan anak, tetapi tujuannya adalah untuk menunjukkan bahawa anda berusaha memahami.

Remaja yang rasa didengari lebih cenderung berkongsi tentang cabaran seperti persahabatan, tekanan sekolah dan keadaan berisiko.

Elak mengkritik

Ramai remaja berhenti berkongsi masalah kerana menjangkakan kritikan.

Kadangkala kritikan jelas, kadangkala ia tidak disengajakan.

Ibu bapa boleh menjadi contoh dengan memberi tindak balas yang tenang dan tidak mengkritik anak ekoran kesilapan.

Daripada memarahi, anda boleh berkata: “Terima kasih kerana berkongsi. Boleh ceritakan apakah yang berlaku?”

Ia bukan bermaksud mengabaikan masalah, tetapi memisahkan tingkah laku daripada rasa malu atau menyalahkan, sambil memastikan komunikasi kekal terbuka.

Remaja yang berasa diri mereka diterima kurang cenderung terlibat dalam tingkah laku berisiko dan lebih bersedia mendapatkan sokongan.

Tetapkan peraturan jelas

Apabila anak semakin membesar, mereka mahukan lebih kebebasan.

Peraturan yang jelas dan tekal membantu remaja berasa selamat sambil belajar tentang tanggungjawab.

Antara peraturan yang boleh dikenakan termasuk masa penggunaan peranti digital, kerja sekolah, waktu pulang rumah, atau tingkah laku yang sopan.

Remaja lebih cenderung bekerjasama apabila peraturan dijelaskan dan dibincangkan, bukannya dikenakan tanpa perbincangan.

Sebagai contoh, anda boleh berkata: “Kamu boleh keluar dengan kawan, tapi kita tetapkan waktu untuk pulang supaya kami tahu kamu selamat.”

Penting juga untuk berbincang tentang akibatnya jika peraturan dilanggar.

Akibat jangka pendek yang munasabah biasanya lebih mudah dilaksanakan.

Contohnya, jika melanggar peraturan penggunaan telefon, akibatnya mungkin anak tidak dibenarkan menggunakan telefon keesokan hari, bukan sepanjang minggu.

Remaja berkembang dengan baik apabila ibu bapa menggabungkan pendekatan mesra dengan jangkaan yang jelas.

Namun, peraturan perlu disesuaikan mengikut kematangan mereka.

Bantu anak selesai masalah sendiri

Secara semula jadi, ibu bapa mahu campur tangan dan menyelesaikan masalah anak.

Namun, zaman remaja adalah tempoh penting untuk anak membina keupayaan berdikari dan mengurus cabaran.

Remaja yang mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah yang baik lebih mampu menangani tekanan dan kurang berisiko mengalami masalah kesihatan mental.

Jadi daripada terus memberi penyelesaian, bimbing anak melalui proses tersebut.

Tanyakan soalan seperti: “Apakah pilihan yang kamu ada?” atau “Apakah yang mungkin berlaku kalau kamu cuba cara itu?”

Ini membantu membina keyakinan dan daya tahan mereka.

Ibu bapa masih boleh memberi sokongan dan nasihat, tetapi memberi ruang kepada anak untuk membuat keputusan sendiri akan mempersiapkan mereka menghadapi kehidupan dewasa.

Penulis ialah Ahli Psikologi Penyelidikan di Universiti Teknologi Sydney, Australia. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, sebuah laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.

Bimbing anak urus emosi

“Remaja sering mengalami emosi yang mendalam tetapi belum tentu tahu cara menguruskannya. Membimbing anak mengurus emosi bermaksud membantu mereka mengenal pasti dan memahami perasaan mereka, bukan menafikannya.”
Elak mengkritik

“Ramai remaja berhenti berkongsi masalah kerana menjangkakan kritikan. Kadangkala kritikan jelas, kadangkala ia tidak disengajakan. Ibu bapa boleh menjadi contoh dengan memberi tindak balas yang tenang dan tidak mengkritik anak ekoran kesilapan.”
Bantu anak selesai masalah sendiri

“Secara semula jadi, ibu bapa mahu campur tangan dan menyelesaikan masalah anak. Namun, zaman remaja adalah tempoh penting untuk anak membina keupayaan berdikari dan mengurus cabaran. Remaja yang mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah yang baik lebih mampu menangani tekanan dan kurang berisiko mengalami masalah kesihatan mental.”
Penulis.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg