Kira-kira seorang daripada tiga kanak-kanak yang mempunyai anggota keluarga yang jatuh sakit terpaksa mengorbankan kegiatan kegemaran mereka untuk melakukan kerja rumah atau menjadi penjaga kepada ibu bapa atau adik-beradik yang tidak sihat.
Seorang daripada dua kanak-kanak pula rasai tekanan kewangan, dengan sebahagian daripada mereka bekerja sambilan untuk menyokong keluarga.
Demikian antara dapatan daripada kajian di bawah inisiatif sokongan, Child Secure Project, oleh syarikat insurans tempatan, Income Insurance.
Ia meneliti kesan penyakit kritikal ibu bapa terhadap kanak-kanak yang memikul tanggungjawab sebagai penjaga dalam keluarga.
Bagi menangani isu tersebut, Income Insurance baru-baru ini melancarkan buku elektronik (e-buku) percuma berjudul, Mummy Needs Me, yang bertujuan membantu ibu bapa berpenyakit kritikal agar membincangkan penyakit tersebut bersama anak mereka.
E-buku itu, yang dilancarkan pada November 2025, dibangunkan dengan bimbingan pakar seperti ahli psikologi kanak-kanak dan pekerja kes.
Menurut Income Insurance, buku tersebut bakal melengkapkan ibu bapa dengan perspektif bernas dan petua amali, di samping memberi mereka saranan dalam mengurus tekanan emosi yang mungkin dialami anak mereka pada masa yang sukar.
Kajian tersebut turut mendapati ramai ibu bapa meremehkan tahap tekanan emosi yang dialami anak mereka apabila ibu bapa menghidapi sakit kritikal.
Menurut kajian tersebut, 72 peratus ibu bapa percaya anak mereka mampu mengatasi keadaan dengan baik.
Namun, hanya 64 peratus kanak-kanak atau belia bersetuju, dengan lebih sepertiga mengakui mereka mengalami cabaran emosi.
Hampir lapan daripada 10 kanak-kanak atau belia berusia antara 10 dengan 20 tahun yang terlibat dalam kajian itu melaporkan rasa takut, sedih, dan tertekan, tetapi ramai daripada mereka memilih untuk memendam perasaan kerana berasa mereka perlu kekal kuat demi keluarga.
Selain itu, kajian tersebut turut mendapati kanak-kanak atau belia sering terpinggir daripada sokongan emosi, dengan 29 peratus melaporkan berasa terasing kerana tiada orang di sekeliling mereka benar-benar memahami apakah yang mereka lalui.
Satu dalam dua keluarga pula terpaksa mengurangkan perbelanjaan, dengan 58 peratus belia berasa bersalah apabila membelanjakan wang.
Dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai perlindungan insurans bagi penyakit kritikal, 68 peratus berasa bayaran insurans membantu meringankan beban kewangan dengan ketara.
Di samping itu, lebih enam daripada 10 kanak-kanak atau belia menyatakan mereka menginginkan lebih banyak sokongan emosi, dengan 41 peratus berasa ibu bapa mereka tidak memahami sepenuhnya kesan penyakit itu terhadap diri mereka.
Bagi membantu ibu bapa memahami perasaan anak mereka, Mummy Needs Me, disampaikan dalam bentuk catatan diari watak berusia 13 tahun, Sara, yang terpaksa menjadi penjaga kepada ibunya yang menghidapi barah.
Melalui catatan tersebut, pembaca dibawa menyelami perasaan seorang kanak-kanak yang terpaksa memikul tanggungjawab orang dewasa dan mengorbankan perkara yang disukai.
Antara saranan dalam buku itu ialah ibu bapa digalakkan supaya mengakui keinginan anak untuk membantu, memberi ruang kepada mereka meluahkan perasaan tanpa penghakiman, serta menerangkan penyakit yang dialami dalam bahasa yang sesuai mengikut usia.
Ibu bapa turut digalakkan berbual dengan anak tentang perasaan mereka apabila orang lain mengetahui tentang penyakit tersebut, serta memastikan setiap anak diberi perhatian individu, terutama apabila hubungan adik-beradik turut terjejas.
Edisi cetak, Mummy Needs Me, akan diedarkan kepada Persatuan Barah Singapura dan agensi rakan kongsi, Child Secure Project, termasuk agensi perkhidmatan sosial, Care Corner Singapore; Pusat Perantaraan dan Kaunseling Eagles; pusat terapi dan kaunseling psikologi, Kaleidoscope Therapy Centre; klinik psikologi pakar yang menyediakan khidmat pembangunan dan kesejahteraan kanak-kanak, Psych Connect; Perkhidmatan Masyarakat Reach; serta Pusat Kaunseling Singapura.
Versi digital boleh dimuat turun menerusi pelbagai wadah dalam talian seperti Google Play, Apple Books, Everand, Kobo, Vivlio, dan OverDrive.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg