Walaupun 76 peratus syarikat sedunia telah melantik Ketua Pegawai Kecerdasan Buatan (CAIO) yang khusus, peranan peringkat tinggi itu masih jarang ditemui dalam kalangan firma tersenarai di Singapura.

Dapatan itu diperolehi hasil tinjauan terkini yang dijalankan oleh Institut Nilai Perniagaan IBM dan Oxford Economics, melibatkan 2,000 Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Walaupun laporan itu tidak menyertakan butiran penuh, ia menyatakan bahawa entiti antarabangsa seperti bank HSBC (berpangkalan di London) dan Meta Platforms telah menempatkan pegawai AI khas.

Namun di Singapura, jawatan seumpama itu masih merupakan satu kelainan, bukan satu kebiasaan. 

“Peranan CAIO khusus di peringkat pemimpin kanan (’C-level’) dalam syarikat tersenarai di Singapura masih sesuatu yang jarang berlaku,” kata rakan kongsi di pejabat Singapura bagi firma penasihat kepimpinan, Heidrick & Struggles, Encik John Young.

Beliau berkhidmat dalam amalan teknologi dan perkhidmatan sejagat firma berkenaan.

Menurut Encik Young, meskipun Singapura membina momentum kebangsaan yang kukuh dalam kepimpinan AI, banyak syarikat masih mengambil pendekatan berhati-hati untuk mewujudkan jawatan kepimpinan AI secara khusus.

Ini dapat dilihat melalui pelantikan Dr He Ruimin sebagai CAIO Singapura, yang memantau usaha negara bagi membangun dan melaksanakan strategi AI Singapura, serta penubuhan Majlis AI Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

“Daripada perbincangan yang kami jalankan di lapangan, banyak organisasi bersikap berhati-hati untuk mengehadkan skop AI di bawah seorang eksekutif tunggal,” katanya.

Hal ini berlaku walaupun kalangan eksekutif menyedari kepentingan strategik AI yang kian meningkat.

Tinjauan Keyakinan CEO dan Lembaga Pengarah 2026 oleh Heidrick & Struggles, mendapati 44 peratus pemimpin Asia Pasifik mengenal pasti AI sebagai salah satu isu paling signifikan yang dijangka dihadapi oleh organisasi mereka pada 2026.

Manakala, sekitar separuh daripada mereka menyatakan keyakinan terhadap keupayaan menguruskan cabaran AI.

Meskipun peranan CAIO dalam kalangan syarikat tersenarai di Singapura amat terhad, kepantasan keupayaan AI yang kian memuncak mendorong syarikat untuk menilai semula struktur pasukan kepimpinan serta pengagihan tanggungjawab dalam kalangan pemimpin kanan.

“Para CEO yang menghasilkan keputusan nyata daripada transformasi AI bukan sekadar menerapkan AI dengan lebih pantas, malah mereka membentuk semula organisasi untuk menyatukan bakat terbaik dengan teknologi terbaik,” kata Naib Presiden Kanan di IBM Consulting, Encik Mohamad Ali.

Menurut laporan IBM tersebut, kesemua CEO daripada organisasi yang mempunyai CAIO menjangkakan peningkatan dalam pengaruh peranan berkenaan menjelang 2030.

Di Singapura, syarikat perkhidmatan teknologi yang diterajui AI, NCS Group, baru-baru ini melantik Encik Edward Chen, sebagai Ketua Pegawai AI pertamanya.

Encik Chen berkata peranan tersebut diwujudkan bagi memacu strategi AI syarikat itu dengan tumpuan dan penyelarasan lebih tinggi.

“Peranan Ketua Pegawai AI ini diwujudkan bagi mempercepatkan cara NCS membangun dan membawa platform serta produk AI ke pasaran, di samping memperluaskan penerapan dan transformasi AI dalam kalangan pelanggan serta operasi kami,” jelas beliau.

Bagaimanapun, ramai yang lebih selesa menyerapkan tanggungjawab AI ke dalam portfolio eksekutif sedia ada, daripada mewujudkan peranan pemimpin AI yang khusus.

Ahli Majlis Pentadbiran merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknologi dan Digital di Institut Pengarah Singapura (SID), Encik Ivan Ng, berkata hal ini kerana kejayaan penerapan AI bergantung kepada “penyepaduan lebih luas merangkumi data, platform, operasi dan tadbir urus”.

Mengulas perkara itu, Encik Young berkata:

“Dalam kebanyakan kes, syarikat mungkin menganggap adalah lebih praktikal untuk meluaskan skop tugas Ketua Pegawai Maklumat (CIO), Ketua Pegawai Teknologi (CTO), serta pemimpin digital atau inovasi sedia ada, memandangkan para eksekutif ini sememangnya sudah menyelia prasarana teknologi asas, tadbir urus, program transformasi dan pasukan pelaksanaan yang diperlukan untuk menerapkan AI secara berkesan.”