SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Peranan asatizah galak gaya hidup sihat dalam masyarakat diiktiraf

Peranan asatizah galak gaya hidup sihat dalam masyarakat diiktiraf

Apr 11, 2026 | 6:50 PM

Peranan asatizah galak gaya hidup sihat dalam masyarakat diiktiraf

Faishal, asatizah, galak gaya hidup sihat dalam masyarakat, Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU)
Ustaz Mohamad Noor Samat menerima anugerah Wira Kesihatan daripada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dan Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam, ketika acara JKJU pada 11 April di Hospital Woodlands. - Foto BM oleh KHALID BABA

Setelah Covid-19, Ustaz Mohamad Noor Samat mula memerhati bahawa kian ramai jemaah berkunjung ke masjid menggunakan alat mobiliti peribadi (PMD), keadaan jauh beza berbanding sebelumnya.

Sebagai asatizah yang sudah berkhidmat di Masjid Alkaff Kampung Melayu di Bedok selama 11 tahun, ia menyedarkannya bahawa masyarakat di daerah tersebut semakin menua.

Ini sekali gus bermakna kakitangan masjid seperti beliau perlu memberi lebih perhatian dalam usaha memastikan jemaah mengamalkan gaya hidup sihat.

Sejak Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) memperkenal program baharu Jom Check! pada Mei 2025 yang menggalakkan orang ramai menjalani pemeriksaan kesihatan, menawarkan sokongan peribadi dalam kelompok kecil dan membantu penduduk mendaftar untuk SG Yang Lebih Sihat, Ustaz Noor giat memantau usaha itu di masjid.

Malah, ketua jabatan pegawai pembangunan masyarakat masjid itu juga rajin menasihatkan jemaah agar menjaga kesihatan, selaras dengan ajaran agama di mana “mencegah lebih baik daripada mengubati”.

Pada 11 April, Ustaz Noor, 58 tahun, merupakan salah seorang daripada empat asatizah yang diiktiraf dengan anugerah Wira Kesihatan dalam majlis penyampaian anugerah Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU) yang diadakan di Hospital Woodlands.

Ini merupakan kali pertama golongan asatizah disampaikan anugerah itu.

Terharu dan tidak sangka menerima pengiktirafan tersebut, Ustaz Noor berkata asatizah seperti beliau berinteraksi dengan jemaah setiap hari dan kadangkala menjadi tempat luahan jemaah.

“Kita perlukan lebih ramai anak muda, asatizah dan juga belia yang boleh bantu masjid untuk bantu masyarakat kita.

“Antara nasihat saya apabila berjumpa jemaah adalah solat merupakan amanah, tetapi solat tidak akan betul jika kita tidak jaga kesihatan. Contohnya, jika nak solat sempurna, ia memerlukan kita untuk berada dalam keadaan berdiri,” katanya.

Bercakap kepada wartawan, Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam, berkata asatizah kini mempunyai peranan khusus dan maklumat penting tentang penjagaan kesihatan supaya ia dapat diselitkan dalam interaksi mereka bersama jemaah setiap hari.

Lantas, menjaga kesihatan diharapkan menjadi kebiasaan dan dilihat sebagai sebahagian agama dan budaya, kata Cik Rahayu.

Mengulas tentang usaha JKJU, beliau berkata:

“Kami mula melihat pencapaian kecil, seperti menerusi jumlah penyertaan dalam SG Yang Lebih Sihat, penglibatan kumpulan berbeza. Kami berharap dapat mempertingkat ini lagi, dan diharapkan dengan pengenalan asatizah dalam (usaha ini), ia juga akan terus berkembang.”

Secara keseluruhan, 160 pertubuhan dan individu diiktiraf di acara penyampaian anugerah JKJU kerana telah menggalak pengamalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam pada 2025, peningkatan daripada 140 penerima pada 2024.

Semasa berucap di majlis itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata:

“Masjid kekal sebagai ruang yang dipercayai oleh masyarakat dan menjadi wadah yang sesuai untuk memperkukuh inisiatif ini. Ia bukan sekadar tempat beribadah tetapi juga tempat masyarakat berkumpul, saling membantu dan menyokong antara satu sama lain.”

Selain asatizah, karyawan penjagaan kesihatan Islam turut diiktiraf sebagai Wira Kesihatan.

Dr Nur Farhan Mohammad Alami, antara doktor yang menerima anugerah Wira Kesihatan.
Dr Nur Farhan Mohammad Alami, antara doktor yang menerima anugerah Wira Kesihatan. - Foto BH oleh MOHD KHALID BABA

Dr Nur Farhan Mohammad Alami, perunding pakar geriatrik di Alami Clinic, yang merupakan antara penerima, berkata beliau terharu diberikan anugerah tersebut.

Menyokong usaha JKJU yang menurutnya membawa perbezaan positif dalam kalangan warga emas, Dr Farhan berkata:

“Mereka ingin bersenam, tetapi kegiatan seperti tai chi, line dancing, zumba mungkin kurang sesuai atau membuat mereka rasa segan.

“Justeru mereka selalu ingin bersenam dengan teman masjid mereka. JKJU lantas memberi mereka ruang memandangkan mereka sudah bersedia untuk bersenam. Mereka hanya ingin tahu di mana dan bagaimana untuk memastikan ia dapat terus diamalkan.”

Rangkaian JKJU telah menggabungkan lebih 190 rakan masyarakat pada 2025, peningkatan daripada 160 pada 2024.

Ia terdiri daripada M³@Bandar, pertubuhan Melayu/Islam, masjid, kumpulan minat kesihatan, serta rakan sumber yang menyediakan program, kegiatan dan maklumat kesihatan bagi menyokong hasil kesihatan lebih baik.

Sewaktu acara Sihat Bersama JKJU, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) bekerjasama dengan Woodlands Health serta rakan masyarakat untuk menjalankan program Jom Check!.

Mereka yang hadir digalak mendaftarkan diri dalam SG Yang Lebih Sihat, menempah janji temu pemeriksaan kesihatan dan menghadiri pemeriksaan mammogram.

Penduduk juga belajar tentang pentingnya pemeriksaan kesihatan tetap daripada seorang doktor, manakala asatizah berkongsi bagaimana menjaga kesihatan selaras dengan nilai agama dalam menjaga diri dan keluarga.

Cik Norhayati Mohamed Yunos (kiri) menjalani ujian mammogram sewaktu  acara Sihat Bersama JKJU pada 11 April di Hospital Woodlands.
Cik Norhayati Mohamed Yunos (kiri) menjalani ujian mammogram sewaktu  acara Sihat Bersama JKJU pada 11 April di Hospital Woodlands. - Foto BH oleh MOHD KHALID BABA

Antara mereka yang hadir ialah Cik Norhayati Mohamed Yunos, 53 tahun.

Jurulatih bebas dan ibu lima anak itu berkongsi bahawa beliau tahu tentang program Jom Check! menerusi guru yoganya yang menjalankan sesi di Sembawang Park dan Masjid Assyafaah.

“Saya rasa ini inisiatif baik untuk meningkatkan kesedaran, terutamanya dalam kalangan muslimah, masyarakat Melayu/Islam agar menjalani gaya hidup sihat yang bukan sahaja merangkumi kesihatan fizikal, tetapi juga mental dan aspek kerohanian,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg