Di tengah-tengah permintaan yang berterusan terhadap golongan profesional, pengurus dan eksekutif, tiga sektor berbeza iaitu; sektor perkhidmatan kewangan, insurans, serta pentadbiran dan sokongan telah menikmati pertumbuhan gaji yang kukuh, dedah Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Gaji sektor perkhidmatan kewangan meningkat sebanyak 5.9 peratus pada 2025; gaji sektor perkhidmatan insurans meningkat sebanyak 6.6 peratus; manakala sektor perkhidmatan pentadbiran dan sokongan mencatat peningkatan gaji tertinggi sebanyak 7.5 peratus.

Dalam laporan tahunan yang dikeluarkan pada 28 Mei, MOM berkata:

“Sektor perkhidmatan kewangan dan insurans menyaksikan pertumbuhan gaji yang kukuh, sebahagiannya mencerminkan permintaan yang berdaya tahan terhadap pekerja mahir.

“Sektor perkhidmatan pentadbiran dan sokongan turut mencatatkan pertumbuhan gaji yang tinggi, disokong oleh Model Gaji Progresif (PWM) dan syarat Gaji Kelayakan Pekerja Tempatan (LQS).”

Sebaliknya, sektor penginapan pula mengalami penyederhanaan terbesar dalam peningkatan gaji, dengan pertumbuhan lebih perlahan kepada 3.9 peratus pada 2025 daripada 5.5 peratus pada 2024.

Ini disebabkan oleh penstabilan permintaan tenaga kerja berikutan lonjakan pengambilan pekerja pascapandemik sepanjang 2022 dan 2023, kata MOM.

Sektor pembinaan mencatat pertumbuhan gaji yang lebih sederhana, dengan kadar pertumbuhan turun kepada 4 peratus pada 2025 berbanding 5.5 peratus pada 2024.

Sektor makanan dan minuman pula mencatat pertumbuhan gaji sebanyak 3.9 peratus pada 2025 berbanding 4.8 peratus pada 2024.

Sektor perkilangan mencatat pertumbuhan gaji sebanyak 4.1 peratus pada 2025 berbanding 5.1 peratus pada 2024.

“Pertumbuhan gaji kekal positif merentas semua sektor 2025, walaupun kebanyakan sektor mencatatkan pertumbuhan gaji yang lebih perlahan berbanding 2024.

“Ia menandakan momentum kenaikan gaji telah menjadi sederhana dalam persekitaran perniagaan yang lebih berhati-hati,” tambah MOM.

Pertumbuhan peratusan gaji ikut industri

– Perkhidmatan Pentadbiran Dan Sokongan: Pertumbuhan tertinggi pada 2025 sebanyak 7.5%, walaupun menurun daripada 8.7% pada 2024.

– Perkhidmatan Insurans: Tumbuh sebanyak 6.6% pada 2025 berbanding 4.9% pada 2024.

– Perkhidmatan Kewangan: Tumbuh sebanyak 5.9% pada 2025, menurun sedikit daripada 6.7% pada 2024.

– Perkhidmatan Hartanah: Kekal stabil tanpa sebarang perubahan pada kadar 5.3% pada 2024 dan 2025.

– Perkhidmatan Profesional: Menurun sedikit kepada 5.1% pada 2025 berbanding 5.3% pada 2024.

– Perkhidmatan Masyarakat, Sosial & Peribadi: Menurun kepada 5.0% pada 2025 berbanding 5.7% pada 2024.

– Pengangkutan dan Penyimpanan: Menurun kepada 4.9% pada 2025 berbanding 5.5% pada 2024.

– Maklumat & Perhubungan: Menurun kepada 4.7% pada 2025 berbanding 5.1% pada 2024.

– Perdagangan Runcit: Menurun kepada 4.4% pada 2025 berbanding 5.5% pada 2024.

– Perdagangan Borong: Meningkat sedikit kepada 4.4% pada 2025 berbanding 4.2% pada 2024.

– Perkilangan: Menurun kepada 4.1% pada 2025 berbanding 5.1% pada 2024.

– Pembinaan: Menurun kepada 4.0% pada 2025 berbanding 5.5% pada 2024.

– Perkhidmatan Makanan dan Minuman: Menurun kepada 3.9% pada 2025 berbanding 4.8% pada 2024.

– Penginapan: Mencatatkan penurunan penyederhanaan terbesar pada 3.9% pada 2025 berbanding 5.5% pada 2024.