Bank pusat Singapura mengetatkan dasar kewangannya buat kali kedua berturut-turut dengan membenarkan pengukuhan nilai mata wang bagi mengekang tekanan inflasi berterusan berikutan kenaikan harga minyak mentah dan gas asli akibat perang Iran.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berkata pada 27 Julai ia akan meningkatkan kadar pengukuhan jalur dasar Kadar Tukaran Efektif Nominal Dolar Singapura (S$Neer).

Langkah ini mempengaruhi kos import dan tekanan inflasi tempatan.

Dalam pengumuman dasar pada 14 April, MAS mengetatkan pendiriannya buat kali kedua sejak 2022 bagi membolehkan S$NEER lebih kukuh untuk mengurangkan kesan kenaikan kos import.

MAS berkata langkah itu, yang menyusuli tempoh pengukuhan S$NEER secara meluas, telah membantu mengurangkan tekanan inflasi, namun tekanan harga luaran dijangka berterusan dan dipindahkan dengan lebih meluas kepada harga pengguna tempatan.

Bank pusat itu menjangka inflasi teras, yang tidak termasuk kos pengangkutan privet dan penginapan, akan meningkat mulai Julai dan kekal tinggi sebelum mula menurun sekitar pertengahan 2027.

Inflasi teras meningkat kepada 1.6 peratus pada Jun daripada 1.4 peratus pada Mei, namun kekal di paras bawah julat unjuran MAS sebanyak 1.5 hingga 2.5 peratus bagi 2026.

Namun, menurut bank pusat itu, ramai penganalisis percaya harga akan terus meningkat berikutan kos tenaga yang lebih tinggi.

Pakar ekonomi kanan Oxford Economics, Cik Sheana Yue, berkata pengetatan terbaharu MAS menunjukkan tumpuan terhadap risiko inflasi jangka sederhana, walaupun inflasi setakat ini masih terkawal.

Bagaimanapun, harga minyak mentah dan bahan api yang lebih tinggi dijangka meningkatkan kos bahan api tempatan, pengangkutan dan barangan import.

Harga minyak Brent meningkat lebih 50 peratus sejak awal 2026 dan mencecah AS$100 ($128.99) setong minggu lalu selepas gencatan senjata yang dipersetujui pada pertengahan Jun selama 60 hari antara Amerika Syarikat dengan Iran rapuh.

Walaupun harga kembali susut kepada sekitar AS$96 setong, penganalisis menjangka kos tenaga yang tinggi akan meningkatkan kos perkilangan dan pengangkutan apabila kesannya dipindahkan melalui rantaian bekalan dunia dengan sedikit kelewatan.

MAS berkata inflasi teras meningkat kepada kadar tahunan 1.5 peratus pada suku kedua daripada 1.2 peratus dalam tempoh Januari hingga Februari sebelum konflik di Timur Tengah tercetus.

MAS berkata kos import Singapura dijangka meningkat pada suku-suku akan datang, didorong kenaikan kos bahan api dan komponen elektronik yang akan menaikkan harga bahan binaan, peralatan modal dan komoditi makanan.

S$NEER terus mengukuh secara beransur-ansur dalam julat dasar MAS sepanjang 2026.

Dolar Singapura susut 0.4 peratus berbanding dolar Amerika, namun mengukuh berbanding kebanyakan mata wang Asia, termasuk meningkat kira-kira 4 peratus berbanding yen Jepun dan 0.6 peratus berbanding ringgit Malaysia.

Ini bermakna rakyat Singapura terus menikmati kuasa mata wang yang lebih tinggi di destinasi percutian utama mereka, Malaysia dan Jepun.

MAS berkata ekonomi Singapura dijangka berkembang kukuh pada 2026.

Ekonomi Singapura berkembang 5.7 peratus tahun ke tahun pada suku April hingga Jun, lebih perlahan berbanding 6.3 peratus pada suku sebelumnya yang disemak naik 0.3 mata peratusan.

Ini menjadikan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi separuh pertama tahun ini 6 peratus, iaitu 2 mata peratusan melebihi ramalan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) sebanyak 2 hingga 4 peratus.

Bagaimanapun, kekuatan ekonomi pada 2026 banyak didorong kitaran pertumbuhan luar biasa industri semikonduktor berasaskan AI, yang meningkatkan eksport dan pengeluaran perkilangan serta memberi kesan limpahan kepada segmen berkaitan perdagangan.

Sesetengah penganalisis bimbang sektor bukan elektronik tidak berkembang sepantas sektor elektronik, menunjukkan pertumbuhan ekonomi Singapura masih tidak seimbang meskipun GDP berkembang kukuh.

Kenaikan harga tenaga meningkatkan kos perniagaan, memperlahankan pertumbuhan kos buruh dalam sektor perkhidmatan Singapura pada 2026. Pertumbuhan gaji keseluruhan turut mereda berbanding 2025.

Sementara itu, pengguna tempatan semakin berhati-hati berbelanja di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi.

Jualan runcit meningkat 3 peratus tahun ke tahun kepada anggaran $4.5 bilion pada Mei, lebih rendah berbanding pertumbuhan 5.4 peratus pada April.

Justeru, MAS berkata keadaan makroekonomi masih dibayangi ketidaktentuan yang ketara.

“Inflasi boleh melebihi jangkaan jika harga tenaga melonjak semula. Simpanan bahan api berkurangan dengan ketara dan gangguan bekalan baharu di Timur Tengah boleh mencetuskan lonjakan mendadak harga minyak.”

Inflasi juga boleh kekal tinggi lebih lama daripada ramalan jika pertumbuhan pelaburan yang kukuh menjana limpahan permintaan lebih besar di luar negara dan Singapura.

Pada masa sama, risiko penurunan terhadap ekonomi sejagat dan Singapura masih kekal.

MAS berkata keadaan kewangan yang lebih ketat daripada jangkaan atau pengurangan pelaburan berkaitan AI boleh menjejaskan kemampanan pertumbuhan GDP serta melemahkan inflasi.