Topic followed successfully
Go to BHkuMAS ambil langkah kukuhkan dolar S’pura bagi bendung inflasi
MAS ambil langkah kukuhkan dolar S’pura bagi bendung inflasi
Langkah diambil berikutan lonjakan harga minyak, gas asli akibat konflik di Iran; ramalan inflasi dinaikkan kepada 1.5 hingga 2.5 peratus
MAS ambil langkah kukuhkan dolar S’pura bagi bendung inflasi
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah mengukuhkan dasar kewangannya, yang pertama sejak 2022, bagi membolehkan mata wang negara mengukuh.
Langkah ini diambil berikutan lonjakan harga minyak dan gas asli akibat konflik di Iran.
MAS mengumumkan pelarasan dasar Kadar Tukaran Efektif Nominal Dolar Singapura (S$NEER) – isyarat untuk membolehkan mata wang itu mengukuh, sekali gus meredakan kesan kenaikan kos import.
MAS turut menyemak naik ramalan inflasi keseluruhan dan teras bagi 2026 kepada purata 1.5 hingga 2.5 peratus, meningkat berbanding unjuran awal 1 hingga 2 peratus.
“Kos tenaga import Singapura telah pun melonjak. Harga pelbagai barangan dan perkhidmatan import dijangka meningkat pada suku-suku akan datang. Akibatnya, inflasi teras MAS akan meningkat dan kekal tinggi untuk beberapa suku.”
MAS menjelaskan ia akan membenarkan dolar Singapura mengukuh pada kadar yang lebih pantas. S$NEER merujuk kepada nilai dolar Singapura berbanding mata wang negara rakan dagang utama.
Penganalisis menjangkakan, tindakan MAS ini akan membolehkan dolar Singapura mengukuh sekitar 1 peratus setahun.
Pakar ekonomi kanan Asean HSBC Singapura, Cik Yun Liu, melihat langkah MAS sebagai langkah berhati-hati.
Singapura berdepan dua dilema: risiko inflasi dan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan. Dolar Singapura yang terlalu kuat boleh menjejas daya saing eksport negara.
“MAS tidak bertindak terlalu agresif, terutama kerana prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih lemah,” katanya.
“Kami rasa MAS tidak akan mengambil langkah yang lebih drastik buat masa ini – sebaliknya, mereka akan menilai kesan langkah ini sambil memerhati perkembangan geopolitik dengan lebih teliti.”
Namun begitu, ketua bersama penyelidikan makro Maybank, Encik Chua Hak Bin, menjangkakan kemungkinan besar pengukuhan dasar kewangan sekali lagi pada Julai.
“Konflik Timur Tengah berkemungkinan memberi kesan yang lebih besar kepada inflasi berbanding pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Dolar Singapura kekal stabil pada 1.2728 berbanding dolar Amerika sejurus pengumuman MAS pada 14 April. Mata wang itu telah mengukuh kira-kira 1.4 peratus berbanding dolar AS sejak awal April.
MAS menjelaskan, harga import minyak mentah, gas asli, dan bahan api Singapura telah melonjak dengan ketara, sekali gus tingkatkan inflasi libatkan elektrik, gas, dan pengangkutan dalam bulan-bulan mendatang.
“Walaupun bekalan dari Timur Tengah dipulihkan, harga tenaga global berkemungkinan akan kekal tinggi untuk beberapa ketika,” ujar bank pusat itu, sambil menambah: “Apabila kos tenaga yang lebih tinggi menjejas rantaian bekalan sedunia, lebih banyak kos import Singapura akan meningkat.”
MAS menjangkakan kenaikan harga barangan perantaraan dan barangan pengguna akhir yang diimport Singapura. Kesannya, inflasi harga pengguna untuk makanan tidak dimasak tempatan serta barangan runcit dan lain-lain turut diramal meningkat.
Kebanyakan penganalisis menjangkakan MAS akan mengukuhkan dasar kewangannya pada April.
Ini setelah bank pusat itu dalam laporan 23 Mac mengakui bahawa lonjakan harga tenaga global akibat konflik Timur Tengah boleh meningkatkan tekanan kos import Singapura dalam jangka masa terdekat.
Harga minyak dan gas asli global telah melonjak sejak 28 Februari apabila Amerika dan Israel melancarkan kempen udara menentang Iran.
Iran kemudian menyekat Selat Hormuz secara berkesan, yang biasanya membenarkan pengaliran satu perlima bekalan minyak dan gas asli global dari Teluk Parsi.
Gencatan senjata dua minggu kelihatan rapuh selepas rundingan damai antara Amerika dan Iran yang diadakan di Pakistan hujung minggu lalu gagal mencapai kata sepakat. Amerika bertindak balas dengan mengumumkan sekatan tersendiri ke atas pelabuhan-pelabuhan Iran.
MAS turut menyatakan bahawa ekonomi Singapura akan tumbuh lebih perlahan pada suku-suku akan datang.

