Topic followed successfully
Go to BHkuProgram latihan bantu peruncit lakukan jualan ‘live’ di media sosial
Program latihan bantu peruncit lakukan jualan ‘live’ di media sosial
Persatuan Peruncit Singapura: Dana pemerintah akan sedia subsidi yuran kursus
Program latihan bantu peruncit lakukan jualan ‘live’ di media sosial
Peruncit di Singapura kini boleh memanfaatkan satu inisiatif industri baru yang diterajui oleh Persatuan Peruncit Singapura (SRA), TikTok Shop dan Tenaga Kerja Singapura (WSG) bagi melatih pekerja untuk peranan seperti hos siaran langsung dan pengendali teknikal.
Ini sedang mereka berusaha membina keupayaan dalam bidang dagangan sosial.
Ketiga-tiga pihak itu telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) pada 30 Mac bagi membangunkan program latihan untuk perdagangan menerusi siaran langsung.
Inisiatif itu akan meliputi pelbagai aspek, daripada perancangan kandungan dan persiapan teknikal hingga jualan secara langsung dan analisis pascasiaran, sebagai sebahagian daripada usaha lebih meluas untuk mendigitalkan sektor runcit.
Di bawah kerjasama tersebut, WSG akan menyokong program latihan, manakala TikTok pula akan menyediakan keupayaan platformnya.
Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, yang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu, berkata landskap runcit telah melalui perubahan pesat, dengan perniagaan kini berdepan margin keuntungan yang semakin ketat serta pelanggan yang tidak mudah puas hati.
Menurut beliau, pelanggan hari ini lazimnya memulakan perjalanan membeli-belah mereka secara dalam talian – dengan melayari, membandingkan produk serta menonton ulasan atau siaran langsung, dan mengharapkan pengalaman yang lancar, responsif dan tanpa gangguan merentas pelbagai saluran.
“Untuk kekal relevan, peruncit perlu beralih ke arah digital,” kata Encik Tan, sambil menambah bahawa dagangan sosial, iaitu proses membeli dan menjual secara langsung dalam platform media sosial, merupakan antara perubahan struktur yang menggabungkan kandungan, anggota masyarakat dan perdagangan.
Ini selain membantu jenama mendekati pelanggan melangkaui kedai fizikal mereka.
Sehubungan itu, kerjasama tersebut akan memberi tumpuan kepada pembangunan program latihan bagi tiga peranan utama dalam dagangan sosial, iaitu hos, ketua dan jurutera.
Hos berperanan sebagai penyampai di hadapan kamera, manakala ketua pula menguruskan harga, promosi dan inventori secara masa nyata, sementara jurutera bertanggungjawab terhadap persiapan teknikal dan kualiti siaran.
Satu kursus sehari bagi program ketua dagangan sosial dijadualkan berlangsung setiap bulan mulai April dengan bayaran sebanyak $750, manakala butiran bagi dua lagi kursus masih belum dimuktamadkan.
Antara mereka yang memanfaatkan kursus ini ialah peruncit karpet, Encik Esmaeil Molazadeh
Menurutnya beliau telah lama mengamalkan pelbagai pendekatan bagi memastikan jenamanya kekal seiring dengan perubahan tabiat pengguna. Namun, beliau percaya bahawa dorongan perniagaan selanjutnya merupakan perdagangan menerusi siaran langsung.
Beliau yang telah menjual karpet sejak 1998 berkata usaha digital bukanlah sesuatu yang baru, dengan perniagaan itu telah pun mempunyai platform e-dagang sendiri serta kehadiran dalam pelbagai platform secara dalam talian dan media sosial.
“Kami bukan sekadar menjual produk, malah turut memberi kesedaran dan mendidik pelanggan tentang karpet,” katanya semasa dihubungai wartawan.
Beliau menambah bahawa syarikatnya juga bekerjasama dengan pusat perabot dan rakan industri lain untuk meluaskan jangkauan pasaran.
Namun, sebagai sebuah perniagaan yang dianggap tradisional, beliau mengakui bahawa kepantasan perubahan teknologi, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan trend pemasaran baru, boleh menjadi mencabar untuk diikuti secara bersendirian.
Di sinilah, menurut beliau, kerjasama baru itu memainkan peranan penting bagi perniagaan beliau.
“Sebagai syarikat kecil dan sederhana, kami mungkin tidak mempunyai sumber untuk melatih kakitangan secara khusus. Tetapi melalui kerjasama ini, kakitangan kami boleh mengikuti latihan dan memahami perkembangan terkini dalam pemasaran digital,” katanya.
Dengan seramai enam kakitangan tetap dan beberapa pekerja sambilan, Encik Esmaeil berkata bantuan seperti subsidi latihan dan geran juga amat penting dalam membantu perniagaan kecil membina keupayaan baharu tanpa menanggung kos yang terlalu tinggi.
Sebagai Presiden Persatuan Permaidani Simpul Tangan Singapura, beliau turut melihat kerjasama ini sebagai peluang untuk membantu pemain industri yang masih bergantung kepada pendekatan tradisional untuk beralih kepada kehadiran digital yang lebih kukuh.
“Industri ini masih agak tradisional. Ada dalam kalangan kami yang belum memanfaatkan platform digital sepenuhnya. Jadi ini satu peluang untuk kami bergerak seiring dengan perkembangan pasaran,” katanya.

