Jualan runcit meningkat pada Mac pada kadar lebih perlahan selepas lonjakan Tahun Baru Cina pada Februari, dan dijangka lebih perlahan pada bulan-bulan akan datang disebabkan kesan daripada perang Iran.

Kenaikan harga tenaga dan gangguan bekalan akibat konflik itu akan meningkatkan harga, menjadikan harga kurang dimampui bagi pengguna, sedang langkah sokongan pemerintah boleh mengurangkan kesannya.

Pada Mac, penjualan meningkat 4.8 peratus dari tahun ke tahun, turun berbanding 8.3 peratus pada Februari, menurut data Jabatan Perangkaan Singapura (Singstat) yang dikeluarkan pada 5 Mei.

Tidak termasuk kenderaan bermotor, alat ganti dan aksesori, jualan runcit meningkat lebih sederhana sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun, selepas peningkatan 11.3 peratus pada Februari.

Berdasarkan bulan ke bulan dan penyesuaian musiman, ia meningkat 3.7 peratus berbanding Februari.

Jumlah jualan runcit dianggarkan sebanyak $4.7 bilion pada Mac, dengan transaksi dalam talian menyumbang 15.7 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Ketua ahli ekonomi bank OCBC, Cik Selena Ling, berkata pertumbuhan jualan runcit pada Mac melebihi jangkaan dan mencerminkan penyederhanaan daripada lonjakan yang didorong oleh Tahun Baru Cina pada Februari.

Dalam sektor perdagangan runcit, kebanyakan industri mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun.

Jualan barangan rekreasi dan kenderaan bermotor, alat ganti dan aksesori masing-masing meningkat 13.1 peratus dan 12.9 peratus, manakala jualan peralatan komputer dan telekomunikasi meningkat 11.9 peratus.

Sebaliknya, jualan makanan dan alkohol serta gedung serbaneka masing-masing menurun 6 peratus dan 5.7 peratus.

Cik Ling berkata pemacu utama pertumbuhan termasuk barangan rekreasi dan barangan berkaitan teknologi, manakala keuntungan di stesen minyak sebahagiannya dikaitkan dengan harga bahan api yang lebih tinggi.

Beliau berkata beberapa segmen penting seperti makanan dan alkohol, gedung serbaneka serta perabot dan peralatan rumah menunjukkan prestasi kurang baik kerana “isi rumah mungkin lebih memilih di tengah-tengah kebimbangan berlakunya stagflasi”.

Perang Iran, yang bermula pada akhir Februari, telah mencetuskan kebimbangan mengenai stagflasi apabila peningkatan harga minyak mendorong inflasi di samping pertumbuhan ekonomi yang lemah.

Ahli ekonomi kanan DBS, Encik Chua Han Teng, berkata prestasi suku pertama 2026 menunjukkan aktiviti pengguna “berdaya tahan” dek disokong keadaan pasaran buruh dan pelancongan.

Namun, beliau mengingatkan bahawa prospek runcit “mungkin terjejas akibat ketidakpastian ekonomi global yang meningkat akibat konflik Timur Tengah,” dengan perbelanjaan pengguna berkemungkinan menjadi lebih berhati-hati apabila inflasi memberi kesan kepada kuasa beli dan pasaran buruh yang semakin lemah.

“Bagaimanapun, langkah sokongan tambahan oleh pemerintah, termasuk baucar CDC yang diberikan lebih awal dan Bayaran Khas Kos Sara Hidup yang dipertingkat, boleh membantu penjualan runcit,” jelas beliau.