DBS mengumumkan pada 11 Jun bahawa emas fizikal bertoken bakal ditawarkan kepada pelanggan runcit di Singapura bermula separuh kedua 2026.

Token Emas Fizikal DBS yang diakses menerusi aplikasi DBS digibank merupakan perintis dalam pasaran tempatan, membolehkan pelabur runcit mengakses, menyimpan, dan mendagangkan emas fizikal secara digital dalam satu platform bersepadu.

Setiap token disandarkan pada satu gram emas fizikal yang disimpan dengan selamat di peti simpanan khas DBS di Singapura.

Segala proses, daripada pendigitalan, pengeluaran, pengedaran, hingga pengurusan, dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak bank secara dalaman, dengan pelanggan turut diberikan fleksibiliti untuk menebus token tersebut kepada bentuk emas fizikal.

Di samping itu, DBS sedang meninjau kemungkinan untuk menyenaraikan token berkenaan di Bursa Digital DBS, yang dikhususkan bagi pelabur bertauliah serta rakan kongsi institusi.

Inisiatif itu diambil berikutan lonjakan aset di bawah pengurusan (AUM) bagi pegangan emas fizikal dalam portfolio pelanggan kekayaan DBS, yang mencatatkan peningkatan lebih dua kali ganda dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Langkah tersebut juga selaras dengan aspirasi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Persatuan Pasaran Jongkong Emas Singapura (SBMA) untuk memperkukuh kedudukan republik ini sebagai hab perdagangan emas global yang terkemuka.

Ketua Kumpulan Produk Pelaburan dan Khidmat Nasihat DBS, Encik James Tan, ketika mengulas mengenai inovasi terbaru ini menyatakan:

“DBS telah menawarkan pelaburan emas fizikal kepada pelanggan kekayaan sejak 2013, dan kini kami memanfaatkan penokenan untuk meluaskan akses, sekali gus membolehkan lebih ramai pelanggan runcit melabur dalam emas dengan cara selamat dan bermakna.”

Beliau menambah, meskipun pelabur runcit DBS sebelum ini boleh melabur dalam dana emas, akses kepada emas fizikal umumnya terhad kepada pelabur institusi dan bertauliah.

Kini, UOB menawarkan pelaburan emas fizikal dan emas kertas kepada pelanggan runcit, manakala OCBC pula menumpukan kepada emas kertas.

Ketiga-tiga bank tempatan menyediakan kemudahan pelaburan berkaitan emas melalui platform perbankan digital masing-masing.

Harga emas hampir mencecah AS$5,500 ($7085.32) se auns pada Januari sebelum menyusut pada Mac, apabila peranannya sebagai aset perlindungan selamat terjejas oleh keperluan kecairan di tengah-tengah konflik Timur Tengah.

Logam berharga itu menyentuh paras terendah dalam tempoh lebih enam bulan pada pagi 11 Jun, susulan serangan Amerika Syarikat ke atas Iran yang melonjakkan harga minyak.

Token emas DBS menawarkan akses 24 jam dan pemilikan pecahan, membolehkan pelanggan membeli, mendagang, serta menyimpan emas fizikal dalam jumlah yang lebih kecil.