SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Wabak campak diisytihar di tujuh wilayah Sulawesi Selatan

Wabak campak diisytihar di tujuh wilayah Sulawesi Selatan

Apr 13, 2026 | 2:21 PM

Wabak campak diisytihar di tujuh wilayah Sulawesi Selatan

Seorang kanak-kanak menerima suntikan Imunisasi Tindak Balas Wabak (ORI) dalam usaha mengekang penularan campak, ketika kes penyakit itu meningkat di beberapa wilayah Indonesia, khususnya di Sulawesi Selatan.
Seorang kanak-kanak menerima suntikan Imunisasi Tindak Balas Wabak (ORI) dalam usaha mengekang penularan campak, ketika kes penyakit itu meningkat di beberapa wilayah Indonesia, khususnya di Sulawesi Selatan. - Foto JABATAN KOMUNIKASI DAN INFORMASI KOTA BANDUNG

MAKASSAR: Kementerian Kesihatan Indonesia mengisytiharkan kejadian luar biasa (KLB) wabak campak di tujuh wilayah di Sulawesi Selatan susulan peningkatan kes yang membimbangkan sejak 2025.

Wilayah terlibat termasuk ibu kota wilayah Makassar serta daerah Luwu, Wajo, Sinjai, Bulukumba, Jeneponto dan Luwu Timur.

Ketua Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Sulawesi Selatan, Encik Muhammad Yusri Yunus, berkata langkah itu diambil selepas kes campak menunjukkan peningkatan ketara di peringkat nasional.

“Tujuh wilayah ini diisytiharkan sebagai KLB campak. Walaupun status ditentukan oleh setiap daerah, penyebaran kes kini berlaku di seluruh negara,” katanya.

Sehingga 12 April, sebanyak 169 kes positif campak dikesan melibatkan kanak-kanak di wilayah tersebut.

Menurut Encik Yusri, kes mula meningkat sejak 2025 dan pada awalnya tertumpu di tiga daerah sebelum merebak lebih luas.

“Kes mula dikesan sebagai suspek, kemudian disahkan positif melalui ujian makmal. Namun, langkah pencegahan telah dilaksanakan lebih awal,” jelasnya.

Beliau menambah, pihaknya telah melaksanakan pemetaan penyakit sejak akhir 2025 bagi mengenal pasti kawasan berisiko tinggi.

Bagi mengekang penularan, kerajaan melaksanakan program imunisasi kecemasan dikenali sebagai Imunisasi Tindak Balas Wabak (ORI), khusus untuk kanak-kanak berusia antara sembilan dengan 59 bulan.

Menurut Encik Yusri, kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak yang tidak menerima vaksin.

“Tiada imuniti kelompok yang mencukupi. Apabila virus merebak, kedua-dua kanak-kanak yang telah dan belum divaksin boleh dijangkiti,” katanya.

Beliau turut menggesa ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka menerima vaksin lengkap.

“Kami menyeru ibu bapa supaya segera mendapatkan imunisasi untuk anak, terutama yang belum divaksin atau belum melengkapkan dua dos vaksin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, wabak itu turut meragut nyawa seorang doktor muda berusia 25 tahun di Cianjur, Jawa Barat, menjadikannya kematian pertama melibatkan petugas kesihatan dalam wabak semasa.

Pemangku Ketua Pengarah Kawalan Penyakit, Andi Saguni, berkata doktor berkenaan dipercayai dijangkiti ketika merawat pesakit campak.

“Beliau dipercayai terdedah kepada virus pada 8 Mac, namun, terus bekerja walaupun mengalami demam pada 18 Mac sebelum meninggal dunia,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meletakkan Indonesia di tangga ketiga dunia bagi wabak campak dengan 8,892 kes setakat Mac, selepas India dan Angola.

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan sebanyak 72 kematian akibat campak direkodkan sepanjang 2025 hingga 2026.

Kes suspek campak juga meningkat mendadak kepada 64,822 pada 2025 lalu, lebih dua kali ganda berbanding 2024.

Bagi 2026 pula, sehingga minggu kelapan, sebanyak 10,453 kes suspek direkodkan dengan 8,372 kes disahkan, serta enam kematian turut dilaporkan.

Sebahagian besar kematian melibatkan kanak-kanak kecil yang tidak menerima imunisasi, sekali gus menekankan kepentingan vaksinasi dalam mengekang penularan penyakit tersebut. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg