SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Doktor muda di Jawa Barat maut akibat campak

Doktor muda di Jawa Barat maut akibat campak

Apr 2, 2026 | 1:41 PM

Doktor muda di Jawa Barat maut akibat campak

Petugas kesihatan memberikan vaksin kepada kanak-kanak dalam program Imunisasi Respons Wabak (ORI) di Kota Pasuruan, Jawa Timur, Indonesia.
Petugas kesihatan memberikan vaksin kepada kanak-kanak dalam program Imunisasi Respons Wabak (ORI) di Kota Pasuruan, Jawa Timur, Indonesia. - Foto JABATAN KESIHATAN KOTA PASURUAN

JAKARTA: Seorang doktor muda di Cianjur, Jawa Barat, dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan campak, menjadikannya kes kematian pertama melibatkan petugas kesihatan dalam wabak yang sedang melanda Indonesia.

Mangsa, dikenali sebagai AMW, 25 tahun, merupakan doktor pelatih di Hospital Umum Daerah Pagelaran.

Beliau disyaki dijangkiti virus itu ketika merawat pesakit campak pada 8 Mac lalu.

Menurut Pemangku Ketua Pengarah Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Indonesia, Encik Andi Saguni, AMW terus bekerja walaupun mula mengalami demam pada 18 Mac.

“Beliau disyaki terdedah semasa merawat pesakit campak, namun, masih bertugas walaupun menunjukkan gejala awal,” katanya dalam sidang media maya.

Keadaan AMW semakin merosot pada 21 Mac apabila ruam mula merebak ke seluruh badan.

Pada 25 Mac, beliau dikejarkan ke unit kecemasan selepas tahap kesedaran menurun sebelum disahkan meninggal dunia pada 26 Mac.

Keputusan makmal pada 28 Mac mengesahkan beliau positif campak, dengan komplikasi serius melibatkan jantung dan otak.

Encik Andi berkata kementerian kini memperhebat usaha melindungi petugas kesihatan susulan kes tersebut.

“Dengan peningkatan kes campak dan kemasukan ke hospital, petugas kesihatan berada dalam kumpulan berisiko tinggi. Langkah perlindungan perlu diperkukuh di semua kemudahan kesihatan,” katanya.

Antara langkah yang diambil termasuk mempercepat analisis ujian klinikal bagi memperluas program vaksinasi campak kepada golongan dewasa, khususnya petugas kesihatan.

“Kami juga memastikan bekalan peralatan perlindungan diri mencukupi serta mengurus beban kerja supaya petugas mendapat rehat yang mencukupi,” tambahnya.

Kementerian turut mengarahkan hospital meningkatkan kawalan jangkitan melalui saringan awal, proses pengasingan pesakit mengikut tahap kesihatan serta penyediaan bilik pengasingan.

Petugas kesihatan turut diingatkan supaya segera melaporkan sebarang gejala.

“Walaupun gejala kecil, ia mesti dilaporkan segera. Ambil rehat secukupnya dan jangan paksa diri untuk terus bekerja,” tegas Encik Andi.

Campak merupakan penyakit yang sangat mudah berjangkit, dengan satu kes mampu menjangkiti sehingga 18 individu lain.

Sehingga 22 Mac, Indonesia mencatat 16,355 kes campak yang disahkan sejak awal 2026, dengan 10 kematian dilaporkan.

Pada 2025, negara itu merekodkan lebih 63,000 kes disyaki, termasuk 11,094 kes disahkan dan 69 kematian.

Pihak berkuasa kesihatan menyatakan peningkatan kes berpunca daripada penurunan kadar imunisasi kanak-kanak, sebahagiannya akibat penyebaran maklumat palsu mengenai vaksin.

Kadar perlindungan dos kedua vaksin campak-rubela (MR) menurun daripada 86.6 peratus pada 2023 kepada 77.6 peratus pada 2025, jauh di bawah sasaran 95 peratus yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pemerintah kini melaksanakan program Imunisasi Respons Wabak (ORI) dan kempen susulan di 102 daerah dan bandar, menyasarkan kanak-kanak berusia sembilan bulan hingga lima tahun.

Menurut Encik Andi, langkah itu mula menunjukkan hasil.

“Kes campak mingguan menurun sebanyak 93 peratus sejak awal Januari.

“Pada minggu ke-12, hanya 146 kes dicatatkan berbanding 2,220 kes pada minggu pertama,” katanya.

Beliau menambah trend penurunan itu dapat dilihat di 14 wilayah dan 10 daerah di seluruh negara. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg