Topic followed successfully
Go to BHkuUnilever henti pengambilan pekerja global akibat perang Iran
Unilever henti pengambilan pekerja global akibat perang Iran
Unilever henti pengambilan pekerja global akibat perang Iran
LONDON: Syarikat gergasi produk pengguna, Unilever, telah menghentikan pengambilan pekerja baharu di seluruh dunia “di semua peringkat” bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan, berikutan kesan konflik yang semakin meruncing di Timur Tengah, menurut memo yang diperoleh agensi berita Reuters.
Dalam memo itu yang dihantar kepada kakitangan syarikat tersebut pada lewat minggu lalu, Unilever berkata sekatan tersebut akan berkuat kuasa dengan serta-merta dan dibuat dengan mengambil kira “cabaran-cabaran besar” akibat perang Iran yang telah berlangsung selama sebulan.
Syarikat-syarikat di seluruh dunia, daripada syarikat penerbangan kepada firma runcit, sedang berusaha melindungi diri mereka daripada kesan perang itu, yang telah mengganggu aliran perdagangan sejagat dan mengakibatkan gangguan bekalan minyak serta gas terburuk dalam sejarah.
Lonjakan pesat dalam kos tenaga sudah pun mula terasa di pasaran lain dan melambatkan pengeluaran dalam perusahaan seperti kimia dan plastik.
“Realiti ekonomi makro dan geopolitik, terutamanya dalam konflik Timur Tengah... membawa beberapa cabaran besar untuk beberapa bulan akan datang,” tulis Ketua Perniagaan Barangan Penjagaan Peribadi Unilever, Encik Fabian Garcia, dalam memo itu.
“Justeru, pasukan eksekutif kepimpinan Unilever bersetuju untuk melaksanakan sekatan pengambilan pekerja sejagat di semua peringkat. Ini akan berkuat kuasa serta-merta dan berlangsung sekurang-kurangnya selama tiga bulan,” katanya lagi.
Unilever memiliki beberapa jenama pengguna paling terkemuka di dunia.
Walaupun ia mengeluarkan sebahagian besar produknya di pasaran tempat barangannya dijual, ia membeli bahan kimia, makanan, pembungkusan dan bahan mentah lain yang memerlukan banyak tenaga untuk dihasilkan.
Sekatan pengambilan pekerja itu adalah tambahan kepada program pemotongan pekerja yang dilaksanakan Unilever sejak 2024, yang bertujuan menjimatkan kira-kira 800 juta euro ($1.2 bilion) dalam kos sepanjang tiga tahun akan datang.
Perubahan yang dicadangkan oleh Unilever ketika itu dijangka akan memberi kesan kepada sekitar 7,500 pekerjaan di seluruh dunia, kebanyakannya pekerjaan di pejabat.
Jumlah pekerja syarikat itu, pada masa ini, adalah 96,000 orang, turun daripada sekitar 149,000 orang yang diambil bekerja pada 2020.
Unilever mempunyai lebih 400 jenama, merangkumi produk kecantikan dan penjagaan peribadi hingga penjagaan rumah dan makanan. Jenama utamanya termasuk Dove, Knorr, Sunsilk, Vaseline, Cif, OMO/Persil, Knorr dan Ben & Jerry’s.
Syarikat itu telah bergelut untuk meningkatkan jumlah jualan merentas perniagaannya sejak pandemik Covid-19.
Ia kini dalam rundingan menjual perniagaan makanannya kepada pesaing lebih kecil, McCormick & Company, kata syarikat itu pada 20 Mac. – Reuters.

