Topic followed successfully
Go to BHkuUAE: Pertahanan udara mampu tangkis peluru berpandu, dron Iran
UAE: Pertahanan udara mampu tangkis peluru berpandu, dron Iran
UAE: Pertahanan udara mampu tangkis peluru berpandu, dron Iran
DUBAI: Pertahanan udara Amiriah Arab Bersatu (UAE) bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron dari Iran, kata kementerian pertahanannya pada 5 April, ketika Teheran menyasarkan industri aluminium di negara Teluk itu.
“Pertahanan udara UAE... secara aktif terlibat dengan ancaman peluru berpandu dan dron,” kata kementerian itu ketika menyiarkan kenyataan dalam bahasa Inggeris dan Arab di platform X.
Menurut kenyataan itu, peluru berpandu dan dron berkenaan diluncurkan dari Iran.
“Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa bunyi yang didengar di seluruh negara adalah hasil daripada operasi berterusan melibatkan penggunaan peluru berpandu dan dron,” tambahnya.
Tentera Iran menyatakan bahawa ia menyasarkan “industri aluminium” di UAE dan infrastruktur tentera Amerika Syarikat di Kuwait, lapor agensi berita rasmi Irna pada 4 April.
Iran menuduh negara jirannya di Teluk telah membenarkan pasukan Amerika melakukan serangan dari wilayah mereka, tetapi negara Teluk telah berulang kali menafikan tuduhan tersebut, dengan menegaskan bahawa sebelum perang mereka tidak membenarkan wilayah atau ruang udara mereka digunakan untuk menyerang Iran.
Negara Teluk telah menanggung beban serangan balas Iran sejak Amerika dan Israel melancarkan serangan pada akhir 28 Februari yang mencetuskan perang serantau.
UAE merupakan sekutu rapat Amerika dan hanya satu daripada dua negara Teluk yang menormalkan hubungan dengan Israel pada 2020, yang satu lagi ialah Bahrain.
Ia telah menjadi sasaran utama peluru berpandu dan dron yang dilancarkan di seluruh Teluk sejak perang bermula.
Sejak itu, UAE dilaporkan berdepan lebih 2,000 serangan dron dan peluru berpandu, dengan sekurang-kurangnya lapan orang awam terkorban.
Walaupun kebanyakan serangan berjaya dipintas, ancaman keselamatan tetap nyata.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump pada 21 Mac mengugut untuk ‘melenyapkan’ loji jana kuasa Iran sekiranya Teheran enggan membuka semula Selat Hormuz dalam tempoh 48 jam.
Iran pula memberi amaran pada 22 Mac bahawa ia akan menyasarkan prasarana Amerika, termasuk kemudahan tenaga di Teluk, sekiranya Encik Trump melaksanakan ancamannya, yang dibuat ketika tentera marin Amerika dan kapal pendarat berat terus menuju ke rantau tersebut.
Lebih 2,000 orang telah terkorban semasa perang yang dilancarkan oleh Amerika-Israel pada 28 Februari, yang telah menggoncang pasaran, melonjakkan kos bahan api, mencetuskan kebimbangan inflasi sejagat dan menggugat pakatan Barat pascaperang. – Agensi berita.

