WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada 10 Mei menolak tawaran terbaharu Iran untuk menamatkan perang dengan Amerika Syarikat, sambil menyifatkannya sebagai “langsung tidak boleh diterima”, sekali gus memanjangkan lagi kebuntuan dalam rundingan yang rapuh antara kedua-dua negara tersebut.

Penolakan itu dibuat hanya beberapa jam selepas pemerintah Iran mengumumkan bahawa ia telah menghantar cadangan balas bagi menamatkan konflik yang tercetus sejak serangan bersama Amerika dan Israel ke atas Iran pada Februari lalu.

Bagaimanapun, butiran cadangan yang dikemukakan Teheran tidak didedahkan kepada umum. Encik Trump juga tidak menjelaskan secara terperinci perkara yang dibantahnya itu.

“Saya baru sahaja membaca maklum balas daripada apa yang dipanggil ‘wakil’ Iran,” kata Encik Trump dalam hantaran di platform media sosial miliknya. “Saya tidak suka,” tambahnya.

Kenyataan Encik Trump itu dilihat merumitkan lagi usaha mencari penyelesaian diplomatik selepas beberapa minggu ketegangan ketenteraan di rantau Teluk Parsi yang turut menggugat gencatan senjata antara kedua-dua negara.

Namun begitu, Encik Trump juga memberi bayangan bahawa beliau tidak begitu cenderung untuk menyambung semula peperangan secara besar-besaran, terutama menjelang pertemuannya dengan Presiden China, Xi Jinping, di Beijing pada 13 Mei hingga 15 Mei ini.

China merupakan sekutu rapat Iran di Asia Barat dan dilihat memainkan peranan penting dalam usaha mengurangkan ketegangan serantau.

Amerika dan Israel telah melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu, dengan Teheran bertindak balas melalui serangan ke atas Israel serta beberapa negara Arab yang bersekutu dengan Washington.

Iran turut menutup Selat Hormuz, laluan strategik bagi hampir satu perlima bekalan minyak dunia.

Encik Trump kemudian mengumumkan gencatan senjata tanpa tempoh tertentu pada April lalu dan memberitahu Kongres bahawa permusuhan antara kedua-dua negara telah “ditamatkan”, walaupun ketegangan di Selat Hormuz masih berterusan.

Beberapa negara Teluk juga melaporkan serangan dron yang dipercayai dilancarkan Iran dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Encik Trump terus mempertahankan tindakan ketenteraan Amerika dengan mendakwa Washington telah mencapai objektif utama dalam kempen bersama Israel itu. Namun, matlamat utama perang itu iaitu menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear masih belum tercapai.

Dalam wawancara bersama program berita Full Measure yang disiarkan pada 10 Mei, Encik Trump berkata Amerika kini memantau baki stok uranium diperkaya milik Iran yang berpotensi digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear.

“Kami akan mendapatkannya pada satu ketika nanti,” katanya.

Encik Trump turut mendakwa Amerika sedang memantau lokasi penyimpanan uranium itu dan memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba menghampirinya. “Jika sesiapa menghampiri tempat itu, kami akan tahu dan kami akan musnahkan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan Trump mengenai kepentingan stok uranium Iran dilihat tidak konsisten.

Pada April lalu, beliau dilaporkan berkata beliau tidak terlalu mengambil berat mengenai uranium tersebut kerana ia ditanam “terlalu jauh di bawah tanah”.

Ketika Iran sedang meneliti tawaran terbaharu Washington minggu lalu, Encik Trump turut memberi sedikit gambaran mengenai isi cadangan Amerika.

“Ia pada asasnya tawaran yang mengatakan mereka tidak akan memiliki senjata nuklear,” katanya.

“Mereka akan menyerahkan kepada kami debu nuklear dan banyak perkara lain yang kami mahukan.”

Encik Trump sering menggunakan istilah “debu” untuk merujuk kepada uranium Iran yang hampir mencapai tahap sesuai untuk menghasilkan bom nuklear, walaupun bahan itu sebenarnya disimpan dalam bekas khas berbentuk gas.

Beliau juga mendakwa rundingan sukar dicapai kerana Iran kini berdepan krisis kepimpinan selepas ramai pemimpin tertinggi negara itu terbunuh dalam serangan Amerika dan Israel.

Encik Trump pada masa yang sama menunjukkan keraguan terhadap komitmen Teheran.

“Apabila mereka bersetuju, itu tidak begitu bermakna kerana keesokan harinya mereka lupa,” katanya ketika ditanya sama ada Iran benar-benar bersetuju menghentikan cita-cita nuklearnya.

Beliau turut memberi amaran, Iran akan “lebih menderita” sekiranya enggan menerima tawaran Amerika.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata konflik dengan Iran belum berakhir.

Dalam wawancara bersama program 60 Minutes terbitan CBS, Encik Netanyahu berkata Iran masih belum menyerahkan bahan yang dikhuatiri Israel boleh digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear pada masa depan.

Rumah Putih sebelum ini cuba menggambarkan kempen ketenteraan dikenali sebagai ‘Operation Epic Fury’ itu telah berakhir.

Namun dalam wawancara terbaharu itu, Trump menafikan bahawa operasi ketenteraan telah tamat sepenuhnya.

“Tidak, saya tidak pernah katakan begitu,” katanya. “Iran sudah tewas, tetapi itu tidak bermakna mereka sudah selesai.”

Encik Trump dilaporkan berharap konflik itu dapat diselesaikan sebelum lawatannya ke China kerana perang berkenaan telah mencetuskan krisis tenaga global dan mengalihkan aset ketenteraan Amerika dari Asia.

Konflik itu juga menyebabkan stok senjata Amerika semakin berkurangan sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan penganalisis China mengenai kemampuan Washington mempertahankan Taiwan sekiranya berlaku konflik di Asia Timur.

Menurut media pemerintah Iran, wakil Teheran telah menyerahkan maklum balas mereka kepada Pakistan yang bertindak sebagai orang tengah dalam rundingan tersebut.

Pegawai Iran berkata kedua-dua pihak sedang berusaha mencapai perjanjian sementara selama 30 hari bagi menghentikan pertempuran dan menamatkan sekatan Iran di Selat Hormuz.

Dalam tempoh itu, Amerika dan Iran dijangka cuba merundingkan perjanjian lebih menyeluruh.

Namun, beberapa insiden pertempuran kecil sejak minggu lalu menunjukkan gencatan senjata itu masih rapuh.

Penganalisis menyifatkan keadaan semasa sebagai “tiada perang, tiada damai”.

Pada 10 Mei, Amiriah Arab Bersatu (UAE) melaporkan ia telah sekali lagi menjadi sasaran serangan dron Iran selepas beberapa siri serangan minggu lalu.

Tentera Amerika pula berkata kapal perangnya telah menyerang kemudahan ketenteraan di pesisir Iran selepas menerima serangan balas daripada pihak Teheran. – Agensi berita.