Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump: Gencatan senjata masih bertahan selepas pertempuran meningkat
Trump: Gencatan senjata masih bertahan selepas pertempuran meningkat
UAE tangani ancaman peluru berpandu, dron dari Iran
Trump: Gencatan senjata masih bertahan selepas pertempuran meningkat
WASHINGTON: Pasukan Amerika Syarikat dan Iran saling melepaskan tembakan di kawasan Selat Hormuz, dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE) pula menghadapi serangan baru.
Tindakan itu menggugat gencatan senjata selama sebulan yang mampu menghancurkan harapan untuk penyelesaian diplomatik bagi krisis tersebut.
Peningkatan pertempuran berlaku ketika Washington menunggu respons daripada Teheran terhadap cadangannya untuk menamatkan konflik, yang bermula dengan serangan udara bersama Amerika-Israel ke seluruh Iran pada 28 Februari.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, berkata pada 7 Mei bahawa tiga kapal pemusnah Tentera Laut Amerika telah diserang semasa mereka melalui selat itu – laluan seperlima aliran minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia yang hampir ditutup sepenuhnya oleh Iran sejak konflik bermula.
“Tiga kapal pemusnah Amerika bertaraf dunia baru sahaja melalui, dengan sangat berjaya, keluar dari Selat Hormuz, dan menghadapi tembakan.
“Tiada kerosakan berlaku pada ketiga-tiga kapal pemusnah itu, tetapi kerosakan besar berlaku kepada penyerang Iran,” tulis Encik Trump di Truth Social.
Encik Trump kemudian memberitahu wartawan bahawa gencatan senjata masih berkuat kuasa dan berusaha untuk meminimumkan pertukaran tembakan itu.
“Mereka mencabar kami hari ini. Kami menghancurkan mereka,” kata Encik Trump di Washington.
Pemerintahan tentera tertinggi Iran menuduh Amerika melanggar gencatan senjata dengan menyasarkan sebuah kapal tangki minyak Iran, serta melancarkan serangan udara ke kawasan awam di Pulau Qeshm di Selat Hormuz dan kawasan pesisir berdekatan.
Tentera Iran berkata pihaknya bertindak balas dengan menyerang kapal tentera Amerika di timur selat itu dan selatan pelabuhan Chabahar.
Jurucakap Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya Iran berkata serangan Iran menyebabkan “kerosakan yang besar,” tetapi Komand Pusat Amerika berkata tiada aset mereka yang terkena tembakan.
Press TV Iran kemudian melaporkan selepas beberapa jam pertempuran, “keadaan di pulau Iran dan bandar pesisir di Selat Hormuz kini kembali seperti biasa”.
Sementara itu, UAE berkata sistem pertahanan udaranya sedang menangani ancaman peluru berpandu dan dron dari Iran pada awal 8 Mei.
Hanya sedikit maklumat tersedia tentang serangan terbaru ke atas sekutu Amerika itu.
Amerika dan Iran sekali-sekala telah bertukar tembakan sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 7 April, dengan Iran menyerang sasaran di negara Teluk termasuk UAE.
Teheran kerap menyasarkan UAE dan negara Teluk lain yang menjadi tuan rumah pangkalan tentera Amerika, sejak perang bermula.
Harga minyak meningkat dalam perdagangan awal di Asia pada 8 Mei, dengan minyak mentah Brent meningkat melebihi AS$100 ($127) setong selepas pertempuran terbaru, manakala harga saham pula merosot selepas lonjakan kukuh minggu ini atas harapan bagi penyelesaian cepat konflik itu.
“Walaupun permusuhan berterusan dan harga minyak masih tinggi, pasaran menjangkakan ia akan berlangsung dalam tempoh terhad,” kata Ketua Penyelidikan Ekuiti di State Street Markets, Cik Marija Veitmane.
Encik Trump menyatakan rundingan berterusan dengan Teheran masih berada di landasan yang betul walaupun berlakunya pertempuran pada 7 Mei, sambil berkata, “kami sedang berunding dengan pihak Iran.” – Reuters.
