WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memberi amaran keras kepada Iran bahawa ‘masa semakin suntuk’ untuk mencapai perjanjian baru bagi menamatkan konflik serantau, sambil mengancam tindakan ketenteraan lebih besar jika Teheran gagal mengemukakan tawaran yang lebih baik.

Dalam wawancara telefon bersama laman web berita, Axios, Encik Trump berkata Iran perlu segera membuat keputusan sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

“Kami mahu mencapai perjanjian, tetapi mereka masih belum berada di tahap yang kami mahukan,” katanya.

“Mereka perlu sampai ke tahap itu atau mereka akan dipukul dengan teruk, dan mereka tidak mahu perkara itu berlaku.”

Encik Trump turut menegaskan Amerika bersedia menyerang Iran ‘jauh lebih kuat daripada sebelum ini’ sekiranya rundingan terus menemui jalan buntu.

“Jam terus berdetik. Mereka perlu bergerak pantas atau mereka tidak akan mempunyai apa-apa lagi,” katanya.

Menurut dua pegawai Amerika, Encik Trump dijangka mengadakan mesyuarat bersama pasukan keselamatan negara di Bilik Situasi Rumah Putih pada 19 Mei bagi membincangkan pilihan langkah ketenteraan terhadap Iran.

Pilihan ketenteraan kembali menjadi perhatian selepas Iran dilapor menolak beberapa tuntutan utama Washington serta enggan membuat konsesi besar berkaitan program nuklearnya.

Encik Trump turut mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 17 Mei bagi membincangkan perkembangan konflik melibatkan Iran.

Sumber yang mengetahui perkara itu berkata Encik Trump sebelum ini turut bertemu anggota kanan pasukan keselamatan negaranya di kelab golf miliknya di Virginia pada 16 Mei.

Antara yang hadir termasuk Naib Presiden, Encik JD Vance; Utusan Khas Rumah Putih, Encik Steve Witkoff; Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio; dan Pengarah Agensi Risik Pusat (CIA), Encik John Ratcliffe.

Ketegangan yang semakin meningkat memberi kesan kepada pasaran sejagat apabila harga minyak mentah Brent melonjak lebih 2 peratus kepada sekitar AS$111 ($142) setong dalam dagangan awal malam 17 Mei.

Keadaan itu berlaku ketika rundingan damai dilihat masih gagal mencapai kemajuan ketara.

Pakistan kini memainkan peranan penting sebagai pengantara rasmi antara Amerika dengan Iran.

Menteri Dalam Negeri Pakistan, Encik Mohsin Naqvi, mengadakan lawatan ke Teheran pada 16 dan 17 Mei bagi bertemu pemimpin kanan Iran untuk membincangkan usaha menamatkan perang.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, yang turut menjadi pengantara, turut mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Pakistan serta Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi.

Walaupun ketegangan terus meningkat, Encik Trump berkata beliau masih percaya Iran mahu mencapai persetujuan.

“Saya masih fikir mereka mahu perjanjian,” katanya sambil menambah beliau sedang menunggu cadangan baru daripada Teheran.

Namun beliau enggan menetapkan tempoh akhir khusus bagi rundingan tersebut.

Sementara itu, media Iran melaporkan Washington gagal menawarkan sebarang konsesi nyata dalam respons terbaru terhadap cadangan rundingan Teheran.

Agensi berita Iran, Mehr, berkata Amerika cuba mendapatkan konsesi yang gagal diperoleh semasa perang, sekali gus menyebabkan rundingan terus menemui jalan buntu.

Dalam perkembangan lain, Amiriah Arab Bersatu (UAE) melaporkan sebuah dron menyerang loji tenaga nuklear Barakah di Abu Dhabi pada 17 Mei, menyebabkan kebakaran pada penjana elektrik di luar perimeter utama loji tersebut.

Kementerian Pertahanan UAE berkata tiga dron memasuki ruang udara negara itu dari arah sempadan barat, namun, dua berjaya dipintas.

“Siasatan sedang dijalankan bagi menentukan sumber serangan,” ujar kementerian itu.

Menteri Luar UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan, memberi jaminan kepada Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Encik Rafael Grossi, bahawa tiada kesan terhadap tahap keselamatan radiologi di loji berkenaan.

Walaupun UAE tidak menuduh Iran secara langsung, penasihat diplomatik UAE, Encik Anwar Gargash, memberi bayangan Teheran mungkin terlibat.

“Serangan terhadap loji tenaga nuklear Barakah merupakan peningkatan berbahaya yang melanggar undang-undang antarabangsa dan mengancam nyawa orang awam,” katanya menerusi platform X.

Arab Saudi turut memaklumkan pihaknya memintas dan memusnahkan tiga dron yang memasuki ruang udara negara itu dari arah Iraq.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Saudi, Encik Turki Al Maliki, berkata kerajaan “berhak bertindak balas pada masa dan tempat yang sesuai”.

Di Lebanon pula, serangan peluru berpandu Israel ke atas sebuah apartmen di timur negara itu dilaporkan membunuh seorang komander Jihad Islam dan anak perempuannya berusia 17 tahun.

Serangan Israel di selatan Lebanon turut mengorbankan lima lagi individu termasuk dua kanak-kanak, manakala sekurang-kurangnya 15 orang cedera.

Menurut pihak berkuasa Lebanon, lebih 2,900 orang terbunuh di negara itu sejak perang bermula, termasuk lebih 400 kematian selepas gencatan senjata diumumkan pada 17 April.

Di Gaza, serangan udara dan tembakan Israel pada 17 Mei mengorbankan lima orang lagi.

Pegawai kesihatan Palestin berkata sekurang-kurangnya 871 orang terbunuh di Gaza sejak gencatan senjata Oktober lalu terus dicemari keganasan berterusan.

Encik Netanyahu pula berkata Israel hampir mencapai matlamatnya untuk menghapuskan semua individu yang terlibat dalam serangan 7 Oktober.

“Saya berjanji setiap dalang pembunuhan beramai-ramai dan penculikan tebusan akan dihapuskan, dan kami kini hampir menyelesaikan misi itu,” katanya semasa mesyuarat Kabinet mingguan. – Agensi berita.