BEIJING: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata kesabarannya terhadap Iran semakin menipis sambil menegaskan bahawa Teheran tidak boleh dibenarkan memiliki senjata nuklear dan perlu membuka semula Selat Hormuz kepada laluan perkapalan antarabangsa.

Kenyataan itu dibuat selepas Encik Trump mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Encik Xi Jinping, di Beijing pada 15 Mei dalam siri rundingan yang turut menyentuh isu perang Iran, Taiwan, perdagangan dan isu geopolitik lain.

“Kami sudah menyelesaikan banyak masalah yang mungkin tidak mampu diselesaikan pihak lain,” kata Encik Trump selepas pertemuan tersebut.

Encik Trump berkata beliau dan Encik Xi mencapai persetujuan bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear dan Selat Hormuz mesti dibuka semula.

Iran sebelum ini secara berkesan menutup kebanyakan laluan perkapalan di Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika dan Israel yang bermula pada 28 Februari lalu.

Tindakan itu mencetuskan gangguan besar terhadap bekalan tenaga global memandangkan hampir satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair dunia sebelum ini melalui laluan strategik tersebut.

China pula dilihat memainkan peranan penting kerana negara itu merupakan pembeli utama minyak Iran dan mempunyai hubungan rapat dengan Teheran.

Amerika menghentikan sementara serangan ketenteraan terhadap Iran pada April lalu, namun masih meneruskan sekatan dan kepungan terhadap pelabuhan negara itu.

Rundingan bagi menamatkan konflik juga dilaporkan masih buntu selepas Iran enggan menghentikan program nuklearnya atau menyerahkan simpanan uranium diperkaya.

Teheran bagaimanapun terus menafikan bahawa negara itu sedang membangunkan senjata nuklear.

Walaupun Encik Xi tidak mengulas secara langsung mengenai perbincangannya dengan Encik Trump berkaitan Iran, Kementerian Luar China mengeluarkan kenyataan tegas yang menunjukkan kekecewaan Beijing terhadap perang tersebut.

“Konflik ini sepatutnya tidak pernah berlaku dan tiada sebab untuk ia diteruskan,” menurut kenyataan kementerian itu.

Dalam wawancara bersama Fox News yang disiarkan malam 14 Mei, Encik Trump memberi amaran bahawa beliau tidak akan terus bersabar dengan Iran.

“Saya tidak akan bersabar lebih lama lagi.

“Mereka perlu mencapai perjanjian,” katanya dalam program televisyen Hannity.

Encik Trump turut menyentuh isu simpanan uranium diperkaya Iran yang menjadi kebimbangan utama Barat.

Menurut beliau, Amerika sebenarnya tidak semestinya perlu merampas simpanan itu kecuali untuk tujuan pandangan awam.

“Saya rasa ia lebih kepada soal imej awam. Tetapi saya akan rasa lebih baik jika kami memilikinya,” katanya.

Rumah Putih dalam kenyataan selepas pertemuan Encik Trump dan Encik Xi berkata kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa Selat Hormuz perlu kekal terbuka dan bebas daripada unsur ketenteraan.

Encik Xi juga dilaporkan bahawa China membantah usaha mengenakan levi terhadap kapal yang menggunakan laluan itu, seperti yang pernah diancam Iran sebelum ini.

Encik Trump turut mendakwa Encik Xi telah memberi jaminan bahawa China tidak akan membekalkan peralatan ketenteraan kepada Iran.

“Beliau kata China tidak akan memberi Iran peralatan tentera. Itu satu kenyataan besar,” kata Encik Trump.

Menurut Rumah Putih lagi, Encik Xi turut menunjukkan minat untuk membeli lebih banyak minyak Amerika bagi mengurangkan pergantungan China terhadap Selat Hormuz pada masa depan.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis berpendapat Beijing mungkin tidak akan memberi tekanan terlalu kuat terhadap Iran kerana Teheran masih dianggap rakan strategik penting dalam menyaingi pengaruh Washington.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, berkata beliau percaya China akan membantu membuka semula laluan Selat Hormuz kerana ia juga demi kepentingan ekonomi negara itu.

Namun diplomasi antara Amerika dengan Iran kini masih tergantung selepas kedua-dua pihak menolak cadangan terbaru masing-masing minggu lalu.

Dalam perkembangan terbaru di Selat Hormuz, sebuah kapal kargo India yang membawa ternakan dari Afrika ke Amiriah Arab Bersatu (UAE) tenggelam pada Rabu selepas dipercayai diserang di perairan Oman.
India mengecam serangan itu dan mengesahkan semua 14 anak kapal dalam kejadian itu berjaya diselamatkan.

Firma keselamatan maritim Britain, Vanguard, berkata kapal itu dipercayai terkena serangan peluru berpandu atau dron yang menyebabkan letupan besar.

Dalam insiden berasingan, agensi keselamatan maritim Britain, UKMTO, melaporkan sekumpulan individu tidak dikenali telah menaiki sebuah kapal yang sedang berlabuh berhampiran pelabuhan Fujairah di UAE sebelum mengarahkannya menuju ke Iran.

Vanguard berkata pegawai keselamatan syarikat kapal itu melaporkan bahawa kapal tersebut “diambil alih oleh pegawai Iran ketika sedang berlabuh”.

Pelabuhan Fujairah merupakan satu-satunya pelabuhan minyak UAE di Teluk Oman dan memainkan peranan penting kerana ia membolehkan penghantaran minyak dilakukan tanpa perlu melalui Selat Hormuz.

Sementara itu, Encik Trump berkata matlamat utama perang terhadap Iran adalah untuk memusnahkan program nuklear negara itu, mengurangkan keupayaan Teheran menyerang negara jiran serta membuka ruang kepada rakyat Iran menjatuhkan pemerintah mereka sendiri.

Seorang laksamana kanan Amerika, Encik Brad Cooper, memberitahu Jawatankuasa Senat Amerika bahawa kemampuan Iran mengancam kepentingan serantau kini sudah “merosot dengan ketara”.

Namun beliau enggan mengulas laporan media bahawa Iran masih memiliki keupayaan besar dari segi peluru berpandu dan dron.

Di sebalik tekanan antarabangsa, Iran terus menggunakan penguasaannya di Selat Hormuz sebagai kelebihan utama dalam rundingan dengan Barat.

Teheran kini dilaporkan menuntut penghapusan sekatan ekonomi, pampasan kerosakan perang serta pengiktirafan terhadap kawalannya ke atas Selat Hormuz sebagai syarat utama sebarang penyelesaian konflik. – Agensi berita.