Topik diikuti
Pergi ke BHkuPBB: Sekitar 1,500 kapal terperangkap di Teluk akibat konflik Iran
PBB: Sekitar 1,500 kapal terperangkap di Teluk akibat konflik Iran
PBB: Sekitar 1,500 kapal terperangkap di Teluk akibat konflik Iran
PANAMA CITY: Kira-kira 1,500 kapal dan anak kapalnya terperangkap di kawasan Teluk akibat sekatan Iran di Selat Hormuz, kata Setiausaha Agung, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Panama pada 7 Mei.
Perang di Timur Tengah, yang dilancarkan pada 28 Februari oleh Israel dan Amerika Syarikat menentang Iran, mencetuskan tindak balas dari Teheran di seluruh rantau itu dan sekatan perkapalan di Hormuz, laluan perdagangan sejagat yang penting.
“Buat masa ini, kami mempunyai sekitar 20,000 anak kapal dan sekitar 1,500 kapal yang terperangkap,” kata Setiausaha Agung IMO, Encik Arsenio Dominguez, kepada Konvensyen Maritim Amerika.
Encik Dominguez berkata pengangkutan maritim menggerakkan lebih 80 peratus daripada jumlah produk yang digunakan di seluruh dunia.
Anak kapal yang terkandas itu adalah “individu tidak bersalah yang melakukan kerja mereka setiap hari untuk manfaat negara lain,” tetapi “terperangkap dalam keadaan geopolitik di luar kawalan mereka,” kata Encik Dominguez, kepada kalangan eksekutif industri dan wakil IMO yang hadir.
Sebelum tercetusnya konflik, seperlima daripada jumlah petroleum dan gas dunia melalui Selat Hormuz.
Penutupan itu telah menyebabkan lonjakan besar harga bahan api di peringkat dunia.
Pada 4 Mei, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengumumkan operasi angkatan laut untuk mengiringi kapal yang terperangkap dan memaksa pembukaan selat itu, namun, membatalkan usaha tersebut tidak lama kemudian.
Washington kini menunggu respons Iran terhadap cadangan untuk menamatkan perang dan membuka semula Selat Hormuz. – Agensi berita.
