Topik diikuti
Pergi ke BHkuUAE pilih haluan sendiri di tengah perang Iran
UAE pilih haluan sendiri di tengah perang Iran
Keputusan keluar daripada Opec papar dasar lebih bebas UAE, di tengah ketegangan hubungan Saudi dengan jiran di Teluk
UAE pilih haluan sendiri di tengah perang Iran
ABU DHABI: Keputusan Amiriah Arab Bersatu (UAE) keluar daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec) bukan sekadar langkah teknikal dalam dasar minyak.
Ia mencerminkan perubahan lebih besar dalam politik Teluk, ketika perang Iran, ketegangan dengan jiran serantau dan persaingan lama dengan Arab Saudi semakin membentuk semula hubungan kuasa di Asia Barat.
Pengumuman itu dibuat pada hari yang sama pada 28 April ketika Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman, menjadi tuan rumah kepada sidang pemimpin negara-negara Teluk.
Ketika Riyadh cuba mempamerkan penyatuan serantau dalam menghadapi perang, Abu Dhabi memilih untuk menghantar mesej berbeza.
UAE tidak lagi mahu terikat sepenuhnya dengan institusi lama jika ia dianggap tidak sehaluan dengan kepentingan nasionalnya.
Keputusan itu mengejutkan rantau kerana Opec, kumpulan negara pengeluar minyak yang mempengaruhi harga tenaga sejagat, selama ini dipimpin secara tidak rasmi oleh Arab Saudi.
UAE pula merupakan antara pengeluar minyak penting dalam kumpulan itu.
Dengan langkahnya untuk keluar daripada Opec, Abu Dhabi berpotensi meningkatkan pengeluaran minyak secara lebih bebas tanpa terikat pada kuota kumpulan.
Pegawai UAE berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan negara tersebut menambah pengeluaran secara sepihak dan memenuhi keperluan pasaran jangka panjang.
Namun, dalam suasana hubungan Abu Dhabi dan Riyadh yang kian renggang, masa pengumuman itu sukar dilihat sebagai secara kebetulan semata-mata.
Sarjana Kanan di Institut Negara-Negara Teluk Arab di Washington, Cik Kristin Diwan, menyifatkan langkah itu sebagai tanda UAE kini lebih berani bergerak sendiri.
“Ia adalah pengisytiharan kemerdekaan oleh UAE. Ia tidak lagi berasa terikat pada institusi yang tidak selari dengan kepentingannya,” kata beliau.
Menteri Tenaga UAE, Encik Suhail Al Mazrouei, menegaskan keputusan keluar daripada Opec “tiada kaitan dengan mana-mana pengeluar tertentu”.
Beliau turut berkata Arab Saudi dan UAE adalah “saudara” yang berdiri bersama ketika krisis akibat perang.
Namun hakikatnya, UAE sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin menonjol sebagai kuasa Teluk yang mahu membina jalan sendiri, sama ada dalam dasar tenaga, keselamatan, hubungan dengan Israel, konflik di Yaman atau perang saudara di Sudan.
Pakar sains politik UAE, Profesor Abdulkhaleq Abdulla, berkata perkembangan itu mencerminkan wajah baharu negara tersebut.
“Apa yang kita lihat hari ini adalah seperti UAE baharu. Beginilah cara UAE akan bertindak dan membawa dirinya di peringkat serantau serta sejagat,” ujar beliau.
Latar perang Iran menjadikan keputusan itu lebih sensitif.
Sejak serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, Teheran melancarkan ribuan peluru berpandu dan dron terhadap negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera Amerika.
Serangan itu tidak menyatukan negara Teluk sepenuhnya, sebaliknya mendedahkan perbezaan pendekatan antara mereka.
UAE, yang melihat serangan Iran sebagai ancaman langsung kepada keselamatan dan ekonominya, semakin lantang mengkritik kelemahan tindak balas serantau.
Pegawai kanan UAE, Dr Anwar Gargash, berkata dasar negara Teluk terhadap Iran tidak lagi berkesan.
“Setiap negara Teluk mempunyai dasar pembendungan sendiri terhadap Iran, dan semua dasar pembendungan itu telah gagal,” katanya pada satu persidangan di Dubai.
“Semua dasar kita telah gagal dengan teruk.”
Menurutnya, perpaduan Teluk “tidak berada pada tahap cabaran” yang dibawa oleh perang itu.
Kritikan tersebut memperlihatkan kekecewaan Abu Dhabi terhadap badan serantau seperti Liga Arab, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Bagi UAE, krisis Iran memapar organisasi pelbagai hala Arab dan Islam gagal bertindak tegas ketika negara Teluk berdepan serangan langsung.
Pada masa yang sama, perang itu turut menguji hubungan negara Teluk dengan Amerika.
Washington selama beberapa dekad menjadi penjamin keselamatan utama rantau itu, tetapi serangan Iran mendedahkan perlindungan Amerika tidak lagi mencukupi untuk menghalang serangan besar-besaran.
Cik Diwan berkata keadaan itu memaksa setiap negara Teluk menilai semula hala tuju keselamatan masing-masing.
“Semua negara di rantau ini sedang menyesuaikan diri dengan hakikat bahawa Amerika tidak akan menyediakan payung keselamatan seperti yang pernah mereka hargai.
“Senario itu perlukan setiap negara merangka haluannya sendiri, dan mereka belum mampu menyelaraskan pendirian,” kata beliau.
Dalam konteks ini, keputusan UAE keluar Opec bukan tindakan terpisah.
Ia sebahagian daripada corak lebih luas yang menunjukkan Abu Dhabi mahu bergerak lebih bebas, lebih pantas dan lebih sesuai mengikut kepentingan ekonominya.
Dasar minyak menjadi antara punca ketegangan paling jelas antara UAE dengan Arab Saudi.
UAE mahu memaksimumkan pengeluaran minyaknya, iaitu menjual sebanyak mungkin minyak ketika permintaan bahan api fosil masih tinggi.
Arab Saudi pula lebih cenderung mengekalkan harga minyak tinggi dalam jangka panjang, yang kadangkala memerlukan pengurangan pengeluaran oleh anggota Opec.
Perbezaan itu berkait rapat dengan struktur ekonomi kedua-dua negara.
Arab Saudi mempunyai penduduk lebih besar dan lebih bergantung kepada hasil minyak untuk membiayai belanjawan negara serta projek besar Putera Mahkota Mohammed bin Salman, termasuk usaha menjadikan negara itu hab perniagaan dan pelancongan.
UAE pula lebih kecil, lebih pelbagai dari segi ekonomi dan mempunyai dana kekayaan negara melebihi AS$2 trilion ($2.55 trilion), yang memberinya ruang lebih luas untuk mengambil risiko.
Penganalisis Kanan, firma penyedia maklumat harga tenaga, Argus Media di Dubai, Encik Bachar El-Halabi, berkata kedua-dua negara mempunyai pandangan berbeza terhadap masa depan minyak.
“Ketika Arab Saudi mahu mengekalkan pasaran minyak untuk abad akan datang, UAE tidak rasakan keperluan mendesak yang sama,” katanya.
Langkah UAE juga mungkin disambut baik oleh pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang berdepan tekanan politik akibat harga tenaga tinggi.
Jika UAE akhirnya meningkatkan pengeluaran, ia boleh membantu menambah bekalan sejagat, walaupun keupayaan eksport masih bergantung pada perkembangan perang dan laluan tenaga seperti Selat Hormuz.
Namun, kesan politiknya mungkin lebih besar daripada kesan pasaran jangka pendek.
Keputusan keluar Opec memberi isyarat Abu Dhabi tidak lagi mahu tunduk kepada kepimpinan Riyadh dalam isu strategik.
Ia juga membuka persoalan sama ada UAE akan mengambil langkah lebih jauh terhadap organisasi lain seperti Liga Arab, GCC atau OIC.
Profesor Abdulkhaleq berkata beliau tidak menolak kemungkinan UAE menilai semula hubungannya dengan Liga Arab, termasuk membekukan keanggotaan atau menghentikan pembiayaan, walaupun tidak semestinya menarik diri sepenuhnya.
Bagi Cik Diwan, mesej UAE jelas bahawa ia tidak lagi mahu memberi laluan kepada Arab Saudi seperti dahulu.
Selama bertahun-tahun, katanya, UAE kekal dalam Opec “kerana menghormati Arab Saudi”.
Namun, pengumuman terkini itu menunjukkan “mereka tidak lagi akan tunduk kepada kepimpinan Saudi”.
Dalam satu esei mengenai “janji kosong perpaduan Arab”, Zamil UAE di Pusat Belfer, Universiti Harvard, Encik Tareq al-Otaiba, menulis bahawa perang itu mendedahkan siapakah sebenarnya sahabat sejati Abu Dhabi.
“Persoalannya bukan sama ada Abu Dhabi akan mengingati perkara itu. Persoalannya adalah bagaimana rupa dunia Arab apabila UAE memutuskan untuk bergerak ke hadapan,” tulis beliau.
Keputusan UAE meninggalkan Opec akhirnya memperlihatkan perubahan penting dalam geopolitik Teluk.
Perang Iran bukan sahaja menggugat keselamatan dan pasaran tenaga, malah, turut mempercepat peralihan kuasa dalam hubungan antara negara Arab sendiri.
UAE kini memberi isyarat era menunggu kesepakatan mungkin sudah berakhir.
Bagi Abu Dhabi, kepentingan nasional lebih utama daripada kesetiaan kepada blok lama. – Agensi berita.
