Topik diikuti
Pergi ke BHkuUAE keluar Opec di tengah krisis tenaga memuncak akibat perang Iran
UAE keluar Opec di tengah krisis tenaga memuncak akibat perang Iran
UAE keluar Opec di tengah krisis tenaga memuncak akibat perang Iran
DUBAI: Amiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan bakal keluar daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec), dalam langkah besar yang dijangka melemahkan pengaruh kumpulan pengeluar minyak itu di tengah-tengah krisis tenaga akibat perang Iran yang kian menekan pasaran sejagat.
Keputusan itu, yang diumumkan pada 28 April, turut menandakan perbezaan pendirian yang semakin jelas antara UAE dengan Arab Saudi, jiran Teluknya yang dianggap sebagai peneraju utama Opec.
UAE ialah antara pengeluar minyak terbesar dalam Opec.
Dengan pengunduran daripada kumpulan itu, Abu Dhabi tidak lagi terikat dengan kuota pengeluaran yang ditetapkan Opec dan Opec+.
Keadaan itu boleh memberi ruang kepada UAE untuk meningkatkan pengeluaran minyak apabila laluan eksport melalui Teluk kembali pulih.
Menteri Tenaga UAE, Encik Suhail Mohamed al-Mazrouei, berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti strategi tenaga negara, termasuk dasar pengeluaran semasa dan masa depan.
“Ini adalah keputusan dasar. Ia dibuat selepas penelitian teliti terhadap dasar semasa dan masa depan berkaitan tahap pengeluaran,” katanya kepada agensi berita, Reuters, dalam wawancara telefon.
Menurutnya, UAE tidak membincangkan keputusan itu dengan mana-mana negara lain sebelum membuat pengumuman tersebut.
Menurut Encik Mazrouei, UAE akan keluar daripada Opec dan Opec+ pada 1 Mei.
Opec+ merujuk kepada gabungan Opec dengan beberapa sekutu pengeluar minyak.
Beliau turut membayangkan permintaan tenaga dunia akan terus meningkat, dan UAE mahu berada dalam kedudukan yang lebih bebas untuk memenuhi keperluan tersebut.
Keputusan itu memberi kesan segera kepada pasaran minyak antarabangsa.
Harga minyak yang sebelum itu mencatat kenaikan dilaporkan mengurangkan keuntungan selepas pengumuman UAE.
Namun Encik Mazrouei berkata beliau tidak menjangka kesan pasaran yang besar dalam masa terdekat kerana eksport minyak Teluk masih terhalang oleh sekatan dan gangguan di Selat Hormuz.
Selat Hormuz, laluan sempit antara Iran dengan Oman, ialah antara laluan tenaga paling penting di dunia.
Dalam keadaan biasa, kira-kira satu perlima minyak mentah dan gas asli cecair dunia melalui perairan itu.
Namun sejak perang Iran meletus, pengeluar minyak Teluk berdepan kesukaran menghantar eksport melalui laluan tersebut akibat ancaman dan serangan Iran terhadap kapal.
Krisis itu menyebabkan bekalan minyak Teluk terkandas dan memberi tekanan kepada pasaran tenaga sejagat.
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) berkata bahagian Opec+ dalam pengeluaran minyak dunia jatuh kepada 44 peratus pada Mac, berbanding kira-kira 48 peratus pada Februari.
Angka itu dijangka terus menurun pada April apabila pengurangan pengeluaran menjadi lebih ketara, dan mungkin susut lagi pada Mei selepas UAE, pengeluar keempat terbesar dalam kumpulan itu, meninggalkan Opec.
Langkah UAE juga dilihat memberi kemenangan politik kepada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang sebelum ini lantang mengkritik Opec.
Dalam ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2018, Encik Trump menuduh Opec “menipu seluruh dunia” dengan menaikkan harga minyak.
Beliau juga pernah mengaitkan sokongan ketenteraan Amerika kepada negara Teluk dengan harga minyak, dengan berkata Washington mempertahankan anggota Opec tetapi mereka pula “mengeksploitasi keadaan ini dengan mengenakan harga minyak yang tinggi”.
Penganalisis berkata keputusan UAE itu boleh memberi manfaat kepada pengguna dan ekonomi sejagat, khususnya jika ia membawa kepada peningkatan bekalan minyak apabila keadaan geopolitik kembali stabil.
Ketua ahli ekonomi ADCB, Cik Monica Malik, berkata keputusan itu membuka peluang kepada UAE untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran tenaga dunia.
“Ini membuka pintu kepada UAE untuk memperoleh bahagian pasaran sejagat apabila keadaan geopolitik kembali normal,” katanya.
Sementara itu, penganalisis Rystad, Encik Jorge Leon, berkata kepentingan UAE dalam pasaran minyak tidak boleh dipandang ringan kerana negara itu adalah antara beberapa anggota Opec, selain Arab Saudi, yang mempunyai kapasiti pengeluaran tambahan.
Menurut beliau, tanpa terikat dengan Opec, UAE mempunyai dorongan dan keupayaan untuk menambah pengeluaran minyak.
“Di luar kumpulan itu, UAE akan mempunyai insentif dan keupayaan untuk meningkatkan pengeluaran, sekali gus menimbulkan persoalan lebih luas mengenai kemampanan peranan Arab Saudi sebagai penstabil utama pasaran,” katanya.
Keputusan UAE itu turut menyerlahkan persaingan yang semakin ketara antara Abu Dhabi dengan Riyadh.
Kedua-dua negara pernah dilihat sebagai sekutu rapat, tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mereka semakin berbeza pendirian dalam dasar minyak, geopolitik serantau, serta persaingan menarik bakat asing dan modal antarabangsa.
UAE kini merupakan hab perniagaan dan kewangan serantau, selain sekutu penting Amerika.
Negara itu juga menjalankan dasar luar yang lebih tegas dan membina pengaruhnya sendiri di Asia Barat dan Afrika.
Selepas diserang ketika perang Iran, UAE dilihat memperkukuh hubungan dengan Amerika dan Israel.
Abu Dhabi membuka hubungan rasmi dengan Israel menerusi Perjanjian Abraham pada 2020, dan melihat hubungan itu sebagai saluran penting untuk memperluas pengaruh serantau serta mengukuhkan akses kepada Washington.
Pengumuman UAE dibuat pada hari yang sama ketika beberapa pemimpin Teluk bertemu secara bersemuka di Arab Saudi.
Seorang pegawai Teluk berkata sidang itu bertujuan merangka tindak balas terhadap ribuan serangan peluru berpandu dan dron Iran yang menyasarkan negara mereka sejak Amerika dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada akhir Februari. – Agensi berita.
