SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Thai perketat kawalan harga bahan api, amaran penjara hingga 10 tahun

Thai perketat kawalan harga bahan api, amaran penjara hingga 10 tahun

Mar 25, 2026 | 5:22 PM

Thai perketat kawalan harga bahan api, amaran penjara hingga 10 tahun

Seorang peniaga telur menunggu pelanggan di sebuah pasar segar di Bangkok, Thailand, pada 23 Mac 2026. Data daripada Jabatan Perdagangan Dalam Negeri menunjukkan harga makanan segar di Thailand meningkat ketara, khususnya bagi daging babi, ayam dan telur, susulan kenaikan kos bahan api akibat konflik dan ketegangan yang berterusan di Asia Barat
Seorang peniaga telur menunggu pelanggan di sebuah pasar segar di Bangkok, Thailand, pada 23 Mac 2026. Data daripada Jabatan Perdagangan Dalam Negeri menunjukkan harga makanan segar di Thailand meningkat ketara, khususnya bagi daging babi, ayam dan telur, susulan kenaikan kos bahan api akibat konflik dan ketegangan yang berterusan di Asia Barat - Foto EPA

BANGKOK: Kementerian Dalam Negeri Thailand mengarahkan pihak berkuasa wilayah di seluruh negara memperketat kawalan terhadap harga bahan api dan barangan pengguna, dengan amaran hukuman berat terhadap mana-mana pihak yang didapati menyorok bekalan, memanipulasi harga atau melanggar langkah kecemasan yang ditetapkan.

Dalam arahan itu, pesalah boleh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda maksimum 100,000 baht (sekitar S$3,900).

Jabatan Pentadbiran Wilayah turut meningkatkan tahap respons sebagai sebahagian usaha menyeluruh bagi mengekang kesan krisis tenaga dan kenaikan harga barangan yang sedang melanda negara itu.

Ketua Pengarah jabatan berkenaan, Encik Narucha Kosacivilize, menandatangani arahan segera kepada semua gabenor wilayah, mengarahkan pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan memperketat pemantauan terhadap penjualan barangan dan perkhidmatan.

Arahan itu turut menegaskan keperluan mencegah penyelewengan harga serta melaksanakan penggantungan sementara eksport bahan api tertentu.

Di bawah pelaksanaan tersebut, empat agensi utama digerakkan secara bersepadu bagi memperkukuh pengawasan. Pejabat perdagangan wilayah akan memantau harga barangan dan perkhidmatan, manakala pejabat tenaga wilayah menyelia operasi stesen minyak.

Pihak polis wilayah pula bertanggungjawab mengambil tindakan undang-undang terhadap pelanggaran, sementara pegawai daerah bersama pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan di lapangan bagi memastikan kestabilan situasi.

Kerajaan turut memperkenalkan tujuh langkah utama bagi mengelakkan kekurangan bahan api dan mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Langkah pertama memberi tumpuan kepada tindakan tegas terhadap aktiviti penyorokan barangan terkawal. Pegawai diarahkan memeriksa jumlah stok serta mengambil tindakan segera terhadap pihak yang menyimpan bekalan di lokasi tidak diisytiharkan atau melengah-lengahkan penjualan tanpa alasan munasabah, khususnya bagi bahan api.

Langkah kedua melarang penyedia perkhidmatan terkawal daripada menolak atau sengaja melengahkan perkhidmatan kepada orang awam.

Selain itu, pihak berkuasa juga diarahkan memantau harga pasaran secara rapi bagi mengelakkan manipulasi harga yang boleh menjejaskan kestabilan pasaran bahan api.

Ketua daerah turut diminta mengerahkan pegawai untuk memantau rapat pengusaha bahan api di kawasan masing-masing.

Dalam masa sama, kerajaan menguatkuasakan penggantungan sementara eksport beberapa jenis bahan api termasuk petrol, gasohol, diesel, bahan api penerbangan dan gas petroleum cecair (LPG).

Bagaimanapun, pengecualian diberikan bagi eksport ke Laos dan Myanmar serta produk yang tidak boleh dijual di pasaran domestik Thailand.

Pengusaha bahan api juga diwajibkan memaparkan harga runcit dengan jelas di premis jualan serta melaporkan sebarang perubahan harga kepada Ketua Pengarah Jabatan Perniagaan Tenaga.

Kementerian memberi amaran bahawa pelanggaran terhadap peraturan ini akan dikenakan tindakan tegas di bawah Dekri Kecemasan berkaitan pindaan dan pencegahan kekurangan bahan api 1973.
Pesalah berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda sehingga 100,000 baht, atau kedua-duanya sekali.

Menurut Jabatan Pentadbiran Wilayah, langkah-langkah ini bertujuan melindungi pengguna daripada amalan tidak adil serta memastikan bekalan bahan api dan barangan keperluan kekal mencukupi pada harga berpatutan sepanjang tempoh krisis.

Dalam kenyataannya, jabatan itu turut menggesa orang ramai supaya yakin bahawa kerajaan mengambil tindakan menyeluruh bagi menghalang sebarang bentuk eksploitasi dalam pasaran.

Langkah tegas ini mencerminkan kesungguhan Thailand dalam memastikan kestabilan ekonomi domestik terus terpelihara ketika tekanan global terhadap tenaga dan harga barangan semakin meningkat. - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg