Topic followed successfully
Go to BHkuTentera laut Indonesia siasat objek seperti torpedo ditemui di Selat Lombok
Tentera laut Indonesia siasat objek seperti torpedo ditemui di Selat Lombok
Tentera laut Indonesia siasat objek seperti torpedo ditemui di Selat Lombok
JAKARTA: Tentera Laut Indonesia sedang menjalankan siasatan terhadap sebuah objek menyerupai torpedo yang ditemui oleh seorang nelayan berhampiran Selat Lombok, laluan maritim penting yang menghubungkan Lautan Hindi dan Pasifik.
Objek sepanjang 3.7 meter dan berdiameter 65 sentimeter itu ditemui pada Isnin, 6 April kira-kira 10 kilometer dari pulau pelancongan Gili Trawangan di Nusa Tenggara Barat. Nelayan berusia 28 tahun yang menemui objek tersebut segera melaporkannya kepada pihak berkuasa sebelum ia diambil untuk pemeriksaan lanjut.
Jurucakap Tentera Laut Indonesia, Encik Tunggul, berkata siasatan menyeluruh sedang dijalankan.
“Tentera Laut Indonesia akan menjalankan pemeriksaan mendalam terhadap peranti ini bagi menentukan asal usul, fungsi serta data yang terkandung di dalamnya,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen pihak tentera dalam menjaga keselamatan perairan negara. “Kami akan terus komited melindungi kedaulatan dan keselamatan laut Indonesia daripada sebarang aktiviti tidak sah, termasuk penggunaan peralatan bawah air oleh pihak yang tidak dibenarkan,” katanya.
Ketua Pangkalan Tentera Laut Mataram, Encik Asep Tri Prabowo, berkata objek itu kini berada di bawah kawalan ketat dan akan dihantar ke Jakarta untuk siasatan lanjut.
Pemeriksaan awal oleh unit pemusnah bom Polis Nusa Tenggara Barat mendapati objek tersebut tidak mengandungi bahan letupan atau radioaktif.
Menurut laporan media tempatan, tulisan pada objek itu menunjukkan ia mungkin dihasilkan oleh China Shipbuilding Industry Corporation dan dipercayai digunakan untuk mengukur kelajuan arus laut.
Insiden ini bukan kali pertama objek asing ditemui di perairan Indonesia. Pada 2021, sebuah peranti “seaglider” ditemui di Kepulauan Selayar, Sulawesi Selatan, yang disyaki digunakan untuk penyelidikan oseanografi. - Agensi berita

