DOHA: Israel dilaporkan memintas beberapa kapal bantuan kemanusiaan menuju ke Gaza di perairan antarabangsa berhampiran Greece, dalam tindakan yang dikecam penganjur flotila sebagai “peningkatan sikap kebal Israel daripada sebarang tindakan”.

Global Sumud Flotilla berkata kapal-kapalnya dihampiri bot laju tentera Israel, disekat menggunakan dron, gangguan komunikasi dan pasukan bersenjata ketika berada di tengah Laut Mediterranean.

Flotila kedua yang membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza itu berlepas dari pelabuhan Barcelona, Sepanyol, pada 12 April.

Misinya adalah untuk cuba memecahkan sekatan Israel terhadap wilayah Palestin itu.

Menurut penganjur, kapal bantuan tersebut dipintas ketika masih berada ratusan kilometer dari Gaza, berhampiran pulau Crete di Greece.

“Bot kami dihampiri bot laju tentera yang memperkenalkan diri sebagai ‘Israel’, menghalakan laser dan senjata separa automatik, serta mengarahkan peserta bergerak ke bahagian hadapan bot dan melutut dengan tangan di atas lantai,” kata Global Sumud Flotilla dalam satu kenyataan pada 30 April.

Dalam hantaran di media sosial, kumpulan itu berkata bot tentera Israel “mengepung flotila secara tidak sah di perairan antarabangsa” dan mengancam peserta dengan “penculikan dan keganasan”.

“Komunikasi dengan 11 kapal telah terputus dan media Israel mendakwa tujuh bot telah dipintas. Pemerintah mesti bertindak sekarang untuk melindungi flotila,” kata kumpulan itu.

Radio Tentera Israel, memetik seorang sumber Israel, yang melaporkan bahawa Israel sudah mula mengambil alih kapal bantuan yang menuju ke Gaza.

Menurut laporan itu, tujuh daripada 58 kapal flotila dari pelbagai negara telah ditawan berhampiran pulau Crete.

Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Danny Danon, dalam hantaran di media sosial berkata flotila itu “dihentikan sebelum sampai ke kawasan kami”.

Beliau mempertahankan tindakan tentera Israel dan berkata anggota tentera bertindak dengan “profesionalisme dan ketegasan” terhadap apa yang disifatkannya sebagai “sekumpulan penghasut yang mencari perhatian”.

Jurucakap Global Sumud Flotilla, Encik Gur Tsabar, mengecam operasi itu sebagai “serangan terang-terangan terhadap bot awam tidak bersenjata di perairan antarabangsa”.

Bercakap Al Jazeera dari Toronto, Canada, Encik Tsabar berkata serangan di laut itu berlaku “ratusan batu dari Israel”, dengan flotila dikepung dan diancam menggunakan senjata.

“Ini tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa. Israel tidak mempunyai bidang kuasa di perairan ini.

“Tindakan menaiki bot-bot ini sama dengan penahanan haram, malah berpotensi menjadi penculikan di laut lepas,” katanya.

“Amat penting semua pemerintah bertindak sekarang.

“Setiap pemerintah mempunyai tanggungjawab melindungi lebih 400 orang awam di atas kapal dan mempertahankan undang-undang antarabangsa. Berdiam diri pada saat ini bermakna bersubahat sepenuhnya,” ujarnya.

Seorang penulis dan aktivis yang berada di atas salah satu kapal flotila, Tariq Ra’ouf, berkata armada itu dikepung oleh kapal tentera Israel yang besar sebelum beberapa bot tentera kecil jenis ‘rigid inflatable’ dikerahkan.

“Dari kapal tentera itu, beberapa bot tentera kecil mula mengepung banyak kapal kami.

“Dron mengelilingi kami dan memancarkan lampu ke arah kami.

“Kami juga menerima mesej daripada tentera Israel melalui radio, mengatakan kami melanggar undang-undang antarabangsa dan perlu berhenti,” katanya kepada Al Jazeera.

Menurut Encik Ra’ouf, operasi Israel berlangsung selama beberapa jam.

Menurutnya, flotila itu sedang menuju ke Crete dan masih berada di perairan antarabangsa apabila serbuan laut Israel bermula.

“Kami kehilangan komunikasi dengan banyak bot kami,” katanya.

Beliau turut mendakwa komunikasi flotila diganggu tentera Israel dengan memainkan muzik melalui saluran radio sebagai “taktik perang psikologi”.

“Kami berada di perairan antarabangsa, jadi ini benar-benar langkah yang belum pernah berlaku daripada Israel, kerana kami langsung tidak berada berhampiran Gaza,” kata Encik Ra’ouf.

Wartawan Al Jazeera, yang melaporkan dari Amman, Jordan, berkata sumber tentera Israel yang tidak dinamakan telah berkongsi butiran serbuan itu dengan media Israel.

“Satu sumber dalam tentera berkata matlamatnya adalah untuk mengejutkan flotila dengan menyerang begitu jauh dari Gaza,” katanya.

Menurut anggaran, flotila itu berada kira-kira 600 batu nautika, atau 1,111 kilometer, dari Gaza.

Encik Barton berkata operasi pemintasan paling jauh oleh Israel sebelum ini terhadap flotila bantuan berlaku pada jarak 72 batu nautika, atau 133 kilometer, dari wilayah Palestin itu.

“Jadi ini lebih jauh berbanding sebarang serbuan yang pernah dilakukan Israel terhadap flotila sebelum ini,” katanya.

“Ini ialah rampasan tidak sah terhadap manusia di laut lepas berhampiran Crete, satu dakwaan bahawa Israel boleh bertindak dengan kebebasan penuh jauh melangkaui sempadannya sendiri tanpa akibat,” kata kumpulan itu.

Penganjur berkata tiada negara berhak menuntut, mengawal atau menduduki perairan antarabangsa.

Namun, menurut mereka, Israel bertindak seolah-olah boleh memperluas kawalannya hingga ke Laut Mediterranean berhampiran pesisir Eropah.

Israel mengawal semua akses ke Jaluran Gaza, tetapi menafikan ia menahan bekalan untuk lebih dua juta penduduk wilayah itu.

Bagaimanapun, rakyat Palestin dan pertubuhan bantuan antarabangsa berkata bekalan yang masuk masih tidak mencukupi, walaupun gencatan senjata dicapai pada Oktober lalu dengan jaminan peningkatan bantuan.

Pada Oktober lalu, tentera Israel turut memintas kira-kira 40 bot daripada Global Sumud Flotilla ketika ia membawa bantuan ke Gaza.

Lebih 450 peserta ditahan, termasuk aktivis Sweden, Cik Greta Thunberg, cucu pemimpin Afrika Selatan Nelson Mandela, dan anggota Parlimen Eropah, Cik Rima Hassan.

Beberapa aktivis yang ditahan dan dibawa ke Israel ketika itu mendakwa mereka mengalami penderaan fizikal dan psikologi semasa dalam tahanan.

Israel kemudian mengusir kru dan aktivis yang ditangkap. – Agensi berita.