ROME/SICILY: Puluhan kapal yang membawa bantuan kemanusiaan belayar dari Sicily, Italy, menuju ke Jaluran Gaza pada 26 April dalam satu misi antarabangsa terbesar setakat ini bagi mencabar sekatan laut Israel.

Gabungan aktivis pro-Palestin di bawah Global Sumud Flotilla memaklumkan lebih 60 kapal berlepas dari pelabuhan berhampiran Syracuse selepas kelewatan akibat cuaca buruk.

Misi itu disifatkan sebagai flotila terbesar yang pernah cuba memasuki Gaza sejak sekatan laut dikenakan oleh Israel pada 2007.

Aktivis menyatakan tujuan utama misi tersebut adalah untuk menghantar bekalan perubatan kepada penduduk Gaza yang terjejas teruk akibat pengeboman berpanjangan, selain mendesak pembukaan laluan kemanusiaan tetap.

“Kegagalan berulang untuk mematuhi keadilan antarabangsa dan sekatan bantuan ke Gaza menunjukkan bahawa kecaman semata-mata tidak lagi mencukupi,” kata Global Sumud Flotilla dalam kenyataan.

“Masyarakat awam perlu bertindak dan membina tekanan antarabangsa terhadap sistem yang menyokong sekatan ini,” tambah kenyataan itu.

Flotila itu melibatkan kapal dari Italy dan Sepanyol, termasuk 39 kapal yang berlepas dari Sepanyol pada 15 April sebelum disertai 25 kapal dari Italy.

Kapal tersebut dijangka bertemu dengan beberapa lagi kapal dari negara lain di laut sebelum meneruskan perjalanan ke arah Gaza.

Misi itu turut disertai kapal bantuan dari organisasi Sepanyol Open Arms serta kapal Arctic Sunrise milik Greenpeace.

Aktivis berusaha menembusi sekatan laut Israel yang telah lama menghalang kemasukan bantuan ke Gaza, wilayah padat penduduk yang mengalami kemusnahan besar akibat konflik berterusan.

Israel sebelum ini secara tekal menghalang percubaan seumpama itu.

Dalam percubaan sebelum ini pada 2025, kumpulan Global Sumud Flotilla, yang menggunakan bot layar dan bot bermotor persendirian diserbu pasukan khas Israel dan dihalang daripada sampai ke kawasan berkenaan.

Selain laluan laut, sebuah konvoi darat turut dirancang dari Afrika Utara sebagai sebahagian usaha serentak untuk menghantar bantuan ke Gaza.

Menurut Global Sumud Flotilla, kira-kira 1,000 individu dijangka menyertai konvoi darat tersebut dalam perjalanan yang boleh mengambil masa antara 20 dengan 27 hari.

“Sama ada anda datang dengan bas, kereta, motosikal atau berjalan kaki, ini adalah peluang untuk menyertai kebangkitan sejagat bagi Gaza,” ujar kumpulan itu dalam hantaran di media sosial.

Walaupun mendapat sokongan antarabangsa, misi tersebut tidak terlepas daripada kontroversi.

Keberangkatan flotila sebelum ini tertangguh akibat cuaca buruk serta dakwaan salah laku seksual melibatkan seorang anggota jawatankuasa pemandu.

Namun, pihak Global Sumud Flotilla menafikan sebarang pelanggaran etika, manakala individu yang membuat dakwaan tersebut dilaporkan menarik balik tuduhannya.

Dalam perkembangan berasingan, kumpulan itu mendakwa telah mengganggu pergerakan kapal kargo MSC Maya, yang menurut mereka merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan yang menyokong operasi ketenteraan Israel.

“Misi ini menghantar mesej jelas: Jika pemerintah gagal bertindak menghentikan keganasan, masyarakat awam akan campur tangan,” ujar kenyataan kumpulan itu.

“Mereka yang terlibat dalam rantaian sokongan akan dikenal pasti dan dicabar,” tambahnya.

Walaupun flotila itu dilihat sebagai usaha kemanusiaan, langkah tersebut berpotensi meningkatkan ketegangan dengan Israel yang bertegas mengekalkan sekatan ke atas Gaza.

Kapal aktivis dijangka berdepan risiko sekatan atau tindakan ketenteraan apabila menghampiri perairan Gaza.

Namun bagi para peserta, misi itu bukan sekadar penghantaran bantuan, malah, lambang tekanan sejagat terhadap keadaan kemanusiaan yang semakin genting.

Dalam keadaan konflik yang masih berlarutan, flotila itu mencerminkan usaha berterusan masyarakat antarabangsa untuk menuntut akses kemanusiaan yang lebih luas ke Gaza, walaupun berdepan halangan politik dan keselamatan yang besar. – Agensi berita.