Topic followed successfully
Go to BHkuTekanan ekonomi sejagat dorong Indonesia kaji potong gaji pegawai tinggi
Tekanan ekonomi sejagat dorong Indonesia kaji potong gaji pegawai tinggi
Langkah lain termasuk laksana kerja dari rumah, jimat guna bahan api serta tangguh projek
Tekanan ekonomi sejagat dorong Indonesia kaji potong gaji pegawai tinggi
JAKARTA: Beberapa parti politik dalam gabungan pemerintah serta anggota Kabinet menyatakan sokongan terhadap cadangan mengurangkan gaji pegawai eksekutif dan legislatif sebagai sebahagian langkah berjimat bagi mengurangkan kesan ekonomi susulan konflik Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran.
Cadangan itu dibangkitkan Presiden Prabowo Subianto dalam ucapan semasa sidang pleno Kabinet pada 13 Mac.
Beliau menekankan keperluan Indonesia mengambil langkah proaktif dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga sejagat yang semakin meningkat akibat konflik di Asia Barat.
Encik Prabowo merujuk kepada langkah berjimat yang dilaksanakan Pakistan, termasuk pemotongan gaji pegawai pemerintah, pelaksanaan kerja dari rumah (WFH) serta penangguhan perbelanjaan negara yang tidak kritikal.
Selain pemotongan gaji, pemerintah Indonesia turut mempertimbangkan beberapa langkah lain bagi mengurangkan perbelanjaan, termasuk pelaksanaan kerja dari rumah secara meluas, penjimatan penggunaan bahan api serta penangguhan projek atau perbelanjaan yang tidak penting.
Langkah itu dilihat sebagai usaha menyeluruh pemerintah untuk menghadapi tekanan ekonomi sejagat yang semakin tidak menentu, terutama ketika konflik di Asia Barat terus memberi kesan kepada pasaran tenaga dan kos sara hidup.
Cadangan itu mendapat sokongan parti dalam gabungan pemerintah, termasuk Parti Golkar yang memegang jumlah portfolio Kabinet terbesar dalam kalangan parti politik, lapor The Jakarta Post, pada 24 Mac.
Setiausaha Agung Golkar, Encik Muhammad Sarmuji, berkata partinya bersedia menyokong langkah tersebut jika diperlukan.
“Jika negara memerlukannya, Golkar bersedia agar anggota kami dalam Kabinet dan Parlimen menerima pemotongan gaji,” katanya, sambil menambah langkah itu mencerminkan keupayaan negara menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.
Beliau turut mencadangkan pemerintah menilai semula program yang kurang berkesan serta meningkatkan kecekapan pengurusan belanjawan, namun tidak memperincikan program yang dimaksudkan.
Sokongan turut disuarakan Parti Amanat Nasional (PAN). Timbalan Pengerusinya, Encik Eddy Soeparno, berkata parti itu akan menyokong sebarang keputusan Presiden dan membantu memastikan langkah tersebut diterima secara positif oleh rakyat.
“Bukan sahaja menyokong arahan Presiden, malah kami akan berada di barisan hadapan untuk memastikan ia diterima baik oleh masyarakat dan anggota gabungan,” katanya.
Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang tidak berada dalam gabungan pemerintah menyatakan tidak membantah cadangan itu, namun menegaskan langkah penjimatan perlu bermula daripada peringkat tertinggi.
“Jika ada pemotongan atau penjimatan, ia perlu bermula dari atas, daripada presiden dan naib presiden hingga ke menteri dan pegawai negara lain,” kata ahli parlimennya, Encik Andreas Hugo Pareira.
Beberapa menteri turut menyatakan keterbukaan terhadap langkah berjimat itu.
Menteri Hak Asasi Manusia, Encik Natalius Pigai, berkata beliau bersedia menerima pemotongan gaji jika ia memberi manfaat kepada rakyat.
“Jika demi kepentingan rakyat dan negara, walaupun saya tidak menerima gaji sebagai menteri, saya sanggup,” katanya dalam kenyataan di platform X.
Menteri Kewangan, Encik Purbaya Yudhi Sadewa, pula memaklumkan pemerintah sedang meneliti butiran pelaksanaan cadangan itu.
Menurut beliau, usaha penjimatan perlu bermula dalam institusi pemerintah sendiri, termasuk kementerian dan agensi negara.
Namun, pakar dasar awam Universiti Trisakti, Encik Trubus Rahardiansah, berpandangan pemotongan seharusnya memberi tumpuan kepada elaun tambahan berbanding gaji asas.
Beliau menjelaskan bahawa gaji asas menteri hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan imbuhan.
Mengikut peraturan semasa, seorang menteri menerima sekurang-kurangnya 5 juta rupiah ($420) sebagai gaji asas dan 13.6 juta rupiah sebagai elaun jawatan, tidak termasuk pelbagai kemudahan lain.
Selain itu, setiap menteri turut menerima dana operasi sehingga 120 juta rupiah untuk perbelanjaan rasmi, yang sering dikritik kerana kurang ketelusan dalam penggunaannya.
“Pemotongan perlu dilaksanakan secara menyeluruh, bukan hanya di peringkat pusat bahkan juga melibatkan pegawai wilayah dan eksekutif syarikat milik negara, supaya kesannya lebih bermakna kepada fiskal,” kata Encik Trubus.
Beliau turut mencadangkan reformasi struktur pemerintah termasuk mengurangkan jumlah kementerian dan agensi yang kini mencecah 49, sebagai langkah sementara sehingga keadaan ekonomi kembali stabil. – Agensi berita

