Topik diikuti
Pergi ke BHkuSuspek bersenjata didakwa cuba bunuh Trump berdepan hukuman seumur hidup
Suspek bersenjata didakwa cuba bunuh Trump berdepan hukuman seumur hidup
Rumah Putih sifatkan “budaya kebencian sayap kiri” dorong keganasan politik
Suspek bersenjata didakwa cuba bunuh Trump berdepan hukuman seumur hidup
WASHINGTON: Seorang lelaki berdepan tuduhan percubaan membunuh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, selepas didakwa melepaskan tembakan dalam satu majlis makan malam media berprofil tinggi di ibu negara pada 25 April.
Suspek, Cole Tomas Allen, 31 tahun, didakwa di mahkamah persekutuan pada 27 April, atas kesalahan cuba membunuh presiden semasa majlis anjuran Persatuan Wartawan Rumah Putih yang berlangsung di sebuah hotel di Washington.
Jika sabit kesalahan, Allen boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup.
Pendakwa raya memaklumkan bahawa Allen membawa senjata api jenis senapang pam, pistol separa automatik serta tiga bilah pisau ketika cuba menembusi sekatan keselamatan di Hotel Hilton, lokasi tradisi majlis tahunan tersebut.
Beberapa das tembakan dilepaskan dalam keadaan kelam-kabut berhampiran pusat pemeriksaan keselamatan sebelum suspek berjaya ditahan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan Allen tidak pernah berjaya menghampiri Encik Trump atau tetamu lain yang berada di ruang majlis utama.
“Suspek berjaya ditahan sebelum sampai ke kawasan utama acara,” kata pihak pendakwa di mahkamah.
Seorang ejen keselamatan dilaporkan terkena peluru pada jaket kalis peluru, namun tiada kematian dilaporkan dalam kejadian itu.
Dalam kejadian pada 25 April itu, Encik Trump segera dibawa keluar oleh ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika sejurus bunyi tembakan kedengaran.
Rakaman video menunjukkan suspek sempat melepasi lapisan keselamatan pertama sebelum ditahan.
Dalam wawancara bersama CBS, Encik Trump berkata beliau tidak berasa takut walaupun keadaan menjadi tegang.
“Saya tidak bimbang. Saya faham kehidupan. Kita hidup dalam dunia yang gila,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri Wanita Pertama, Cik Melania Trump; Naib Presiden, Encik JD Vance; anggota Kabinet serta ratusan tetamu lain.
Menurut pihak berkuasa, Allen dipercayai menghantar e-mel kepada anggota keluarganya sebelum kejadian, menyatakan permohonan maaf serta menjelaskan niatnya.
Walaupun tidak menyebut nama Encik Trump secara langsung, suspek menulis bahawa beliau tidak lagi sanggup “membiarkan seorang pedofilia, perogol dan pengkhianat menyaluti tangannya dengan jenayah”.
Allen turut menyatakan bahawa pegawai pentadbiran adalah “sasaran” mengikut keutamaan.
Kejadian itumerupakan cubaan ketiga terhadap Encik Trump dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Pada 2024, seorang penyerang melepaskan tembakan ketika kempen di Pennsylvania, menyebabkan seorang hadirin terbunuh dan Encik Trump cedera ringan di telinga.
Beberapa bulan kemudian, seorang lelaki bersenjata turut ditahan di padang golf di Florida ketika Encik Trump berada di lokasi tersebut.
Rumah Putih menyalahkan apa yang disifatkan sebagai “budaya kebencian sayap kiri” yang didakwa mendorong keganasan politik.
Dalam masa sama, Encik Trump sendiri sering mengkritik lawan politik, media dan pemimpin lain secara terbuka, sekali gus menambah ketegangan dalam landskap politik Amerika.
Dalam perkembangan berasingan, Encik Trump turut menggesa agar pelawak, Jimmy Kimmel, dipecat selepas membuat jenaka mengenai Cik Melania beberapa hari sebelum kejadian.
Encik Trump menyifatkan kenyataan itu sebagai “keji”, manakala Cik Melania turut menggesa penyiar ABC mengambil tindakan terhadap hos rancangan tersebut.
Walaupun memuji tindakan pantas pasukan keselamatan, Encik Trump turut mengkritik tahap keselamatan lokasi majlis yang disifatkannya sebagai “tidak begitu selamat”.
Beliau turut mengaitkan kejadian tembakan itu dengan keperluan memperkukuh aspek keselamatan, sambil sekali lagi mengusulkan pembinaan sebuah dewan besar berhampiran Rumah Putih – projek yang mencetuskan kritikan awam berhubung skala yang terlalu besar serta kekurangan perundingan dengan pihak berkepentingan. – Agensi berita.
