Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump sifatkan suspek tembakan Rumah Putih ‘lelaki yang sakit’
Trump sifatkan suspek tembakan Rumah Putih ‘lelaki yang sakit’
Kejadian tembakan tidak akan ‘lemahkan’ Trump dalam perang Iran
Trump sifatkan suspek tembakan Rumah Putih ‘lelaki yang sakit’
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 26 April berkata suspek yang cuba menyerang pegawai pentadbiran ketika majlis makan malam Persatuan Wartawan Rumah Putih pada 25 April ialah seorang “individu yang sakit” dan memiliki manifesto berunsur anti-Kristian.
Encik Trump berkata dalam wawancara televisyen bahawa keluarga suspek sebelum ini telah menyuarakan kebimbangan kepada pihak berkuasa mengenai tingkah lakunya.
Suspek, yang dikenal pasti sebagai Cole Tomas Allen, 31 tahun, dari Torrance, California, ditahan di lokasi kejadian di Washington, D.C.
“Dia dahulu seorang penganut Kristian, kemudian berubah menjadi anti-Kristian. Banyak perubahan berlaku pada dirinya. Dia mungkin seorang yang sakit,” kata Encik Trump dalam program, 60 Minutes.
Kejadian itu berlaku ketika ratusan tetamu termasuk pegawai kanan pemerintah, wartawan dan tokoh politik berkumpul di Hilton Hotel di Washington bagi menghadiri majlis tahunan berprofil tinggi itu.
Menurut pihak berkuasa, suspek melepaskan tembakan menggunakan senapang patah ke arah seorang ejen Perkhidmatan Rahsia di pusat pemeriksaan keselamatan.
Ejen tersebut terselamat daripada kecederaan serius selepas peluru terkena jaket keselamatan.
Kejadian itu mencetuskan suasana panik apabila pasukan keselamatan segera bertindak menahan suspek di lokasi.
Ketika tembakan dilepaskan, Encik Trump; isterinya, Cik Melania Trump; Naib Presiden Encik JD Vance; serta beberapa anggota Kabinet berada di dalam dewan majlis.
Mereka segera dipindahkan ke lokasi selamat sebagai langkah berjaga-jaga.
Pemangku Peguam Negara Amerika Syarikat, Encik Todd Blanche, berkata sasaran utama serangan dipercayai melibatkan Encik Trump dan pegawai kanan pentadbiran.
“Kami percaya suspek mempunyai niat untuk menyerang pegawai persekutuan, dan pertuduhan serius akan dikenakan,” katanya.
Siasatan mendapati suspek telah menghantar manifesto kepada ahli keluarganya sebelum kejadian.
Dalam dokumen itu, dia menggelar dirinya sebagai “Pembunuh Persekutuan Mesra”.
Manifesto tersebut mengandungi kenyataan ideologi yang mencabar tafsiran agama serta menyenaraikan pegawai pentadbiran sebagai sasaran.
“Berpaling muka apabila orang lain ditindas bukanlah tingkah laku Kristian, tetapi satu bentuk sokongan terhadap penindas,” ujar petikan manifesto tersebut.
Selain itu, suspek turut mengkritik tahap keselamatan di lokasi acara.
“Saya masuk dengan pelbagai senjata dan tiada sesiapa menganggap saya ancaman,” tulisnya.
Pihak berkuasa turut mendedahkan bahawa suspek menaiki tren Amtrak dari Los Angeles ke Chicago sebelum ke Washington.
Tidak seperti perjalanan udara, penumpang tren tidak perlu melalui pemeriksaan keselamatan ketat seperti pengesan logam, sekali gus membolehkan suspek membawa senjata tanpa dikesan.
Ketika ditahan, suspek didapati membawa senapang patah, pistol serta beberapa bilah pisau.
Seorang pegawai Rumah Putih berkata ahli keluarga suspek telah memberi amaran kepada pihak berkuasa mengenai kecenderungannya membuat kenyataan radikal.
Difahamkan, suspek juga pernah menghadiri protes anti-Trump dan menyuarakan hasrat melakukan sesuatu bagi “memperbaiki keadaan dunia”.
Namun, jiran di kawasan kediamannya di Torrance menyifatkan suspek sebagai individu pendiam dan jarang berinteraksi.
“Kami hanya mengenalinya sekadar memberi salam atau melambai tangan. Tidak pernah menyangka perkara seperti ini boleh berlaku,” kata seorang jiran.
Menurut Encik Blanche, suspek akan didakwa di mahkamah persekutuan atas beberapa pertuduhan berat, termasuk menyerang pegawai persekutuan, melepaskan senjata api dan percubaan membunuh.
Beliau turut memaklumkan bahawa pertuduhan tambahan mungkin akan dikenakan selepas siasatan lanjut selesai.
Setakat ini, pihak berkuasa masih menyiasat sama ada terdapat sebarang kaitan antarabangsa dalam kejadian tersebut, namun tiada bukti kukuh ditemui.
Encik Trump turut mengaitkan kejadian itu dengan suasana politik yang kian tegang di Amerika.
Beliau turut berkata insiden tembakan itu tidak akan melemahkan pendiriannya dalam perang dengan Iran.
Bagaimanapun beliau percaya kejadian itu mungkin tiada kaitan dengan konflik berkenaan.
“Ia tidak akan menghalang saya daripada memenangi perang di Iran.
“Saya tidak tahu sama ada ia ada kaitan atau tidak, tetapi saya rasa tidak, berdasarkan apa yang kita tahu,” kata Encik Trump kepada wartawan dalam satu taklimat di Rumah Putih selepas insiden itu.
Kejadian itu mencetuskan persoalan besar mengenai tahap keselamatan bagi acara yang melibatkan pemimpin tertinggi negara.
Encik Trump menegaskan kejadian seperti itu tidak akan berlaku jika dewan rasmi baharu di Rumah Putih siap dibina.
“Kejadian ini tidak akan berlaku jika dewan baharu itu sudah siap. Ia perlu disiapkan secepat mungkin,” katanya.
Pemimpin dunia mengecam serangan tersebut dan melahirkan kelegaan bahawa semua pihak selamat.
Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, berkata beliau ‘amat terkejut dengan kejadian tembakan yang membimbangkan itu’.
“Saya lega mengetahui Presiden Trump dan tetamu lain selamat. Ingatan dan doa saya bersama beliau, dan saya mendoakan keselamatan berpanjangan,” katanya di wadah X.
Lawatan rasmi Raja Britain, King Charles, ke Amerika akan diteruskan seperti dirancang, menandakan keyakinan bahawa keadaan keselamatan masih terkawal. – Agensi berita.
