WASHINGTON: Senator Demokrat dan Republikan menjangkakan Senat akhirnya akan mengundi undang-undang yang bertujuan untuk mengekang langkah Presiden Donald Trump untuk cuba mengambil alih Greenland daripada Denmark, sekutu lama Amerika Syarikat.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Encik Trump telah mengulangi bahawa beliau mahu menguasai pulau Artik yang kaya dengan mineral itu.
Pada 3 Januari, Amerika mencetuskan kekecohan antarabangsa dengan menghantar pasukan khas untuk menangkap Presiden Venezuela Nicolas Maduro - menimbulkan persoalan sama ada beliau merancang tindakan sedemikian selanjutnya.
“Anda akan melihat resolusi kuasa perang diperkenalkan ke atas Cuba, Mexico, Colombia, Nigeria, Greenland,” kata Senator Tim Kaine, seorang senator Demokrat Virginia, yang telah mengetuai beberapa resolusi untuk menyekat penggunaan kuasa tentera oleh Encik Trump tanpa kelulusan Kongres.
“Saya tidak tahu siapa yang akan memimpin mereka semua, kerana saya mungkin sekurang-kurangnya akan menjadi penaja bersama dan mungkin akan memimpin sebahagian daripadanya,” kata Encik Kaine kepada pemberita sehari sebelum undian Senat yang dijangka diadakan pada 8 Januari.
Undian itu mengenai sama ada untuk menghentikan tindakan ketenteraan selanjutnya di Venezuela tanpa kelulusan penggubal undang-undang.
Senator Republikan Encik Rand Paul dari Kentucky, penaja bersama resolusi Venezuela, berkata beliau akan “berfikiran terbuka” sama ada untuk menyokong sebarang resolusi sedemikian.
Encik Paul menambah bahawa beliau tidak pernah mendengar mana-mana rakan Republikannya menzahirkan sokongan untuk tindakan ketenteraan bagi mengambil alih Greenland.
Beliau menyifatkan ancaman sedemikian tidak produktif jika pentadbiran mahu membeli pulau Artik yang kaya dengan mineral itu.
“Jika saya mahu membeli Greenland, saya akan mengadakan acara perhubungan awam di sana, saya akan menghujani mereka dengan hadiah, saya akan bercakap dengan rakyat Greenland tentang bagaimana mereka boleh menjadi sebahagian daripada Amerika dan memperoleh kemerdekaan mereka.
“Bahkan akan ada manfaat yang besar untuk berada di bawah payung pertahanan kita, dan juga manfaat ekonomi,” tambah Encik Paul.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, memberitahu pemberita di Senat pada awal 7 Januari bahawa beliau akan bertemu pemimpin Denmark minggu depan untuk membincangkan soal Greenland.
Namun, beliau memberi isyarat bahawa tiada langkah berundur daripada mencapai matlamat Encik Trump untuk mengambil alih pulau itu, ketika sekutu yang cemas termasuk Perancis dan Jerman sedang berusaha merangka pelan tentang cara untuk bertindak balas. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg