WASHINGTON: Rumah Putih mengesahkan pada 6 Jnauari bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sedang mempertimbangkan pelbagai pilihan untuk memperoleh Greenland, termasuk kemungkinan penggunaan kekuatan ketenteraan. Langkah itu menghidupkan semula hasrat lama Encik Trump untuk menguasai pulau strategik di Artik, sekali gus mencetuskan bantahan keras daripada Eropah dan sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
Dalam satu kenyataan rasmi, Rumah Putih menyifatkan penguasaan Greenland sebagai keutamaan keselamatan negara Amerika Syarikat bagi “menghalang musuh di rantau Artik”. “Presiden dan pasukannya sedang meneliti pelbagai opsyen untuk mencapai matlamat dasar luar yang penting ini, dan sudah tentu penggunaan ketenteraan sentiasa berada dalam lingkungan kuasa panglima tertinggi,” menurut kenyataan itu.
Pemerintah Greenland berulang kali menegaskan pulau itu tidak mahu menjadi sebahagian daripada Amerika Syarikat. Pada 6 Januari, pemimpin beberapa kuasa besar Eropah serta Canada tampil mempertahankan wilayah Artik itu, menegaskan bahawa Greenland adalah milik rakyatnya sendiri.
Seorang pegawai kanan Amerika yang enggan dinamakan berkata Encik Trump dan penasihatnya sedang membincangkan beberapa pendekatan, termasuk pembelian terus Greenland daripada Denmark atau mewujudkan Perjanjian Persatuan Bebas (COFA). Bagaimanapun, perjanjian COFA itu tidak akan memenuhi cita-cita Encik Trump untuk menjadikan pulau berpenduduk kira-kira 57,000 orang itu sebagai sebahagian daripada Amerika Syarikat.
“Diplomasi sentiasa menjadi pilihan pertama presiden. Beliau gemar membuat perjanjian. Jika satu perjanjian yang baik dapat dicapai untuk memperoleh Greenland, itu pastinya naluri awal beliau,” kata pegawai berkenaan.
Penganalisis memberi amaran bahawa sebarang percubaan ketenteraan Amerika untuk merampas Greenland daripada Denmark akan menghantar gelombang kejutan ke seluruh Nato, sekali gus memperdalam jurang antara Encik Trump dan pemimpin Eropah. Namun, bantahan itu tidak menghalang Encik Trump daripada mengkaji bagaimana pulau itu boleh dijadikan hab strategik Amerika Syarikat ketika kepentingan Russia dan China di Artik semakin meningkat.
Minat Encik Trump terhadap Greenland pertama kali dizahirkan pada 2019 semasa penggal pertamanya. Ia kembali memuncak kebelakangan ini susulan penahanan bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, oleh Amerika Syarikat. Encik Trump dilaporkan berasa lebih yakin, sambil menyatakan bahawa “dominasi Amerika di Hemisfera Barat tidak akan dipersoalkan lagi”.
Seiring perkembangan itu, Trump kembali membangkitkan isu Greenland selepas beberapa bulan tidak diberi keutamaan. Seorang pegawai kanan pentadbiran berkata dorongan presiden untuk memperoleh Greenland akan terus menjadi agenda sepanjang baki tiga tahun penggalnya. “Isu ini tidak akan diketepikan,” katanya.
Laporan The Wall Street Journal menyebut Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio, memberitahu penggubal undang-undang bahawa ancaman terbaru terhadap Greenland tidak bermaksud pencerobohan akan berlaku, sebaliknya matlamatnya adalah pembelian pulau itu daripada Denmark.
Namun, Anggota Dewan Perwakilan Republikan, Don Bacon, menggesa pentadbiran Trump menghentikan retorik tersebut. “Cara kita melayan mereka amat merendahkan maruah dan tidak membawa sebarang manfaat,” kata Encik Bacon kepada CNN.
Pegawai pentadbiran pula berhujah Greenland penting kepada Amerika Syarikat kerana kekayaan mineralnya yang bernilai tinggi untuk teknologi canggih dan aplikasi ketenteraan. Namun, sumber itu masih belum diteroka sepenuhnya akibat kekurangan tenaga kerja, infrastruktur terhad dan cabaran logistik lain.
Menteri Luar Denmark, Encik Lars Lokke Rasmussen, berkata satu pertemuan dengan rakan sejawatnya di Washington diharap dapat “menjelaskan beberapa salah faham” susulan pembaharuan tuntutan Amerika ke atas Greenland. “Sudah tiba masanya untuk menghubungi dan mengatur pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika. Kami telah mengemukakan permintaan itu,” katanya.
Menteri Luar Greenland, Encik Vivian Motzfeldt, turut mengesahkan bahawa pemerintah Greenland dan Denmark telah meminta pertemuan segera dengan Encik Rubio bagi membincangkan kenyataan penting Washington mengenai Greenland. “Sehingga kini, Marco Rubio masih belum bertemu dengan pemerintah Greenland, walaupun permintaan telah dibuat sepanjang 2025,” katanya.
Perdana Menteri Greenland, Enci Jens-Frederik Nielsen, sekali lagi menegaskan pulau itu bukan untuk dijual. “Hanya rakyat Greenland berhak menentukan masa depan kami,” katanya, sambil menghargai sokongan sekutu Nato yang mempertahankan prinsip kedaulatan dan keutuhan wilayah.
Britain, Perancis, Jerman, Itali, Poland dan Sepanyol menyertai Denmark menyatakan sokongan terhadap Greenland, menyifatkan keselamatan Artik sebagai “keutamaan utama” dan kritikal kepada keselamatan antarabangsa serta rentas atlantik. Kenyataan bersama itu menegaskan bahawa Greenland adalah milik rakyatnya dan sebarang keputusan hanya boleh dibuat oleh Denmark dan Greenland.
Pakar keselamatan Artik di Kolej Pertahanan Diraja Denmark, Encik Marc Jacobsen, berkata retorik Trump tidak berubah sejak 2019. “Ia seperti pita rakaman yang rosak. Seolah-olah beliau tidak benar-benar memahami apa yang disampaikan Denmark dan Greenland,” katanya kepada AFP.
Walaupun Trump mendakwa Denmark tidak mampu menjamin keselamatan Greenland, Copenhagen telah meningkatkan pelaburan pertahanan dengan memperuntukkan kira-kira 90 bilion kroner Denmark (S$18.1 bilion) sepanjang tahun 2025. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg