Topic followed successfully
Go to BHkuRibut Narelle: Gangguan LNG Australia berterusan, ribuan masih tanpa elektrik
Ribut Narelle: Gangguan LNG Australia berterusan, ribuan masih tanpa elektrik
Ribut Narelle: Gangguan LNG Australia berterusan, ribuan masih tanpa elektrik
SYDNEY: Pengeluaran gas asli cecair (LNG) Australia masih terganggu lebih seminggu selepas ribut Narelle melanda, dengan bekalan elektrik kepada ribuan penduduk di kawasan barat laut yang lebih terpencil masih terputus pada 29 Mac.
Narelle, yang diturunkan taraf daripada siklon tropika pada 28 Mac, menjejas loji LNG Chevron dan Woodside, seterusnya memburukkan kekurangan bekalan tenaga sedunia akibat perang di Timur Tengah yang telah berlarutan sebulan.
Australia menjadi pengeksport LNG kedua terbesar dunia selepas Qatar menghentikan pengeluaran akibat kerosakan yang dialami akibat serangan Iran.
Woodside Australia pada 29 Mac berkata tiada perkembangan baru berhubung lojinya yang masih terjejas.
Narelle juga masih mengganggu pengeluaran di loji gas Karratha pada 28 Mac, sebuah kemudahan pengolahan gas di darat bagi projek Pelantar Barat Laut, manakala operasi di Macedon dan Pluto tidak terjejas.
Chevron pula belum memberi respons kepada pertanyaan yang diajukan sehingga artikel ini diterbitkan.
Pada 28 Mac, syarikat itu berkata ia sedang memulihkan pengeluaran di Gorgon dan Wheatstone susulan gangguan akibat Narelle.
Bekalan elektrik masih terputus lewat 28 Mac di Exmouth, bandar kecil kira-kira 1,100 kilometer (km) di ibu negeri Australia Barat, Perth, menurut Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Kecemasan.
Horizon Power menyatakan pasukan kru tambahan dihantar untuk membantu memulihkan bekalan apabila keadaan selamat.
Exmouth, pintu masuk ke Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), Terumbu Ningaloo, mengalami kerosakan besar tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Narelle melanda Queensland pada 20 Mac sebelum merentasi Wilayah Utara dan Australia Barat. – Agensi berita.

