BATAM: Polis di wilayah Kepulauan Riau memperketat operasi membanteras penyeludupan bahan api bersubsidi di kawasan sempadan menyusuli kebimbangan peningkatan kegiatan perdagangan haram akibat lonjakan harga minyak dunia yang dipengaruhi ketegangan di Asia Barat.

Ketua Polis Kepulauan Riau, Inspektor Jeneral Asep Safrudin, berkata langkah itu dilaksanakan atas arahan langsung Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, bagi memastikan minyak subsidi tidak diseludup ke luar negara itu.

“Tumpuan utama ketika ini adalah menghalang penyeludupan bahan api subsidi ke luar negara di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi sejagat,” katanya kepada media.

Menurut beliau, ketegangan geopolitik dan kenaikan harga minyak dunia boleh mendorong kegiatan penyeludupan terutama di kawasan maritim sempadan Indonesia yang mempunyai jurang harga besar antara minyak subsidi tempatan dengan harga pasaran antarabangsa.

“Kami perlu menjangkakan kemungkinan minyak subsidi dijual merentasi sempadan pada harga pasaran. Kami tidak boleh membenarkan minyak subsidi dihantar ke luar negara,” katanya.

Menurutnya, pihak polis bekerjasama dengan Tentera Nasional Indonesia, Agensi Keselamatan Maritim Indonesia dan beberapa agensi lain bagi memperketat kawalan di lokasi sempadan yang dianggap berisiko tinggi.

Encik Asep turut menegaskan, penguatkuasaan itu penting bagi memastikan bekalan minyak dalam negara, khususnya di Kepulauan Riau, kekal stabil dan sampai kepada golongan yang layak menerima subsidi pemerintah.

Dalam operasi berasingan di Batam, polis Barelang berjaya membongkar kegiatan penyelewengan minyak bersubsidi jenis Pertalite.

Dua suspek dikenali sebagai AA dan AS, ditahan dalam serbuan pada 6 Mei lalu.

Polis turut merampas 26 tong minyak mengandungi 815 liter Pertalite serta sebuah kenderaan pikap.

Siasatan awal mendapati AA memperoleh surat cadangan palsu yang membolehkannya mendapatkan kuota minyak subsidi sebanyak 25 tan sebulan sebelum bahan api itu dijual semula secara haram kepada pihak lain.

Setakat ini, polis belum menemui bukti minyak subsidi Indonesia dijual kepada kapal asing atau diseludup ke luar negara melalui Selat Melaka menyusuli harga minyak dunia yang meningkat mendadak selepas serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu.

Di tengah-tengah krisis tenaga sejagat, pemerintah Indonesia masih mengekalkan harga minyak subsidi Pertalite pada 10,000 rupiah ($0.73) seliter dan Solar pada 6,800 rupiah seliter menerusi syarikat minyak negara, Pertamina.

Bagaimanapun, beberapa harga minyak tanpa subsidi telah dinaikkan, termasuk Pertamax Turbo yang kini mencecah 19,900 rupiah seliter.

Perbezaan harga yang besar dengan negara jiran dipercayai menjadi antara faktor utama yang mendorong kegiatan penyeludupan.

Pada akhir April lalu, Polis Wilayah Riau turut mendedahkan 22 kes penyelewengan bahan api subsidi dalam tempoh dua minggu melibatkan 39 suspek.

Pengarah Siasatan Jenayah Khas Polis Riau, Encik Ade Kuncoro Ridwan, berkata pihaknya merampas 41 tan minyak diesel subsidi, 1.7 tan Pertalite serta beberapa kenderaan yang digunakan untuk mengangkut bahan api secara haram.

Selain bahan api, polis turut merampas 194 tong gas LPG bersubsidi yang beratnya tiga kilogram setiap satu, dan 55 tong gas 12 kilogram yang dipercayai disalahgunakan.

Encik Ade berkata operasi itu sebahagian daripada usaha penguatkuasaan bagi memastikan subsidi pemerintah benar-benar dimanfaatkan rakyat.

“Ini adalah susulan arahan Presiden (Prabowo Subianto) untuk memastikan pengagihan bahan api subsidi tepat kepada sasaran.

“Kami tidak akan memberi ruang kepada pihak yang menyalahgunakan subsidi,” katanya.

Sebagai langkah pencegahan, polis turut memasang papan amaran di beberapa stesen minyak bagi memberi peringatan bahawa pembelian minyak subsidi oleh pihak tidak layak adalah satu kesalahan.

Polis turut memberi amaran bahawa stesen minyak yang didapati bekerjasama dengan sindiket penyeludupan boleh dikenakan tindakan undang-undang. – Agensi berita.